Skip to main content
UMP tersenarai universiti terbaik dunia

UMP tersenarai universiti terbaik dunia

Pekan, 19 Jun- Universiti Malaysia Pahang (UMP) yang merupakan salah satu universiti awam dalam Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) mencatat sejarah apabila tersenarai antara universiti terbaik dunia dalam QS World University Rankings (WUR) 2020 yang diterbitkan oleh QS Quacquarelli Symonds (QS) baru-baru ini.
 
Sebagai universiti yang menerajui bidang kejuruteraan dan teknologi, UMP terus mencatat pencapaian terbaik sebagai universiti teknologi lima bintang apabila berada dalam kelompok 751-800 terbaik dunia. UMP sebelum ini mencapai kedudukan 188 terbaik di Asia dalam QS University Ranking Asia: 2019.
 
Penilaian ini dibuat berdasarkan kepada enam kriteria penilaian iaitu reputasi akademik, reputasi majikan, sitasi per fakulti, nisbah pelajar kepada fakulti, perkadaran pengantarabangsaan fakulti dan perkadaran pelajar antarabangsa. Bagi penarafan  indikasi pengantarabangsaan fakulti menunjukkan UMP berada di kedudukan 360 terbaik dunia manakala prestasi baik dalam indikasi reputasi pula menunjukkan UMP berada di kedudukan 501 terbaik dunia.
 
Menurut Naib Canselor UMP, Profesor Ir. Dr. Wan Azhar Wan Yusoff, pencapaian ini menyerlahkan kecemerlangan dalam pengajaran dan pembelajaran di UMP yang sentiasa memberi fokus kepada pelbagai aspek teknikal dan teknologi.
 
“Pencapaian ini merupakan petunjuk yang baik bahawa pendekatan pengajaran dan penyelidikan di universiti ini diiktiraf dalam melahirkan graduan yang kompeten menepati kehendak industri serta mendapat pengiktirafan antarabangsa,” katanya.
 
Selain itu, instrumen penanda aras ini membolehkan UMP mengkaji dan memperbaiki pencapaian universiti dari pelbagai perspektif. UMP akan terus bergerak maju sebagai pemain global bagi mencapai misi dan visi yang telah ditetapkan serta berada pada landasan terbaik sebagai universiti MTUN dalam memperkasa latihan kemahiran Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) di negara ini. 
 
Universiti ini akan terus meningkatkan prestasi dan amalan terbaik bagi memperkasa bidang pendidikan, penyelidikan dan perkhidmatan bertaraf dunia dalam ekosistem kejuruteraan dan teknologi dengan lebih kreatif juga inovatif yang dapat memanfaatkan masyarakat di negara ini.

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri