Skip to main content
Warga UMP Sembelih 5 Ekor Lembu Laksana Ibadah Korban

Warga UMP Sembelih 5 Ekor Lembu Laksana Ibadah Korban

Pekan, 23 Ogos- Kemeriahan sambutan Hari Raya Aidiladha baru-baru ini lebih bermakna buat warga Universiti Malaysia Pahang (UMP) dengan penganjuran ibadah korban sempena mengambil keberkatan memenuhi tuntutan ibadah dan menghidupkan suasana Aidiladha dalam program Ibadah Korban anjuran Pusat Islam dan Pembangunan Insan (PIMPIN) baru-baru ini.

Sebanyak 5 ekor lembu korban disembelih dalam program yang bermula kira-kira jam 8.30 pagi dan berakhir jam 11.00 pagi serentak di kedua-dua kampus. Hadir dalam program Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni), Prof. Dato’ Dr. Yuserrie Zainuddin. 

“Alhamdulillah sambutan amat menggalakkan dalam penyertaan staf UMP dan yang lebih menariknya UMP turut menawarkan ibadah korban menerusi kaedah pemotongan gaji serendah RM20.00 setiap sebulan, justeru dengan skim ini diharapkan ianya dapat memberi kemudahan kepada warga UMP utuk mengerjakan ibadah korban pada tahun akan datang,” katanya.

Dalam pada masa yang sama seramai 130 sukarelawan yang terdiri daripada warga UMP bersama-sama bergotong- royong menjayakan  program ini sungguhpun masih terdapat warga yang sedang bercuti berhari raya namun aktiviti ini dapat dilaksanakan sehingga selesai.

Bagi Pengarah PIMPIN, Dr. Mahyuddin Ismail berkata pihaknya mengambil tanggungjawab menyembelih lembu ini diikuti dengan aktiviti gotong-royong melapah dan memotong daging. Seramai 29 penyumbang mengambil bahagian dan pihaknya turut menerima tajaan daripada pihak Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) dalam menjayakan program kali ini.

Ujarnya, program ini bermula dengan aktiviti sembelihan, melapah, membungkus dan mengagihkan daging korban kepada masyarakat setempat. Seterusnya warga UMP bergotong- royong melakukan aktiviti merewang dan memasak Nasi Beriani berlaukkan Gulai Kawah untuk dinikmati bersama warga kampus.

Disediakan oleh Nor Salwana Mohd Idris dari Bahagian Komunikasi Korporat PNC.

Reports by:
Siti Nurfarmy binti Ibrahim