Skip to main content

Yayasan Bank Rakyat terbaik sedia bantuan dalam sektor pendidikan

Kuala Lumpur, 13 Mac- Hasil kajian pensyarah Universiti Malaysia Pahang (UMP) bertajuk “Competitive Analysis of Selected Successful Corporate Foundation in Malaysia” mendapati Yayasan Bank Rakyat (YBR) merupakan yayasan terbaik di Malaysia dalam menyediakan bantuan pendidikan kepada pelbagai lapisan masyarakat sama ada kepada yang berpotensi tinggi mahupun kurang berkemampuan.  

Penyelidikan membabitkan empat yayasan korporat terpilih berdasarkan daya saing serta sumbangan mereka terhadap sumber manusia dalam pengurusan pendidikan ini. Kumpulan pensyarah dari Fakulti Pengurusan Industri (FIM) ini diketuai oleh Profesor Dato’ Dr. Ishak Ismail yang juga Penolong  Naib Canselor (Hal Ehwal Korporat dan Kualiti) bersama empat yang lain termasuk Naib Canselor UMP, Profesor Dato Sri Dr Daing Nasir Ibrahim, Dekan Institut Pengajian Siswazah (IPS), Profesor Dato Dr Hasnah Haron, Dekan FIM, Prof. Madya Dr Mohd. Ridzuan Darun dan Dr. Mohd. Hanafiah Ahmad.

Hadir menyampaikan pembentangan kajian, Profesor Dato Dr Hasnah berkata, YBR adalah terbaik dari segi pendekatan inovatif mereka dalam penjimatan kos dan kecekapan program melalui kerjasama pintar. Malahan YBR juga menggunakan pendekatan yang holistik dalam pendidikan dengan memenuhi kehendak semua lapisan masyarakat.

“Biasiswa tidak sahaja diberikan kepada pelajar cemerlang akademik tetapi  juga kepada mereka yang kurang berkemampuan, iaitu daripada keluarga B40 yang dilihat menerusi bakat  dan inisiatif khidmat sosial korporat (CSR),” katanya bersempena Majlis Pelancaran Biasiswa  Bank Rakyat di Kuala Lumpur semalam.

Selain itu katanya, UMP telah mengenalpasti cabaran dan strategi yang berjaya digunapakai oleh yayasan korporat ini untuk mengatasi cabaran yang akan menjadi amalan terbaik yang boleh dilaksanakan di yayasan korporat yang lain. Dalam pada itu, dapatan kajian juga  boleh dijadikan bahan kes yang dapat membantu dalam proses pengajaran dan pembelajaran.

Tambah beliau, dalam mengatasi kekangan sumber manusia, yayasan  dan organisasi boleh melaksanakan kerjasama pintar dengan pemegang taruh secara terus. Begitu juga dalam meningkatkan kebolehpasaran graduan, yayasan atau organisasi boleh memberikan pembelajaran pengalaman bekerja sebagai persediaan mengambil mereka bekerja setelah tamat pengajian.

Hadir merasmikan program, Pengerusi Bank Rakyat merangkap Pengerusi YBR, Datuk Noripah Kamso dan Pengurus Besar Bank Rakyat, Norashikin Shaharudin. Beliau mengumumkan pihak YBR kini menawarkan Biasiswa Bank Rakyat bagi membantu pelajar cemerlang melanjutkan pengajian ke peringkat asasi dan ijazah sarjana muda di Universiti Awam (UA) serta institusi pengajian tinggi swasta di dalam atau luar negara.

Ujarnya, setiap tahun YBR memperuntukkan 70 peratus daripada dana yang diterima daripada Bank Rakyat serta ahli untuk pembiayaan pendidikan serta insentif biasiswa kepada pelajar cemerlang. YBR memperuntukkan RM2.25 juta untuk program biasiswa tahun ini dan ia adalah daripada peruntukan keseluruhan pembiayaan pendidikan berjumlah RM24.88 juta.

Beliau percaya, dengan peruntukan biasiswa itu serta program modal insan yang menyeluruh akan berupaya memacu kecemerlangan dalam kalangan pelajar berpotensi sekali gus menjayakan misi kerajaan ke arah menjana modal insan berkualiti dengan minda kelas pertama.

Sementara itu, permohonan biasiswa berkenaan terbuka kepada warga negara Malaysia berumur 18 hingga 30 tahun yang akan melanjutkan pengajian dalam bidang data sains, pengkomputeran, kejuruteraan, teknologi maklumat, pengurusan dan kemanusiaan. 

Pemohon yang ingin melanjutkan pengajian pada peringkat asasi atau matrikulasi perlu memperoleh sekurang-kurangnya lapan A dalam Sijil Pelajaran Malaysia 2018. Bagi pemohon peringkat ijazah sarjana muda pula perlu memperoleh Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 3.50 dalam Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) , Sijil Tinggi Agama Malaysia, asasi, matrikulasi atau diploma. Mereka yang berminat, permohonan kini dibuka sehingga 28 Mac ini menerusi aplikasi telefon pintar MyBR serta laman sesawang, www.yayasanbankrakyat.com.my.

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri