Skip to main content

InSmartive Bantu Calon SPM Rangka Hala Tuju Akademik

Seramai 101 pelajar Tingkatan 5 Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Abdullah dekat sini menerima pendedahan mengenai pemetaan hala tuju akademik pasca peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dalam Projek Kilauan Mutiara anjuran Kelab InSmartive. Program mendapat kerjasama Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (Saffad) Universiti Malaysia Pahang (UMP) yang berlangsung selama tiga hari. 

Menurut Pengurus Projek yang juga mahasiswa tahun 1, Fakulti Pengurusan Industri, Sharifah Nuraamirah Syed Abdul Hamid, 21 berkata reka bentuk modul sepanjang projek ini diasaskan kepada kaedah pembelajaran interaktif, perkongsian konstruktif dan pemikiran kritis melalui pelbagai aktiviti yang dijalankan secara individu dan berkumpulan.

“Projek ini bertujuan membina keyakinan diri peserta untuk membuat keputusan dan pilihan yang tepat dalam menentukan laluan akademik mereka. Program ini dikendalikan oleh 25 orang fasilitator dari Kelab InSmartive termasuklah empat alumni SMK Tengku Abdullah yang kini menuntut di UMP,” katanya.

Beliau yang juga merupakan alumni SMK Tengku Abdullah turut menambah bahawa pendekatan pelaksanaan projek yang dilatari suasana sekolah dan kampus UMP Pekan telah berjaya membuka minda para peserta untuk memaknakan transformasi sikap demi masa depan mereka.

Program dirasmikan oleh Pengetua SMK Tengku Abdullah, Haji Suhaimi Hussain yang turut berharap supaya inisiatif berkenaan diteruskan pada masa akan datang bagi manfaat  pelajar sekolah tersebut.

Haji Suhaimi turut menyampaikan anugerah peserta terbaik kepada Shahrul Hamdi Mushafil Adzemi dan Sarah Norhanani Saadan dalam majlis perasmian penutup program berkenaan. Turut hadir dalam majlis Penasihat Kelab InSmartive iaitu Wan Nazrul Helmy Wan Mohd Zain yang merupakan Ketua Penyelidik di Pejabat Naib Canselor UMP serta Muhammad Aizat Azed, Presiden Kelab InSmartive.

 

Berita disediakan oleh Sharifah Nuraamirah Syed Abdul Hamid, Pengurus Projek manakala foto oleh Mohamad Faris Adham Mohd Rozi dan Wan Aniq Ridhwan Wan Ariffin. Berita disunting oleh Bahagian Komunikasi dan Korporat UMP.

Reports by:
Nur Laila binti Afandi