Skip to main content

Yayasan UMP terima sumbangan bantu mangsa banjir

KUANTAN, 14 Januari 2021 - Sumbangan 250 kit bantuan bencana berbentuk keperluan harian asas dan kebersihan diri termasuk beras, makanan kering, beg sekolah dan telekung antara yang diterima Yayasan UMP hasil sumbangan daripada Chemi-Con (M) Sdn. Bhd. untuk diagihkan kepada mangsa banjir di sekitar negeri Pahang.
 
Dalam memastikan sumbangan ini dapat diedarkan kepada mangsa banjir, seramai 40 orang sukarelawan Universiti Malaysia Pahang (UMP) membantu menguruskan pengagihan barang bantuan. 
 
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Dato’ Dr. Yuserrie Zainuddin yang juga merangkap Timbalan Pengerusi Yayasan UMP turut bersimpati dan mengambil berat terhadap keadaan mangsa banjir di negeri Pahang sehingga menyebabkan ramai pihak datang menghulurkan bantuan berbentuk makanan dan keperluan lain.
 
“Bantuan sukarelawan amat diperlukan bagi mengagihkan serahan kepada mangsa banjir, di samping kerja-kerja pembersihan. 

“Namun, situasi pandemik COVID-19 mengehad pergerakan para petugas dan sukarelawan.
 
“Mereka perlu sentiasa mengikut arahan semasa, peka dengan peraturan keselamatan dan sentiasa menjaga keselamatan serta mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan,” ujarnya. 
 
Profesor Dato’ Dr. Yuserrie mengucapkan terima kasih kepada pihak Chemi-Con (M) Sdn. Bhd. dan para penyumbang lain yang telah menghulurkan sumbangan melalui tabung Yayasan UMP mahupun barangan.

Muhammad Radzi Hassan hadir mewakili pengurusan syarikat untuk menyampaikan bantuan buat mangsa banjir di Pahang dan Kelantan.
 
Sehingga kini, seramai 146 orang sukarelawan telah berdaftar di bawah Jawatankuasa Bertindak Bencana UMP bagi menjayakan misi bantuan dan sukarelawan banjir pada kali ini.

Disediakan Oleh: Mimi Rabita Abdul Wahit, Unit Komunikasi Korporat, Pejabat Naib Canselor (PNC)

Reports by:
Mimi Rabita binti Abd Wahit