Skip to main content

UMP Advanced Sumbang RM5.8J

UMP Advanced merupakan anak syarikat milik penuh Universiti Malaysia Pahang (UMP) yang memfokuskan kepada aktiviti pembelajaran sepanjang hayat (PSH) menjadi tonggak kepada penjenamaan pendapatan universiti. Ianya selari dengan hasrat kementerian dalam menjadikan universiti awam mampan dan lestari dari segi kewangan, UMP Advanced berperanan dalam merealisasikan hal tersebut.

UMP Advanced berjaya merekodkan pencapaian pertumbuhan sebanyak 39 peratus pada 2017 iaitu RM21.4 juta secara keseluruhannya berbanding pencapaian pada  tahun 2016 sebanyak RM15.4 juta.

Menurut Pengerusi Lembaga Pengarah UMP Advanced, Haji Ahmad Zakie Haji Ahmad Shariff, UMP Advanced yang ditransformasikan pada tahun 2014, iaitu lanjutan daripada penubuhan asalnya yang dikenali sebagai Centre for Continuing Education & Professional Development (CENFED), dengan fungsi asalnya untuk pembangunan kemahiran dalam kalangan mahasiswa UMP.

Fungsi UMP Advanced kini telah diperluaskan dengan penawaran program Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) merangkumi program profesional dan eksekutif peringkat diploma sehingga sarjana, program perdana peringkat ijazah sarjana muda dan pembangunan dan penyelarasan latihan dan kemahiran.

 

Program yang ditawarkan ini meliputi pelbagai bidang ilmu untuk lapisan masyarakat bermula dari peringkat sekolah sehinggalah peringkat tertinggi pengajian dan ada daripadanya mendapat pengiktirafan daripada badan profesional seperti program Persijilan Pegawai Kesihatan & Perkerjaan (SHO) daripada Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), sehingga kepada program-program yang dirumuskan khas mengikut keperluan terkini industri-industri yang berkaitan.

Bagi Ketua Pegawai Eksekutif UMP Advanced, Dr. Mohamad Rozi Hassan, sumbangan syarikat kepada UMP untuk pencapaian pada tahun lalu berjumlah RM5.8 juta adalah yang tertinggi sejak ditransformasikan daripada sebuah pusat tanggung jawab di bawah universiti. Penyaluran sumbangan ini meliputi dividen dan bayaran perkhidmatan kepada universiti serta agihan pendapatan kepada fakulti dan pusat tanggung jawab yang menjalankan program dengan UMP Advanced.

Penyerahan agihan pendapatan ini telah disampaikan Dr. Mohamad Rozi Hassan kepada Naib Canselor UMP, Profesor Dato’ Sri Ts. Dr. Daing Nasir Ibrahim yang juga disaksikan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah UMP, Dato’ Sri Ibrahim Ahmad dan Pengerusi Lembaga Pengarah UMP Advanced, Haji Ahmad Zakie Haji Ahmad Shariff dalam Majlis Aspresiasi Pembelajaran Sepanjang Hayat yang berlangsung di Kompleks Pentadbiran Utama UMP Kampus Gambang.

UMP Advanced menawarkan program-program PSH meliputi program separuh masa, program sepenuh masa mod fleksibel dan kemasukan khas serta program profesional atau eksekutif yang ditawarkan kepada warga kerja industri untuk menyambung pengajian bagi latihan semula atau peningkatan kemahiran. Kursus-kursus jangka pendek yang melibatkan pensijilan kompetensi seperti kesihatan dan keselamatan pekerjaan turut ditawarkan.

 

Pihaknya juga turut memainkan peranan aktif dalam membantu universiti memberikan khidmat dan tanggung jawab sosial kepada masyarakat melalui latihan kemahiran akademik kepada pelajar sekolah rendah dan menengah yang menduduki peperiksaan utama di bawah program Empower Mahkota ECER. Di samping itu juga, program kemahiran dan keusahawanan turut dijalankan kepada golongan B40 bagi memberikan latihan yang sewajarnya kepada masyarakat dalam meningkatkan pendapatan dan sosio-ekonomi mereka.

UMP Advanced juga membantu dari segi peningkatan enrolmen pelajar ambilan luar UMP sama ada pelajar sepenuh masa mahupun separuh masa yang kebanyakannya merupakan warga kerja industri yang turut memberi nilai tambah kepada kadar kebolehpasaran pelajar.  Aktiviti yang dijalankan syarikat juga selari dan menyokong dasar yang dibuat kerajaan melalui Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam membangunkan modal insan negara yang menyokong agenda PSH yang turut memfokus kepada pendidikan TVET. Malahan peluasan akses pendidikan kepada golongan sasaran juga dapat mencapai matlamatnya.

Dalam pada itu pihaknya akan sentiasa komited untuk meninjau peluang-peluang baharu yang dapat membantu aktiviti penjanaan pendapatan syarikat khususnya dalam pembangunan program baharu yang mendapat sambutan dan terpandu kepada ledakan revolusi industri 4.0 ini dan juga perlu bersedia untuk kemunculan industri 5.0 selepas ini.

Program yang ditawarkan juga perlu mengarah kepada peluang pekerjaan masa hadapan yang masih belum dicipta. Ianya merupakan satu mobiliti sosial yang perlu direbut oleh warga kerja industri dan masyarakat umum sekaligus memberikan impak yang besar ke arah melahirkan generasi berilmu dan berkemahiran dalam mendepani cabaran masa untuk mencapai hasrat dan visi Transformasi Nasional (TN50).

Reports by:
Nur Laila binti Afandi