Skip to main content

UMP tumpu keselamatan dan kesihatan pekerjaan untuk kesejahteraan kampus

Kuantan, 13 Julai – Universiti Malaysia Pahang (UMP) meraikan ahli-ahli Jawatankuasa Penyelaras Keselamatan & Kesihatan Pekerjaan (JKKP), Jawatankuasa Kecil JKPP , penyelaras, ketua pusat tanggungjawab dan pihak Pejabat Pengurusan Keselamatan & Kesihatan Pekerjaan (OSHMO) dalam Majlis Apresiasi yang rlangsung di Bukit Gambang Resort Kuantan baru-baru ini dalam  memastikan tahap keselamatan dan kesihatan di tempat kerja mencapai piawaian yang ditetapkan.

Kewujudan jawatankuasa ini juga secara langsung membentuk budaya kerja selamat yang proatif dalam kalangan warga UMP. Malahan kejayaan beberapa makmal dan pusat tanggungjawab di universiti ini menerima persijilan ISO bagi keselamatan dan kesihatan pekerjaan selama ini membuktikan keupayaan pihak OSHMO untuk bersinergi dengan pelbagai pihak di UMP bagi mewujudkan iklim dan persekitaran kampus yang sejahtera, sihat dan selamat untuk warga kerja, mahasiswa dan pengunjungnya.

Hadir menyampaikan sijil penghargaan  adalah Naib Canselor UMP, Profesor Dato’ Sri Ts. Dr. Daing Nasir Ibrahim. Beliau juga amat sukacita dengan pencapaian skor 60 peratus  dan ke atas dalam eksesais Audit Penarafan KKP bagi tahun 2017 yang lalu.

“Pencapaian ini  berupaya untuk kita tingkatkan lagi dari segi peratusannya dari tahun ke tahun hasil kerjasama erat dari semua PTJ di kedua-dua kampus UMP. Jawatankuasa Keselamatan & Kesihatan Pekerjaan di peringkat Universiti akan terus melaksanakan peranan pemantauan dan penguatkuasaannya supaya komitmen kita ini dilihat serius dan tidak bermusim sifatnya,” katanya.

Selain itu, sewajarnya turut proaktif dalam menggembleng kapasiti teknikal dan saintifik yang dimiliki Universiti ini untuk mempergiatkan lagi inisiatif advokasi OSH di luar kampus dalam semangat “Memasyarakatkan Teknologi” yang mendasari pelaksanaan Pelan Strategik UMP 2016-2020.

“Kita tidak hanya mempunyai OSHMO di peringkat operasi pentadbiran, tetapi turut menawarkan program OSH di peringkat Sarjana Muda dan Diploma Eksekutif dan juga peluang penyelidikan dalam bidang berkenaan di peringkat Sarjana dan Doktor Falsafah,” tambah beliau.

Justeru, tenaga kepakaran dalam bidang ini memang berpotensi besar untuk dikembangkan ke lapangan masyarakat untuk manfaat kumpulan-kumpulan sasaran yang boleh dikenalpasti. Umpamanya, penglibatan UMP dalam program OSH at School amat positif dalam konteks advokasi budaya OSH dalam kalangan pelajar dan saya lihat inisiatif tersebut patut diteruskan.

Manakala Pengarah OSHMO, Muhammad Hairynizam Muhd Taib,  berkata, penglibatan pelbagai pihak di dalam KKP merupakan salah satu indikator yang digunakan bagi mengukur pembentukan budaya serta sebagai langkah meningkatkan amalan di setiap Pusat Tanggungjawab.

Dalam majlis ini Dato’ Sri Ts. Dr. Daing Nasir menyampaikan sijil penghargaan kepada semua ahli Jawatankuasa melalui audit penarafan 3 bintang dan 4 bintang mengikut kategori Fakulti & Makmal, Pentadbiran dan Kolej Kediaman.

Majlis menyaksikan Fakulti Kejuruteraan Kimia & Sumber Asli, Fakulti Teknologi Kejuruteraan, Makmal Berpusat, Pusat Teknologi Maklumat dan Komputer serta Pusat Penyelidikan & Pengurusan Sumber Alam berjaya mendapat penarafan 4 bintang.

Bagi penarafan 3 bintang pula Jabatan Pembangunan & Pengurusan Harta dan Kolej Kediaman 2 masing masing mendapat peratusan tertinggi bagi kategori Pentadbiran dan Kolej Kediaman. Hadir sama dalam majlis, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni”, Prof. Dato’ Dr. Yuserrie Zainuddin.

Disediakan oleh Mohammad Hakimi Kamarudin dari Bahagian Komunikasi Korporat

Reports by:
Siti Nurfarmy binti Ibrahim