Skip to main content

UMP tumpu Inovasi Nilai 4.0 menuju kegemilangan

Universiti Malaysia Pahang (UMP) akan terus memperkasa bidang pendidikan, penyelidikan dan perkhidmatan yang bertaraf dunia dalam ekosistem kejuruteraan dan teknologi dengan lebih kreatif juga inovatif yang dapat memanfaatkan masyarakat dan negara ini. Majlis Amanat Naib Canselor UMP 2018 bertemakan `Inovasi Nilai 4.0: UMP di Lautan Biru memberi tumpuan Inovasi Nilai yang akan memberi impak kepada organisasi dan membawa manfaat terhadap komuniti.

“UMP harus menawarkan pembelajaran dan penyelidikan terhadap penyelesaian masalah dalam Industri dan teroka peluang baharu. Ini termasuklah segmen dan pendekatan yang baharu selain perlu mencipta perkara baharu, cipta inovasi yang mempunyai nilai yang tinggi. Kita jurutera kita perlu reka, “kata Naib Canselor UMP, Profesor Dato’ Sri. Dr. Daing Nasir Ibrahim dalam Majlis Amanat Naib Canselor UMP 2018 di Kompleks Sukan UMP di Gambang hari ini.

Bertepatan dengan tema menjana kegemilangan UMP akan terus merealisasikan Pelan Strategik UMP 2016-2020 dengan memfokuskan lima lonjakan strategik  iaitu  Keunggulan Akademik,  Kelestarian Kewangan, Keunggulan Penyelidikan dan Inovasi, Kemampanan Sosio-Ekonomi dan Persekitaran dan Keunggulan Jenama.

Ujar Profesor Dato’ Sri. Dr. Daing Nasir, UMP akan memastikan pembentukan kurikulum akademik yang akan dihasilkan lebih inovatif dengan disokong oleh staf yang kompeten dan profesional serta menjadikan infrastruktur akademik lebih efisyen berorientasikan keperluan masyarakat. Bercakap tentang Sistem Kalendar Akademik Trimester yang diutarakan Menteri Pendidikan Tinggi dalam Amanat KPT 2018, UMP akan memulakan pembelajaran dengan 3 semester mulai pengambilan bulan September tahun ini serta sedang merangka kaedah yang lebih berstruktur dalam pelaksanaan 2u2i di universiti ini.

Dalam perkembangan lain, UMP bakal berkolaborasi dengan Technical University of Munich (TUM) dan Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) bagi membangunkan Asia Centre of Excellence for Smart Technology (ACEST) sebagai menyediakan perkhidmatan penyelesaian tahap tinggi Revolusi Industri 4.0 di rantau ASEAN.

Tambah beliau, usaha melestarikan kewangan universiti usaha terus dilaksanakan  terhadap penjanaan pendapatan  dengan meningkatkan pelaburan serta mewujudkan persekitaran yang dapat menyokong terhadap kelestarian universiti. Tumpuan lain adalah inisiatif strategik UMP pada tahun ini dengan merangkumi Kilang Pengajaran, Projek Gelatin Halal dan Taman Bioaromatik di Luit Pahang.

Beliau turut berkongsi pencapaian universiti lima bintang apabila meraih kejayaan dalam pelbagai lapangan, antaranya pengiktirafan lima bintang dalam Penilaian Penyelidikan Malaysia (MyRA) melalui program penyelidikan, pembangunan dan pengkomersialan yang dilaksanakan universiti ini bagi pencapaian tahun 2016 berdasarkan keputusan yang dimaklumkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPT).

UMP juga cemerlang dengan lima bintang dalam Sistem Penarafan Universiti dan Kolej Universiti (SETARA) 2017, Penarafan Pengumpulan Data Kementerian Pendidikan Tinggi (MyMohes) 2017 dan terbaharu Anugerah Kecemerlangan Pengurusan Kewangan  dengan 5 Bintang berdasarkan Indeks Akauntabiliti Jabatan Audit Negara Bagi Tahun 2016. Turut membanggakan , UMP kekal sebagai  universiti pertama yang menerima Sijil Bersih daripada Jabatan Audit Negara selama tujuh tahun berturut- turut sejak tahun 2011 sehingga 2017.

Sistem penilaian ini akan memberi ruang dan peluang kepada UMP untuk membuat dasar termasuk penetapan dasar penting sekali gus menyemarakkan usaha membangunkan dan memantapkan universiti di negara ini selain mendapat pengiktirafan daripada masyarakat dan juga antarabangsa.

Beliau mengharapkan warga UMP akan terus berusaha mencipta kecemerlangan pada masa hadapan. Kejayaan ini juga selari dengan slogan UMP iaitu ‘Memasyarakatkan Teknologi’ terutamanya dalam melonjakkan keberhasilan penyelidikan dan penerbitan berimpak tinggi. Ianya juga bertepatan dengan hasrat kerajaan dan pihak KPT dalam menghasilkan penyelidikan dan inovasi yang dapat dimanfaatkan kepada masyarakat di negara ini.

Lebih 5000 warga hadir dalam majlis yang turut dihadiri Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni), Profesor Dato’ Dr. Yuserrie Zainuddin, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi), Profesor Dato’ Dr. Mashitah Yusoff,  Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Dato’ Dr. Rosli Mohd. Yunus dan Pendaftar, Abd. Hamid Majid. Majlis turut menyaksikan sumbangan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) sebanyak 10 ribu dalam usaha mengumpul Dana Tabung Pembinaan Masjid UMP bagi menjayakan Kempen Mahasiswa Bina Masjid.

Reports by:
Nur Laila binti Afandi