Skip to main content

Yayasan UMP agih sumbangan Back To School secara janji temu

KUANTAN, 14 Januari 2021 – Seramai 104 orang anak-anak staf Universiti Malaysia Pahang (UMP) menerima sumbangan keperluan persekolahan daripada Yayasan UMP atas keprihatinan universiti dalam meringankan perbelanjaan persekolahan anak-anak staf yang kurang berkemampuan. 
Kelengkapan sekolah ini terdiri daripada pakaian sekolah, stoking, kasut, beg sekolah serta alat tulis buat anak-anak yang akan melangkah ke alam persekolahan tidak lama lagi.
Memandangkan kini negeri Pahang dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), UMP melaksanakan pemberian sumbangan ini menerusi janji temu dan staf hanya perlu hadir pada masa yang telah ditetapkan sahaja.
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Dato’ Dr. Yuserrie Zainuddin merangkap Timbalan Pengerusi Yayasan UMP berkata, hanya ibu atau bapa sahaja yang dibenarkan untuk masuk menemani anak-anak untuk mendapatkan kelengkapan sekolah tersebut.
“Selain itu mereka juga perlu mengikuti prosedur standard operasi (SOP) seperti memakai pelitup muka dan saringan suhu badan sebelum memasuki dewan.
“Prihatin terhadap staf UMP yang berkeperluan, Yayasan UMP tampil menghulur sumbangan kelengkapan sekolah ini buat tahun kedua.
“Semoga sumbangan ini dapat memberi semangat kepada anak-anak ini untuk belajar bersungguh-sungguh,” katanya. 
Hadir sama ialah Ketua Eksekutif Yayasan UMP, Mohd Jamil Mohd Ja’afar.
UMP turut menggerakkan usaha murni melalui kempen Staf Bantu Staf bagi mengumpul sumbangan dalam kalangan warga UMP untuk membantu staf yang lain terutamanya bagi sumbangan bencana, pembelian kelengkapan sekolah dan bantuan meringankan beban staf yang ditimpa masalah kesihatan. 
Selain itu, Yayasan UMP turut memfokuskan bantuan terhadap masyarakat setempat di negeri Pahang yang terlibat dalam bencana banjir baru-baru ini. 
Pengawal Keselamatan UMP, Nor Asfarida Mohd Nafiah, 39, hadir bersama dua orang anaknya Adam Haris Mohd Hairi,15 dan Daneal Iskandar Mohd Hairi yang belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Lepar Hilir untuk menerima bantuan berkenaan.
“Alhamdulillah, bantuan ini benar-benar membantu meringankan beban yang ditanggung.
“Sebagai seorang ibu tunggal, tanggungjawab saya lebih berat tatkala menyediakan persiapan kemasukan persekolahan anak-anak. 
“Bantuan ini dapat menjimatkan perbelanjaan dan wang peruntukan untuk pakaian sekolah, seterusnya dapat digunakan untuk membayar yuran,” katanya. 
Bagi Pemandu Kenderaan UMP, Muhamad Nazri Ismail, beliau amat bersyukur anaknya turut terpilih menerima sumbangan kelengkapan sekolah berkenaan. 
Beliau juga turut mengucapkan terima kasih kepada UMP dan Yayasan UMP yang sentiasa prihatin bukan sahaja kepada masyarakat setempat malah terhadap staf yang kurang berkemampuan. 
“Bantuan ini amat saya hargai dan membantu meringankan beban tatkala kos sara hidup yang semakin tinggi,” katanya.

Disediakan Oleh: Nor Salwana Mohd Idris, Unit Komunikasi Korporat, Pejabat Naib Canselor (PNC) 

Reports by:
Nor Salwana bt Hj Mohammad Idris