Skip to main content
praveen-maybank

Praveen juara Pertandingan Maybank-ICMS

Pelajar Ijazah Sarjana Muda Fakulti Kejuruteraan Kimia dan Sumber Asli Universiti Malaysia Pahang (UMP), Praveen A/L Manogaran  menjuarai Pertandingan Maybank-ICMS: Decode. Disrupt. Define anjuran Syarikat Perbankan Malayan Banking Berhad (Maybank) dengan kerjasama The International Council of Malaysian Scholars and Associates (ICMS) yang berlangsung di Menara Maybank, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Pertandingan ini terbuka kepada semua pelajar dari institut pengajian tinggi awam dan swasta bagi memberi pendedahan kepada generasi muda mengenai cabaran dalam industri perbankan pada masa hadapan. Ianya terbahagi kepada dua sesi iaitu, perkongsian bersama pakar kewangan dan pertandingan yang berkonsepkan simulasi berdasarkan kes yang dikemukakan.

Menurut Praveen yang merupakan Exco Keusahawanan dan Inovasi Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) sesi 2017/2018, dengan hanya mempunyai latar belakang dalam kejuruteraan beliau tidak menyangka menjuarai pertandingan tersebut. Kes yang dibentangkan membincangkan tentang bagaimana mengurangkan peningkatan bilangan rakyat yang tidak mempunyai akaun simpanan di Malaysia.

“Hasil cadangan yang bernas serta solusi yang bertepatan dengan kes membolehkan   pasukan kami menjuarai pertandingan ini,” katanya yang berganding bahu bersama mahasiswa lain dari Universiti Taylor, Sunway, dan Monash sebagai satu pasukan,” katanya. Kejayaan ini membolehkan beliau memenangi tiket percuma ke Pertandingan Golf anjuran Maybank dan berpeluang beramah mesra bersama pemain ternama sukan tersebut. 

Pesanan Praveen mahasiswa tahun 3 ini, dalam dunia yang penuh mencabar para graduan seharusnya meluaskan tahap pengetahuan serta mempunyai pelbagai kemahiran serta mengharapkan mahasiswa UMP tidak membataskan diri dalam satu bidang sahaja supaya menjadi graduan yang memenuhi kehendak pasaran.

 

Disediakan oleh Nur Laila Afandi dari Bahagian Komunikasi dan Korporat, Pejabat Naib Canselor.

Reports by:
Nur Laila binti Afandi