Skip to main content

Alumni UMP Diseru Terus Sumbang Karya, Idea 

Kuala Lumpur, 21 Disember-  Alumni Universiti Malaysia Pahang (UMP) diseru agar meneruskan usaha menyumbang hasil karya kebudayaan di universiti kerana ianya dapat membantu mahasiswa junior Sekretariat Kebudayaan UMP dengan mengekalkan warisan budaya di kampus. 

Kehadiran seramai 23 alumni daripada Chapter Alumni (Kebudayaan) ini merupakan hasil inisiatif pihak Pusat Sukan dan Kebudayaan UMP yang berjaya menganjurkan program Sepetang Bersama Alumni (Kebudayaan) UMP yang buat julung kalinya dianjurkan di Hotel Istana Kuala Lumpur baru-baru ini.

Ianya merupakan salah satu strategi untuk meluaskan jaringan alumni UMP yang bersesuaian serta memperkasakan hubungan universiti bersama alumni. Dalam pada itu, sumbangan alumni kepada alma mater atau universiti tempat mereka belajar ini  dengan memberi sumbangan secara sukarela dapat mengekalkan dan memperkembangkan pembangunan dan kelestariannya universiti ini. Setiap alumni melalui pengalaman daripada zaman belajar kepada graduan yang unik dan berbeza, justeru mempunyai potensi untuk setiap alumni menyumbang kepada universiti dalam cara dan skala yang pelbagai.

Menurut Dekan Pembangunan Pelajar, Jabatan Hal Ehwal Pelajar & Alumni, Dr. Ahmad Johari Mohamad  di hadapan 23 alumni  UMP dalam program sepetang Bersama Alumni (Kebudayaan) UMP  bertempat di Hotel Istana, Kuala Lumpur baru-baru ini.

“Kita seharusnya mengekalkan warisan budaya kerana ia melambangkan identiti sesebuah masyarakat dan tidak boleh dipisahkan daripada kelompok masyarakat. Budaya ini sewajarnya seimbang dan tidak didominasi oleh budaya tertentu. Budaya ini bukan sekadar pada muzik dan seni persembahan namun kita boleh kembangkan juga kepada jenis makanan, fesyen, seni mempertahankan diri, seni lukis, adab dan lain-lain lagi,” ujarnya.

Tambah beliau, apa yang kita dapat lihat hari ini golongan muda lebih cenderong untuk mengambil budaya luar berbanding budaya sendiri. Sepatutnya kita haruslah mempertahankan budaya etnik kita sendiri.  

Selain itu katanya, pihak universiti sentiasa mengalukan sumbangan tenaga, idea  alumni untuk terus membantu universiti serta menjaga nama baik UMP. Jika tidak dapat memberikan masa dan tenaga, alumni juga boleh menyumbang kepada sumbangan atau endowmen kepada Yayasan UMP.  

Pada masa yang sama para alumni turut berpeluang berkongsi perkembangan pencapaian UMP yang disampaikan oleh Eksekutif Kanan,Pusat Hal Ehwal Korporat dan Kualiti, Hazlina Faizal dan perkembangan terkini mengenai Pusat Kebudayaan yang dibentangkan oleh Pegawai Kebudayaan Kanan UMP, Mohd Zaki Ahmad.

Manakala bagi Presiden Chapter Alumni (Kebudayaan), Muhammad Azim Omar, 31 yang merupakan alumni Ijazah Sistem Komputer UMP mengucapkan tahniah di atas pencapaian cemerlang UMP sehingga ke peringkat  antarabangsa. Selama 10 tahun meninggalkan UMP banyak perubahan yang telah berlaku dan berbangga apabila Kelab Kebudayaan dan Kesenian UMP juga telah dinaik taraf kepada Sekretariat  Kebudayaan dan kesenian.

Beliau yang bertugas sebagai Jurutera Sistem di Petronas ICT Sdn Bhd. mengharapkan lebih banyak program diadakan sebagai platform terbaik untuk berkenalan di samping dapat berkongsi idea untuk kebudayaan universiti dan dianjurkan pada masa akan datang. Hadir sama Pengarah, Pusat Sukan dan Kebudayaan,  Profesor Dato' Ts. Dr. Rosli  Abu Bakar.

Disediakan Nor Salwana Mohd. Idris daripada Bahagian Komunikasi Korporat

Reports by:
Siti Nurfarmy binti Ibrahim