Skip to main content

UMP TRIZ hasilkan 300 projek inovasi tingkat bakat mahasiswa dalam kemahiran insaniah

Kuantan, 4 Mei- Penganjuran UMP TRIZ Innovation Exposition 4.0 anjuran Jabatan Kemahiran Insaniah Pusat Bahasa Moden dan Sains Kemanusiaan (PBMSK) menyaksikan lebih 300 projek inovasi dihasilkan membabitkan 1200 mahasiswa Universiti Malaysia Pahang (UMP) dipamerkan dalam pertandingan yang berlangsung di Kompleks Sukan UMP Gambang. Dengan bertemakan membantu orang kurang upaya, mahasiswa dinilai daripada aspek kemahiran insaniah (soft skills) dalam menangani setiap permasalahan berkaitan kejuruteraan dan teknologi yang dapat diaplikasikan dalam kehidupan seharian.

Majlis penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMP, Profesor Ir. Dr Wan Azhar Wan Yusoff, hadir sama Naib Presiden MyTRIZ, Tan Eng Hoo, Pengarah Institute of Social Information and Technological Innovations, Universiti Malaysia Sarawak (UMS), Profesor Dr Narayanan Kulathuramaiyer,  Dekan Pusat Bahasa Moden & Sains Kemanusiaan (PBMSK), Prof. Madya Dr. Muhammad Nubli Abdul Wahab dan Pengarah Pusat Keusahawanan UMP, Abdul Syukor  Abd. Razak.

Menurut Profesor Ir. Dr Wan Azhar, pertandingan ini memperkenalkan kaedah penyelesaian masalah inventif secara sistematik kepada mahasiswa dan masyarakat yang juga merupakan platform kepada mahasiswa untuk berinovasi dan mempamerkan kemampuan dimiliki yang mungkin dapat dikomersialkan. Beliau berharap pertandingan  TRIZ yang diadakan ini juga dapat menghasilkan lebih banyak inovasi atau produk yang dapat diketengahkan untuk pasaran tempatan dan antarabangsa.

Manakala pensyarah PBMSK merangkap Pengarah Program, Imaduddin Abidin berkata,  pertandingan inovasi ini adalah kemuncak kepada sesi pengajaran dan pembelajaran Subjek UHS2021 soft Skill II, iaitu yang memberi fokus terhadap pemikiran kritikal dan penyelesaian masalah. 

Ujarnya, banyak teknik dan metodologi dalam penyelesaian masalah, dan salah satunya ialah TRIZ iaitu Teori Penyelesaian Masalah Inventif yang dibangunkan oleh saintis Rusia iaitu Genrich Altshutler.

“Inovasi teknologi TRIZ mempunyai banyak kebaikan antaranya meningkatkan pemasaran dalam menghasilkan produk yang kreatif,  mempercepatkan proses pencarian penyelesaian masalah inventif dan inovatif. TRIZ juga secara saintifiknya merupakan satu pendekatan yang diasaskan kepada ramalan revolusi sistem teknologi, produk dan proses,” katanya.

Beliau berharap melalui tema 'mengupayakan golongan kurang upaya' ini, siswa siswi akan membawa nilai cakna dan prihatin di dalam kehidupan mereka selain dapat memberi perhatian terhadap golongan ini dengan menolong mereka dalam menawarkan pelbagai inovasi produk untuk kelangsungan hidup golongan tersebut ke tahap yang lebih baik.

Selain itu, sistem konvensional dan moden terhadap kajian pasaran lebih berkesan dibantu dengan TRIZ dalam analisis keperluan pasaran untuk masa hadapan. TRIZ adalah kaedah penyelesaian masalah secara inventif terkini yang menekankan aspek solusi yang lebih baik (better), murah (cheaper) dan lebih cepat (faster).

Pertandingan musim keempat ini menyaksikan projek “Express Pump” ciptaan Isma Aida Akhma Ismail memenangi Anugerah Kualiti Terbaik. Beliau bersama mahasiswa lain iaitu Hannani Hasan, Muhammad Faiz Rosli dan Sultan Omar Babalghaith menghasilkan inovasi mengepam tayar motorsikal menggunakan saluran atau tiup disambung pada ekzos kenderaan dua roda.  

Turut menang projek  “Medminder Pill Dispense” meraih Anugerah Khas Kreativiti, Anugerah Komuniti diraih projek “Sock It Easy” dan Anugerah Industri dimenangi projek “Smart Hand Glove” manakala lima projek menang Anugerah Projek Komersial iaitu “Universal Arthiritics Braces” , “Innovated Nail Clipper”,  “Smart Walker”, “Strokable Walker”, “The Braille Bag” dan “Meat Storage.”

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri