Skip to main content

Warga UMP Santuni Komuniti Rohingya dan luar bandar

Penganjuran program Jalinan Kasih Bersama Komuniti anjuran Persatuan Pegawai Tadbir & Ikhtisas (PPTI) Universiti Malaysia Pahang (UMP) bersama beberapa rakan strategik  pada 13 Oktober 2019 yang lalu memberi peluang buat warganya menyantuni golongan komuniti Rohingya terutamanya kaum wanita mempelajari ilmu kemahiran dan celik pendidikan dalam kalangan kanak-kanak  di sini.

Prihatin dengan nasib mereka yang tinggal di sekitar penempatan Balok ini telah mendorong pihak PPTI untuk menjalinkan kerjasama dengan komuniti setempat sebagai jambatan penghubung antara institusi pendidikan dan institusi masyarakat. 

Program ini merupakan satu inisiatif sokongan yang penting terhadap usaha pihak UMP bersama rakan-rakan kerjasama yang lain dalam konteks perkhidmatan kebajikan bagi tujuan peningkatan kesejahteraan dalam kalangan masyarakat setempat khususnya bagi mereka yang memerlukan. 

Beberapa aktiviti telah dirangka khusus untuk komuniti Rohingya dari pelbagai peringkat usia yang seperti Kelas Bahasa Inggeris, kelas membaca, mengira, menulis (3M) dan kemahiran asas rumahtangga seperti kelas masakan, jahitan, dandanan, solekan, kelas penanaman hidroponik  serta sumbangan kepada  asnaf.

Program ini mendapat kerjasama daripada Islamic Medical Association of Malaysia Response & Relief Team (IMARET), The UN Refugee Agency (UNHCR), Dentistry for the Needy, KEMAS, Giat MARA, Sekolah Kebangsaan Balok, sukarelawan Kelab Penyayang, pelajar Briged Siswa dan Pengurusan Majlis Ko-Kurikulum UMP.

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Dato’ Saifuddin Abdullah yang merupakan Ahli Parlimen Indera Mahkota merangkap Menteri Luar Negeri. 

Dalam ucapannya, beliau menghargai komitmen sukarelawan hasil gabungan antara universiti dan semua yang terlibat atas inisiatif menganjurkan program ini terutama mahasiswa UMP yang sama-sama menjayakan program bersama komuniti Rohingya. 

“Malaysia telah mula menerima kedatangan komuniti Rohingya sejak  tahun 1998, namun di Kuantan saya tidak pasti sejak bila kehadiran komuniti ini. 

“Seperti yang kita maklum komuniti ini  terpaksa melarikan diri dari menjadi mangsa keganasan di Burma. 

“Sehingga kini, ada beberapa NGO yang membantu dalam keperluan dan pendidikan kepada golongan ini,” katanya yang hadir bersama isteri, Datin Norlin Shamsul Bahari.

Menurutnya lagi, kerajaan turut menggalakkan lebih banyak NGO untuk terlibat bagi membantu golongan ini. 
“Selain itu, kerajaan sedang mendapatkan tajaan antarabangsa untuk mendapatkan dana bagi membantu golongan ini terutama dalam pendidikan anak Rohingya.

“Persoalannya sekarang, sekiranya anak-anak ini cemerlang, bagaimana hala tuju mereka, justeru, kerajaan sedang meneliti perkara ini dan pada masa ini mereka menggunakan sebahagian kokurikulum Kerajaan Malaysia,” ujar beliau. 

Beliau turut mengharapkan masyarakat Malaysia dapat membantu dan berlapang dada untuk menerima kehadiran komuniti Rohingya ini.

Manakala Pengarah Program Jalinan Kasih Bersama Komuniti merangkap Presiden PPTI, Mohd Raizalhilmy Mohd Rais pula berkata, program ini merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial dalam menyumbang khidmat bakti kepada masyarakat setempat, terutamanya dalam memupuk semangat ingin belajar dan menimba pengalaman baharu. 

Lebih 300 komuniti Rohingya menyertai program ini.  Turut hadir Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni), Profesor Dato’ Dr. Yuserrie Zainuddin,  Timbalan Pengarah Pendidikan Negeri Pahang (Sektor Pembelajaran), Haji Abdul Rahim  Haji Mohd Yunos dan Ketua Pegawai Pendidikan Daerah Kuantan, Tuan Haji Miftah Haji Surif serta Presiden Rohingya Society in Malaysia (RSM), Faisal Islam Muhamad Kassim. 

 

Disediakan Nor Salwana Mohd Idris daripada Bahagian Komunikasi Korporat 

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri