Skip to main content

UMP terima pelajar perintis program teknologi kejuruteraan

Kuantan, 2 September– Buat pertama kalinya Universiti Malaysia Pahang (UMP) menerima pelajar yang bakal mengikuti pengajian program teknologi kejuruteraan pada sesi kemasukan akademik 2019/2020. Universiti menawarkan tiga program baharu iaitu Sarjana Muda  Sains Gunaan (Kepujian) Analitik Data, Sarjana Muda Teknologi Automotif dengan Kepujian dan Sarjana Muda Teknologi Penyelenggaraan Fasiliti Minyak dan Gas dengan Kepujian selaras dengan  tumpuan (focus) terhadap bidang berkaitan kejuruteraan kimia, kejuruteraan automotif dan teknologi kejuruteraan. Ianya menjadikan sebanyak 32 program ditawarkan pada sesi pengajian pada tahun ini. 

Program Sarjana Muda Teknologi yang ditawarkan di empat universiti teknikal (MTUN) ini merupakan program artikulasi untuk pelajar lepasan DVM/DKM/DLKM untuk menyambung pelajaran di peringkat Ijazah Sarjana Muda dengan penekanan komponen kemahiran hands on untuk  mengiktiraf kemahiran aliran TVET sebagai agenda memperkasakan TVET aras tinggi.

Menurut Naib Canselor UMP, Profesor Ir. Dr. Wan Azhar Wan Yusoff, seramai 1880 mahasiswa hadir pada hari pendaftaran bagi mengikuti pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda mulai Sesi 2019/2020 yang berlangsung serentak di kedua-dua kampus UMP Gambang dan Pekan hari ini.

Daripada jumlah tersebut seramai 328 mengikuti pengajian teknologi kejuruteraan, kejuruteraan (825), Komputeran dan Sains Gunaan (518) dan program pengurusan dan Kemanusiaan (209)  di peringkat Ijazah Sarjana Muda. UMP juga menerima seramai 20 pelajar antarabangsa daripada Yemen, Jerman, Somalia, Sudan, China, Jordan dan Indonesia yang mendaftar di UMP.

“Cakna terhadap kebajikan pelajar UMP hari ini menyampaikan sebanyak RM 69 ribu sumbangan MyGift sebagai insentif bantuan pendidikan melibatkan seramai 69 mahasiswa baharu yang mendaftar masuk UMP kali ini. Seramai 17 orang menerima Skim Bantuan Insentif Pendidikan UMP berjumlah RM1000 diberikan kepada pelajar B40. Inisiatif ini merupakan salah satu program di bawah MyGift UMP dalam meringankan beban pelajar untuk mendaftar masuk universiti.

UMP turut menyediakan pengangkutan, penginapan dan penyediaan makan dan minum kepada keluaga yang memerlukan,” katanya yang hadir bertemu ibu bapa dalam Majlis Penyampaian Bantuan Pendidikan UMP yang diadakan di Dewan Astaka UMP Gambang. Hadir sama ahli Lembaga Pengarah UMP, Dato’ Sri Sharif Shamsuddin dan Pengurus Serambi Ilmu Rakyat, Yayasan Bank Rakyat, Zatul Hasanah Mohamed Radzhuan.

Manakala Dato’ Sri Sharif berkata, seramai 31 orang menerima Bantuan Awal Pendidikan Yayasan Bank Rakyat  hasil kerjasama UMP dan Yayasan Bank Rakyat dengan jumlah RM1000 setiap orang manakala seramai 21 pelajar menerima  Insentif Kecemerlangan Matrikulasi - UMP daripada  15 matrikulasi seluruh negara yang cemerlang (3.67 dan ke atas) dan memilih UMP sebagai universiti pilihan utama sebagai suntikan semangat kecemerlangan berpanjangan.  

Katanya, usaha ini adalah sebahagian daripada Inisiatif MyGift yang diperkenalkan UMP dalam usaha menjadi universiti komuniti dan sebagai satu usaha mengumpul sumbangan daripada mana-mana pihak bagi menyalurkan sumbangan endowmen bagi tujuan tajaan pelajaran, penyediaan kemudahan prasarana kepada pelajar mahupun membudayakan semangat membantu golongan yang memerlukan.

UMP akan menubuhkan Yayasan UMP bagi memperkemaskan operasi bagi membolehkan lebih ramai pelajar menerima manfaat. Antara sumber kewangan yayasan adalah daripada keuntungan syarkat milik UMP, sumbangan pihak korporat, alumni dan orang luar.  

Dalam pada itu, kehadiran dua pasangan pelajar kembar iaitu Muhammad Adham Jamal Akhbar dan Muhammad Akram Jamal Akhbar serta pasangan Safrizal Syazwan Zainal Hayat dan Syazwanie Zainal Hayat mencuri tumpuan.Universiti juga menerima pelajar Orang Kelainan Upaya (OKU), Muhammad Aliff Rozahimie yang mengalami masalah tulang belakang dan empat pelajar orang asli dari Jerantut Pekan, Temerloh dan Endau yang hadir pada sesi pendaftaran hari ini.

Turut berlangsung taklimat bersama ibu bapa dan pelajar program Dwi- Ijazah bertaraf antarabangsa melibatkan kerjasama dengan pihak institusi pengajian di Jerman, Hochschule Karlsruhe, University of Applied Sciences Jerman (HsKA) dan Hochschule  Reutlingen, Reutlingen University (HsRT) Jerman.

 

Reports by:
Siti Nurfarmy binti Ibrahim