Skip to main content

Ziarah Ramadan Alumni UMP hulur bantuan ringankan beban asnaf

Kuantan,18 Mei – Prihatin dengan nasib sebahagian keluarga yang dihimpit kesusahan apatah lagi menjelangnya Hari Raya yang disambut tidak lama lagi, Persatuan Alumni Graduan Universiti Malaysia Pahang (UMP) menganjurkan program Ziarah Prihatin Ramadan bagi menyampaikan sumbangan kepada golongan ini.  

Program bermula pada jam 9.00 pagi di Masjid UMP dengan taklimat yang disampaikan Pengarah Program, Mohd Najib Razali membabitkan seramai 50 orang sukarelawan yang terdiri daripada alumni, staf dan mahasiswa UMP serta wakil daripada Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO)  

Bagi melancarkan agihan, para sukarelawan telah dibahagikan kepada beberapa kumpulan dan bergerak secara konvoi untuk menziarahi dan mengagihkan sumbangan berbentuk pek makanan dan wang tunai kepada 80 keluarga asnaf yang terpilih di sekitar Kuantan.

Menurut Mohd Najib yang juga pensyarah dan Timbalan Presiden Persatuan Alumni UMP, program pada tahun ini bertambah baik penganjurannya berbanding tahun sebelum ini dan lebih ramai keluarga asnaf telah menerima manfaat.

“Dalam usaha membantu keluarga yang berkeperluan ini, penerima sumbangan ini bukan sahaja dibantu pada bulan Ramadan sahaja, namun pelbagai program juga telah dirangka bagi membantu mereka meneruskan kehidupan seharian. Malahan sumbangan diteruskan pada edisi Program Ziarah Prihatin Aidilfitri menerusi Projek Baju Raya, Ziarah Prihatin Aidiladha dan sumbangan baju sekolah "Back to School" pada hujung tahun nanti,” katanya.

Pihaknya amat menghargai komitmen sukarelawan dan sokongan semua pihak yang telah bertungkus lumus menjayakan program ini termasuklah pihak NGO dan para penyumbang.

Bagi sukaralewan, Afiqah Yeop, yang juga merupakan pelajar pasca siswazah Fakulti Kejuruteraan Kimia dan Sumber Asli (FKKSA), selain dapat membantu meringankan beban dan memberikan keceriaan kepada para asnaf dengan sumbangan yang diagihkan, program ini juga dapat menyuntik rasa keinsafan di hati tatkala melihat kesusahan hidup orang lain. Selain itu melahirkan kekuatan dan semangat untuk terus menabur khidmat bakti dalam membantu orang lain yang memerlukan.

Manakala menurut Suhaimi Deraman, salah seorang asnaf dari Kg Tanjung Api, Kuantan yang menerima manfaat, bersyukur dengan sumbangan yang diberikan kerana dapat membantu meringankan beban beliau sekeluarga khususnya dalam membuat persiapan raya. Agak sukar bagi beliau menampung perbelanjaan buat 8 orang anak memandangkan tidak mempunyai pekerjaan tetap serta hanya memperolehi pendapatan sekitar RM700 sebulan dengan pelbagai kerja yang dilakukan.

Dalam pada itu pihak persatuan turut menganjurkan Program Singgah Sahur dan Penyampaian Sumbangan di Rumah Anak Yatim dan Miskin Nur Iman, Kempadang. Program dihadiri oleh 20 orang sukarelawan yang terdiri daripada alumni, pelajar UMP dan Ikram Muda Pahang. Seramai 40 orang penghuni dan staf Rumah Anak Yatim diraikan dalam program ini.

Pada sebelah petangnya pula berlangsung Majlis Iftar Perdana dan Penyampaian Sumbangan Pek Makanan dan Duit Raya yang telah diadakan Masjid Kampung Jaya Gading. Majlis diserikan dengan kehadiran Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Jaya Gading, Azmi Muhammad dan ahli khariah Masjid.

Seramai 20 asnaf dari Kg Jaya Gading telah menerima sumbangan pada majlis tersebut. Program yang dianjurkan ini telah mendapat kerjasama daripada Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JHEPA), Yayasan Ikram, I-Bantu Pahang, Ikram Kuantan, Gema Pahang, Hidayah Centre Pahang, Ikram Muda Pahang dan Pejabat Ahli Parlimen Kuantan.

Berita disediakan oleh Junaidi Zakaria, pensyarah UMP dan Naib Presiden Persatuan Alumni UMP. Suntingan oleh Bahagian Komunikasi Korporat.

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri