Skip to main content

2 industri terima Anugerah Kecemerlangan UMP

Kuantan, 28 Ogos 2020 – BASF Petronas Chemical Sdn. Bhd. (BASF) dan Volkswagen Group Malaysia (VGM) dinobatkan sebagai penerima Anugerah Rakan Industri Terbaik dalam Majlis Apresiasi bersempena Hari Inovasi & Kualiti Universiti Malaysia Pahang (UMP) 2020 yang berlangsung di Dewan Kompleks Sukan, UMP Gambang baru-baru ini.

Inisiatif akademia-industri ini adalah usaha memindahkan ilmu dan teknologi kepada masyarakat yang selari dengan Perancangan Pelan Strategi UMP 2021- 2025 bertemakan ‘Teknologi Untuk Masyarakat' bagi memperkasa kerjasama merentasi akademik, pembangunan dan penyelidikan serta perkhidmatan.

Kerjasama baik universiti dan industri ini turut memperlihatkan komitmen berterusan pihak BASF yang telah menjadi penaja bagi graduan kejuruteraan kimia dalam Majlis Konvokesyen UMP selama lima tahun berturut-turut. 

Di samping itu juga, BASF turut bekerjasama dalam menjayakan program khidmat sosial termasuklah menyumbang kepakaran dan pengalaman khusus buat pelajar dan staf UMP.

Manakala pihak VGM pula sentiasa menyokong usaha sama dalam memperkasa program kejuruteraan apabila menyumbangkan sebanyak empat model kereta kepada UMP yang bernilai RM382,072.43. 

VGM turut menempatkan pelajar dari program dual ijazah bagi menjalani latihan industri.

Menurut Ketua Pengeluaran VGM, Nor Hayati Othman, hubungan strategik ini telah mula dijalinkan sejak setahun yang lalu. 

“Pada semester lepas pihaknya telah menerima pelajar yang menjalankan latihan industri dan empat orang lagi dijangka akan menyertai program selepas ini.

“Kami amat berpuas hati dengan kebolehan pelajar UMP menjalani latihan industri memandangkan mereka mempunyai kemahiran teknikal yang tinggi dan mudah memberi kerjasama terhadap tugasan,”

“Selain itu juga memandangkan para pelajar ini dapat menguasai bahasa Jerman dengan baik ia memudahkan dalam melaksanakan tugasan seharian. 

“Pihak kami amat menghargai penganugerahan ini dan mengharapkan banyak lagi kerjasama di antara UMP dan VGM dapat diteruskan pada masa akan datang,” ujarnya. 

Sementara itu, Pengarah Perkhidmatan BASF, Ir. Shahruny Mohd Akil memuji pelajar UMP yang dilihat bukan sahaja cemerlang dalam akademik malahan berkemahiran pada sewaktu menjalankan latihan industri. 

“Mereka ini komited terhadap tugasan. Selain itu juga kerjasama ini memberi manfaat buat staf BASF yang berpeluang menyambung pengajian di UMP,” katanya. 

Memasuki edisi keempat penganjuran sejak mula diperkenalkan pada tahun 2017, Anugerah Kecemerlangan Industri & Masyarakat (AKIM) diberikan sebagai penghargaan terhadap keterlibatan sama dalam aktiviti mahupun program bersama industri dan komuniti agar terus komited dalam menyumbangkan ilmu serta kepakaran terhadap industri dan komuniti.

Terdapat enam kategori bagi anugerah kecemerlangan ini iaitu Anugerah Kualiti Kerjasama Industri (Kategori Staf Akademik), Anugerah Kualiti Kerjasama Masyarakat (Kategori Staf Akademik), Anugerah Kualiti Kerjasama Industri (Kategori Staf Bukan Akademik), Anugerah Kualiti Kerjasama Masyarakat (Kategori Staf Bukan Akademik), Anugerah Rakan Industri Terbaik dan Anugerah Rakan Komuniti Terbaik.

Disediakan Oleh: Siti Nurfarmy Ibrahim, Unit Perhubungan Awam, Pejabat Naib Canselor

Reports by:
Siti Nurfarmy binti Ibrahim