Skip to main content
Seimbang akademik dan kokurikulum lahir mahasiswa kompeten

Seimbang akademik dan kokurikulum lahir mahasiswa kompeten

Kuantan, 5 Disember –Dalam melahirkan graduan yang mempunyai keterampilan yang tinggi dan kompeten, seseorang mahasiswa tidak seharusnya handal dalam bidang akademik sahaja, malahan mereka juga perlu mempunyai sifat kepimpinan, komunikasi, kemampuan untuk menguruskan tekanan dan menyelesaikan krisis yang dihadapi.

Bagi alumni Universiti Malaysia Pahang (UMP) dari Fakulti Kejuruteraan Awam dan Sumber Alam, Ding Yong Jie,  dengan menyertai aktiviti kokurikulum dan memaknakan pengalaman kampus menjadikan mahasiswa lebih trampil dan berjaya dalam bidang kerjaya kelak.

Tidak hairanlah Ding Yong Jie yang aktif dalam mengambil bahagian dalam  program Malam Kebudayaan Winter Solstis, Malam Kebudayaan Cina, Kejohanan Badminton Berpasukan Terbuka UMP dan dilantik Exco Kejuruteraan Awam menerima Anugerah Kecemerlangan Ir. Kee Book Hee sempena  Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Pahang (UMP) Ke-13 yang berlangsung di Kompleks Sukan, Gambang baru-baru ini.

Pemegang Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Kejuruteraan Awam, berkata kesibukan dalam  akademik bukanlah penghalang buat beliau untuk turut bergiat aktif dalam aktiviti kokurikulum  termasuk sukan dan kepimpinan.

Dalam pada itu menurut Yong Jie,24, bapanya, Ding Teick Meng, 52, yang merupakan pemborong sayur-sayuran dan ibunya, Chian Siaw Lee, 45, suri rumah merupakan penyumbang terbesar kepada kejayaannya. Malahan mereka tidak pernah jemu untuk membimbing, memberi semangat serta motivasi.

"Sudah semestinya ibu bapa adalah sumber inspirasi kepada saya walaupun dibesarkan dalam keluarga susah, namun mereka tetap memastikan saya dan adik beradik mempunyai peluang untuk meneruskan pembelajaran kerana bagi mereka dengan pendidikan mampu mengubah masa depan keluarga,” katanya yang merupakan anak kedua daripada empat beradik itu.

Pemenang pingat emas dalam pertandingan I-Envex 2018 serta top 10 gold award dalam pertandingan Citrex 2018 berhasrat untuk menjadi seorang professional engineer dalam jangka masa 5 tahun lagi.

Disediakan oleh Siti Nurfarmy Ibrahim dari Bahagian Komunikasi Korporat

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Siti Nurfarmy binti Ibrahim