Skip to main content

Iktiraf Pencapaian Mahasiswa UMP

Kuantan, 19 Disember- Muhamed Al- Fateh  Abd Razak, 22 dinobatkan sebagai penerima Anugerah Tokoh Siswa Universiti Malaysia Pahang (UMP) 2019 apabila memenangi Anugerah Teras Kepimpinan dan Anugerah Teras Pengucapan Awam pada Majlis Anugerah Kokurikulum & Sanjungan Pelajar 2019 di  Hotel Vistana Kuantan baru-baru ini.

Mahasiswa Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer (Kejuruteraan Perisian) itu ditabalkan pemenang apabila menampilkan kepimpinan sebagai Pengerusi Jabatan Komunikasi & Korporat, Majlis Perwakilan Pelajar 2018/2019. Selain itu, anak jati Muar,Johor ini  juga turut aktif dalam bidang pengacaraaan, pengucapan awam dan debat. Beliau  juga aktif dalam penganjuran program, Speaker corner dan terkini sedang aktif dalam penubuhan Dewan Perundingan Pelajar. 

Anak bongsu pasangan Ab Razak  Ibrahim,61, dan Fabilah Atan,54 pernah mewakili UMP dalam Parlimen Mahasiswa 2017 dan berpeluang berucap selama 30 minit membentangkan usul TN50. Dalam ucapannya beliau bersyukur dan teruja dengan anugerah yang diberikan dan menganggap ianya sebagai pendorong agar ia terus mengecapi kejayaan dan terus aktif di universiti.

Penyampaian hadiah disampaikan Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa), Profesor Ts. Dr. Mohd. Rosli Hainin. Hadir sama Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni),  Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainudin, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi), Profesor Ts. Dr. Kamal Zuhairi  Zamli, Pengarah Pusat Sukan dan Kebudayaan, Profesor Dato'.Ts.Dr. Rosli Abu Bakar dan Dekan Pembangunan Pelajar Jabatan Hal Ehwal Pelajar & Alumni, Dr. Ahmad Johari Mohamad.

Menurut Profesor Ts. Dr. Mohd. Rosli yang membacakan teks ucapan Naib Canselor berkata, Malam Anugerah Kokurikulum dan Sanjungan Pelajar ini sebagai manifestasi apresiasi terhadap perkhidmatan dan sumbangan badan-badan pelajar serta para penggeraknya dalam mengimarahkan iklim pengalaman kampus di UMP. 

"Program ini juga membuktikan komitmen berterusan pihak pengurusan untuk mengiktiraf peranan signifikan para mahasiswa dalam konteks pembangunan Universiti ini, khususnya dari sudut kemahiran insaniah yang dicirikan kecemerlangan jasmani, emosi, rohani dan intelek sebagaimana aspirasi Falsafah Pendidikan Negara. 

Nilai tambah daripada pelbagai inisiatif, program, projek dan aktiviti tersebut bukan sahaja bermanfaat dalam konteks pengayaan (enrichment) pengalaman kampus semasa menuntut di Universiti ini, tetapi lebih dari itu, memberikan impak yang tidak sedikit dalam jangka panjang kepada peningkatan keterampilan diri dan kebolehpasaran sebagai graduan,” katanya. 

Menurutnya, bagi merangsang penyertaan dalam pelbagai gerak kerja kemahasiswaan berdasarkan bidang-bidang teras yang telah dikenal pasti, pihak pengurusan telah memperkenalkan beberapa inisiatif baharu untuk dimanfaatkan sebaik mungkin oleh mahasiswa. 

Ianya dirumus bagi mengekalkan kecemerlangan daya saing dan kebolehpasaran graduan kita (graduate employability) yang kini mencapai 96 peratus bagi tahun ini. Selain transkrip akademik, kini para graduan juga boleh mendapatkan transkrip kedua yang dikeluarkan Jabatan Hal Ehwal Pelajar & Alumni sebagai testimoni autoritatif mengenai penglibatan mereka dalam gerak kerja kemahasiswaan sepanjang pengajian di Universiti ini. 

Begitu juga i-CGPA turut diperkenalkan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (Pendidikan Tinggi) telah dikembangkan melalui inisiatif x-CGPA yang lebih bersifat holistik dan mendasar dengan tumpuan penaksiran kepada sepuluh atribut khusus iaitu kemahiran insaniah, nilai, sikap dan profesionalisme, kemahiran komunikasi, kepimpinan dan kerja berpasukan, kemahiran penyelesaian masalah, kemahiran pengurusan maklumat dan pembelajaran sepanjang hayat, keusahawanan, kreativiti, perpaduan dan patriotisme serta kesukarelawanan. 

Majlis turut menyaksikan penyampaian Anugerah Naib Canselor UMP dan Anugerah Teras Khidmat Komuniti yang telah dimenangi oleh Ezwan Shah Mohd Nordin manakala Anugerah Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar & Alumni serta Anugerah Teras Daya Usaha & Inovasi telah dimenangi oleh Muhammad Taufiq A. Rahman. Bagi Anugerah Teras Kesukarelawanan pula telah dimenangi oleh Mohamad Hanif Fitri Nordin dari Fakulti Pengurusan Industri. Manakala Anugerah Teras Kebudayaan telah dimenangi oleh  Mohamad Firdaus Ab Hadi dari Fakulti Sains & Teknologi Industri dan Anugerah Badan Beruniform pula dimenangi oleh Nur Izana Zaherman dari Fakulti Pengurusan Industri. 

Anugerah Penasihat Terbaik telah dimenangi oleh  Al Muhaimin Ali yang merupakan Pegawai Belia dan Sukan UMP merangkap Penasihat Kelab Memanah UMP yang banyak mengharumkan nama universiti dalam sukan memanah. Manakala Anugerah Teras Kesukanan telah dimenangi oleh Fadhil Ashraff Ab Rahim dari Kolej Kejuruteraan. Anugerah Kelab terbaik telah dimenangi oleh Perwakilan Mahasiswa Kolej Kediaman 4 (PEKA 4) dengan membawa pulang  piala  serta geran bernilai RM 10,000 dan bagi Anugerah Kelab Harapan pula telah dimenangi oleh Sekretariat Kebudayaan dan Kesenian.

Disediakan oleh Nor Salwana Mohd Idris daripada Bahagian Komunikasi Korporat 

Reports by:
Siti Nurfarmy binti Ibrahim