Skip to main content

 

 

UMP E-Newsletter

Info Sekitar Kampus

UMP perkenal 6R kekal kampus lestari

BIL. 20 MAC 2019

Oleh: MOHD. MARZUKI MOHAMED, PEJABAT PENGURUSAN KESELAMATAN DAN KESIHATAN PEKERJAAN (OSHMO)    

Universiti Malaysia Pahang (UMP) melancarkan Polisi Hijau UMP dan Kempen 'Let’s Break Up with Single-Use Plastic' bagi mengurangkan penggunaan plastik oleh warga kampus pada 19 Februari 2019 yang lalu di Dewan Kompleks Sukan, UMP Kampus Gambang. 

Ia adalah usaha berterusan hasil inisiatif Jawatankuasa Kelestarian UMP di bawah Kluster Pengurusan Sisa dalam menyemai kesedaran menghapuskan penggunaan single-use plastics di UMP. 

Universiti memfokuskan enam prinsip iaitu Refuse, Reduce, Reuse, Recycle, Rot & Re-Think dalam aspek pengurusan sisa yang merupakan salah satu bidang kesihatan persekitaran.

Pelancaran kempen yang disempurnakan Naib Canselor UMP, Profesor Dato’ Sri Dr. Daing Nasir Ibrahim bersempena Majlis Amanat Tahunan 2019 baru-baru ini merupakan langkah proaktif UMP dalam menyahut seruan kerajaan seiring dengan Malaysia’s Roadmap Towards Zero Single-Use Plastics 2018-2030 yang dilancarkan oleh Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar & Perubahan Iklim (MESTECC) pada 17 Oktober tahun lalu.

Menurut Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi), Profesor Dato’ Dr. Mashitah Mohd Yusoff yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kelestarian Kampus, antara tumpuan utama kempen ini adalah menggalakkan penggunaan penyedut minuman, beg dan pembungkus makanan dan minuman yang boleh diguna semula.

“Ketiga-tiga bahan tersebut menyumbang kepada 30 hingga 40 peratus sisa yang dijana di universiti. 

“Sisa yang sukar diterima oleh pihak vendor untuk dikitar semula akan menyebabkan pencemaran kepada alam sekitar disebabkan oleh sifatnya yang sukar terurai,” katanya. 

Pengurusan sisa secara lestari ini juga diperkasakan lagi dengan pembangunan dan pengoperasian Pusat Kompos dan Kitar Semula yang terletak di dalam kampus. 
 
Selain itu, kempen ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran kepentingan tanggungjawab bersama warga UMP dalam mengurangkan penjanaan sisa pepejal domestik UMP yang mana ianya akan mengurangkan jumlah sisa yang dihantar ke tapak pelupusan sampah dan seterusnya membantu mengurangkan pencemaran alam sekitar dan penghasilan gas rumah hijau yang memberi kesan buruk terhadap iklim dunia.

BIL. 20 MAC 2019

Dalam pada itu, pelbagai program telah dilaksanakan dan akan dilaksanakan oleh pihak Pejabat Pengurusan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSHMO) secara lestari dalam meningkatkan kesedaran terhadap usaha ini. 

Antaranya, 'MYTAPAU' yang mana warga UMP diberikan insentif sekiranya mereka menggunakan bekas makanan sendiri untuk membungkus makanan. 

UMP juga turut bekerjasama dengan Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Kuantan dalam usaha mengitar semula semua bahan cetakan seperti kain rentang (banner) yang telah digunakan menjadi beg terpakai (reusable bag).

UMP tersenarai pada kedudukan ke-97 terbaik dunia dan ke-6 terbaik di Malaysia dalam Penarafan UI Greenmetric World University Ranking 2018 berdasarkan usaha kelestarian kampus hijau dan pengurusan alam sekitar yang telah diumumkan baru-baru ini. 

Keputusan itu juga menjadikan UMP berada pada kedudukan ke-29 terbaik Asia dan kedudukan ke-16 di Asia Tenggara.  

Penilaian dibuat berdasarkan tujuh kriteria utama iaitu Keluasan Tanah dan Infrastruktur, Tenaga dan Perubahan  Iklim, Sisa Buangan, Air, Pengangkutan, Pendidikan dan Gaya Hidup Sihat.


Akademik dan Antarabangsa

Bakal graduan miliki ilmu pengurusan dan teknikal dalam program kejuruteraan perniagaan UMP

BIL. 20 MAC 2019

Universiti Malaysia Pahang (UMP) sebagai universiti teknologi lima bintang bertaraf dunia cukup dikenali dalam menawarkan program berteraskan Kejuruteraan dan Teknologi yang berkualiti dan diiktiraf. 

UMP juga merupakan destinasi pendidikan tinggi pilihan pelajar lepasan sekolah dan golongan bekerjaya untuk melanjutkan pengajian di peringkat Diploma, Ijazah Sarjana Muda, Sarjana dan Kedoktoran. 

Antara program diiktiraf antarabangsa yang ditawarkan di universiti ini adalah Program Dwiijazah iaitu hasil kerjasama dengan universiti di Jerman, Hochscule Karlsruhe Und Wirtschaft (HsKA) dan Program Dwi-Ijazah dalam Kejuruteraan Perniagaan hasil kerjasama dengan Reutlingen University (HsR), Jerman bagi mengembangkan bidang Kejuruteraan Perniagaan di Malaysia. 

Menurut Ketua Program Kejuruteraan Perniagaan di Fakulti Pengurusan Industri (FIM), Dr. Lee Khai Loon, mendepani Revolusi IR 4.0, eksekutif yang dilengkapi dengan kemahiran teknikal dan berpengetahuan dalam pengurusan perniagaan dikatakan antara pekerjaan paling dikehendaki yang menyumbang peluang untuk mendapatkan pekerjaan. 

“Justeru, penawaran program Kejuruteraan Perniagaan di FIM sejak diperkenalkan empat tahun lalu memberi peluang mereka yang mempunyai asas kejuruteraan dan berminat untuk menimba pengetahuan dalam pengurusan perniagaan bagi mencipta kerjaya masa depan,” katanya. 

Tambah beliau, ijazah ini adalah program akademik Dwiijazah dengan Reutlingen University (HsR), Jerman dan UMP.  

“Pelajar akan melengkapkan tahun pertama dan kedua mereka di UMP dan bagi yang berjaya memenuhi keperluan akademik, mereka berpeluang menyambung pengajian tahun ketiga dan keempat di Reutlingen University.  

BIL. 20 MAC 2019

“Kelebihannya pelajar akan mendapat dua ijazah dari kedua-dua institusi iaitu Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Perniagaan dengan Kepujian (UMP) dan Ijazah Sarjana Muda Sains Pengurusan Operasi dan Logistik Antarabangsa (HsR). 

“Mereka juga dapat mempelajari bahasa Jerman, menghayati budaya dan menimba pengalaman dalam industri di Jerman sendiri. Sehingga kini seramai lima orang pelajar perintis dari Jerman telah bergradusi pada Majlis Konvokesyen UMP Kali Ke-13 pada tahun lalu,” katanya.  

Program ini dijangka dapat merealisasikan perancangan Rancangan Malaysia Ke-11 bagi mewujudkan lebih ramai usahawan berasaskan kejuruteraan dan menggalakkan pertumbuhan Industri Kecil dan Sederhana (IKS).  

Sinergi yang mantap antara keperluan industri dan kematangan ilmu perniagaan semasa diserasikan seterusnya menjadikan graduan sentiasa memenuhi dan memahami keperluan signifikan pihak industri.
 
Penawaran program ini juga diharap dapat melahirkan lebih ramai tenaga mahir dalam industri perniagaan dan kejuruteraan di kawasan perindustrian utama wilayah ini termasuklah berdekatan dengan kawasan perindustrian berdekatan kampus seperti di Pekan, Gebeng, Temerloh, Kerteh dan Kemaman. 

Manfaat buat rakan industri, mereka dapat memiliki graduan praktikal yang berpengetahuan industri yang menguasai pelbagai bahasa. 

Manakala bagi UMP dan HsR, kedua-dua universiti ini boleh dijadikan sebagai hub pendidikan bertaraf antarabangsa serta menggalakkan kerjasama penyelidikan gunaan dan inovasi di peringkat antarabangsa. 

Antara syarikat Jerman yang beroperasi di Malaysia adalah seperti Mercedes Benz, Robert Bosch, Infineon, BASF dan Siemens. Mereka turut akan beroleh kelebihan dari segi keperluan sumber tenaga manusia manakala Kerajaan Malaysia dan Jerman seterusnya dapat mempergiatkan pembangunan modal insan serta meningkatkan pertumbuhan ekonomi. 


Aktiviti Pelajar

Mahasiswa UMP gigih kumpul sumbangan bantu mangsa gempa bumi Palu

BIL. 20 MAC 2019

Oleh: AWANI RANGERS UMP, NOR FATIN NABILAH MOHD TAHIR, KELAB MEDIA MASSA UMP 

Prihatin dengan nasib mangsa tragedi gempa bumi dan tsunami yang melanda Kota Palu di Indonesia pada 28 September tahun lalu, sukarelawan Universiti Malaysia Pahang (UMP) yang digerakkan oleh Gerakan Pengguna Siswa (GPS) dengan kerjasama Persatuan Pelajar Kejuruteraan Kimia (CHEST) menganjurkan program Misi Kemanusiaan Palu untuk membantu meringankan beban mangsa di sana.

Misi yang akan berlangsung pada 11 hingga 16 Mei depan iaitu pada bulan Ramadan mendapat kerjasama pihak Yayasan Dana Kebajikan Muslim Malaysia (YDKMM) dan Rumah Zakat (badan bukan kerajaan dari Indonesia). 

YDKMM dan Rumah Zakat ini mempunyai pengalaman dalam membantu mangsa bencana bersiri iaitu gempa bumi, tsunami dan lifukfasi tanah.  

Menurut Eksekutif Kanan, Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni yang juga Penasihat Program, Abd. Rahman Ahmad, pihaknya menyasarkan antara bantuan yang akan diberikan kepada mangsa bencana adalah penempatan sementara, sekolah sementara dan tandas. 

“Kelainan misi kali ini adalah pada bulan Ramadan dan sukarelawan UMP akan merasai suasana bulan Ramadan di Kota Palu. 

BIL. 20 MAC 2019

“Selain sukarelawan UMP, misi kali ini akan melibatkan sukarelawan daripada Universiti Awam (UA).  

“Program ini juga akan dapat melahirkan mahasiswa yang bukan sahaja hebat dalam pelajaran malah mempunyai semangat sukarelawan yang tinggi, berkomunikasi dan berinteraksi dengan dunia luar” katanya.
 
Sementara itu, Pengarah program yang juga Exco Kesukarelawanan dan Khidmat Komuniti Majlis Perwakilan Pelajar, Ezwan Shah Nordin berkata, sehingga kini kutipan mencecah 20 ribu dan pihaknya menyasarkan kutipan sebanyak RM100,000.00 bagi membina lebih banyak rumah sementara untuk membantu mangsa di sana supaya mereka dapat beraya dalam keadaan baik dan meriah.

“Beberapa aktiviti juga akan diadakan seperti berbuka puasa dan sahur perdana bersama masyarakat Palu, program khidmat komuniti dan motivasi akademik dengan kanak-kanak di Palu memandangkan kanak-kanak di sana telah ketinggalan dalam pelajaran,” ujar beliau. 

Pada 19 Februari 2019 yang lalu telah Majlis Pelancaran Tabung Misi Kemanusiaan Palu yang disempurnakan oleh Naib Canselor UMP, Profesor Dato’ Sri Dr. Daing Nasir Ibrahim. 

Selain mendapatkan sumbangan dan tajaan syarikat korporat, pihaknya menganjurkan beberapa program termasuklah Palu Charity Run dan Festival Jualan Makanan yang mendapat sambutan ramai.

Bagi orang ramai yang berhasrat menyumbang boleh terus salurkan ke akaun rasmi MAYBANK Nombor Akaun-556235304242 atas nama Bendahari Universiti Malaysia Pahang (UMP). 

Segala sumbangan ini perlu dimaklumkan kepada Bendahari Program Misi Kemanusiaan Palu iaitu NoorIlmiah Datu Moksan di talian (014-5641887) bagi tujuan dokumentasi di Pejabat Bendahari UMP.


Info Sekitar Kampus

Pentadbir UA perlu berwibawa dalam pengurusan termaju

BIL. 20 MAC 2019

Golongan Pentadbir Universiti Awam (UA) perlu segera mengadaptasi perubahan bersesuaian dengan landskap pentadbiran Universiti Awam (UA) masa kini yang telah banyak mengalami perubahan rentetan fenomena Revolusi Industri 4.0. 

Sesebuah universiti itu juga perlu mempunyai sumber manusia berpengetahuan dan berkemahiran tinggi agar daya saing dapat diperkasakan.

Pentadbir sebagai tulang belakang pengoperasian sesebuah universiti perlu diberi pendedahan mengenai keperluan melengkapkan keupayaan diri masing-masing dalam menangani tuntutan pengurusan termaju kini. 

BIL. 20 MAC 2019

Pada masa ini, terdapat lebih 8,000 Pentadbir UA dalam kalangan kumpulan Pengurusan dan Pentadbiran pelbagai skim perkhidmatan menabur bakti di universiti masing-masing.

Ketua Pegawai Operasi merangkap Pendaftar UMP, Abd. Hamid Majid berkata, jika elemen Industri 4.0 dan pengurusan termaju tidak ditangani dengan sebaiknya maka tidak mustahil ianya akan menghasilkan satu tekanan yang akhirnya akan menjejaskan kualiti kerja yang turut mempengaruhi kualiti kehidupan secara tidak langsung.

“Lebih membimbangkan lagi jika permasalahan ini dilihat menyumbang kepada penyusutan daya saing yang akhirnya menjejaskan produktiviti organisasi khususnya dan sektor pendidkan tinggi amnya. 

“Justeru, Persatuan-persatuan khususnya MASTI diharap dapat merangka strategi dalam melaksanakan trasnformasi yang akan dapat memberi kesan dan impak tinggi ke arah pengapliksian pengurusan termaju di dalam organisasi,” katanya.

Beliau hadir menyampaikan ucapan dalam Program Kolokium Pentadbir: Pengurusan Termaju anjuran Persatuan Pegawai Tadbir & Ikhtisas UMP (PPTI) bersempena Mesyuarat Eksekutif Majlis Persatuan Pentadbir Universiti Awam Malaysia (MASTI) kali Ke-27 Bilangan 1 Tahun 2019 di UMP Pekan pada 21 Februari 2019 yang lalu. 

Hadir sama Timbalan Presiden (Hubungan Strategik) MASTI, Wan Mohd Wazir Wan Abdul Wahab dan Timbalan Presiden (Pengantarabangsaan) MASTI, Mohd Raizalhilmy Mohd Rais yang juga Presiden  PPTI.

Dalam pada itu, Wan Mohd Wazir memuji penganjuran program ini yang bertujuan untuk berkongsi pengalaman dan melihat sudut pandang dalam kalangan pentadbir yang berlatar belakang pelbagai bidang kepakaran. 

Ujar beliau, UMP merupakan destinasi kedua siri jelajah MASTI selepas Universiti Teknologi Malaysia (UTM) untuk membolehkan pihaknya bertemu dengan ahli serta menyebarkan matlamat fokus perjuangan dalam kalangan ahli yang menganggotai MASTI. 

Manakala bagi Mohd Raizalhilmy pula, topik yang dibincangkan sangat relevan tambahan pula menerusi data raya membolehkan pentadbir dapat menganalisis dan memberikan keputusan dengan cepat dan tepat buat organisasi. 

BIL. 20 MAC 2019

Jelasnya, cabaran pentadbir kini adalah untuk menerokai dan menggilap potensi diri agar kompeten dalam memastikan budaya kerja kelas pertama sinonim dengan imej pentadbir. 

Membarisi ahli panel adalah Muhammad Azli Shukri yang merupakan Pegawai Penerbitan Kanan, Penerbit UMP dengan tajuk `Pentadbir dalam Era IR 4.0: Kejutan & Gelombang”; Emma Melati Burhanuddin, Eksekutif Kanan Fakulti Kejuruteraan Awam & Sumber Alam (FKASA) dengan tajuk “Budaya Pengurusan Termaju Universiti di Amerika Syarikat” dan  Haji Abdullah Fairuzullah Ahmad Tajudin, Eksekutif Kanan Teknologi Maklumat, Pusat Teknologi Maklumat dan Komunikasi (PTMK) pula mengulas mengenai “Pelaksanaan Data Raya Analitik dalam Pengurusan Termaju”.
 
Manakala Zainal Haji Bahari yang merupakan Pengurus Besar Jabatan Sosioekonomi dan Projek  Khas UMP Advanced bertindak sebagai moderator dalam kolokium yang dihadiri lebih 60 ahli persatuan dan Eksekutif MASTI pada penganjuran kali ini.  


Pengurusan Ilmu

Pustakawan UMP curah ilmu dalam Bengkel Katalog Sekolah

BIL. 20 MAC 2019

Oleh: ISWAN AKIM ISMAIL, PERPUSTAKAAN UMP

Dalam usaha memastikan hubungan yang baik antara universiti dan masyarakat sekitar Pekan, Perpustakaan Universiti Malaysia Pahang (UMP) menjalankan tanggungjawab sosial inovatif dengan mengadakan Bengkel Sistem Katalog Bersepadu Pusat Sumber Sekolah (SKBPSS) pada 13 Februari 2019 yang melibatkan sekolah-sekolah sekitar daerah Pekan.

Dalam program ini, seramai 78 orang peserta membabitkan Pengawas Pusat Sumber termasuk enam orang Guru Perpustakaan dan Media (GPM) dari Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Mahmud Mat, Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Abdullah dan Sekolah Menengah Kebangsaan Ahmad Pekan hadir menyertai program yang berlangsung di Auditorium Perpustakaan dan Makmal Komputer, Perpustakaan UMP Pekan.

Menurut Timbalan Ketua Pustakawan Kanan UMP, Dzull Zabarrod Ahmad, bengkel ini dapat meningkatkan kemahiran dalam kalangan pelajar terutamanya Pengawas Pusat Sumber (PPS) sekolah berkenaan. 

“Peserta berpeluang menimba pengalaman melaksanakan pengkatalogan secara talian dan pada masa yang sama mendedahkan peranan maklumat dalam era teknologi maklumat pada masa kini.

“Pelajar telah dibahagikan kepada dua kumpulan iaitu satu kumpulan berada di auditorium bagi mendengar penerangan berkaitan teori pengkatalogan dan satu kumpulan lagi ditempatkan di makmal bagi sesi amali cara pengkatalogan atas talian,” katanya.

Pihaknya berharap program ini dapat diperluaskan dengan sekolah-sekolah lain seluruh Pahang dalam memastikan proses pengkatalogan dan pengkelasan adalah mengikut standard dan memudahkan carian.

Hadir sama menyampaikan ceramah adalah Pustakawan Kanan UMP, Iswan Akim Ismail dan Pustakawan, Wan Nurul Huda Wan Zakaria yang masing-masing telah menyampaikan tajuk berkaitan asas-asas pengkatalogan dan pengenalan pencarian maklumat menerusi talian.

Selain itu, mereka juga turut diberi pendedahan dan penerangan tentang penggunaan sistem pengkatalogan secara talian.


Sukan dan Rekreasi

500 sertai Larian Amal UMP untuk Misi Kemanusiaan Palu

BIL. 20 MAC 2019

Oleh: SITI NURAZWIN ZULKAPRI, BAHAGIAN KOMUNIKASI KORPORAT

Sebagai usaha bagi mengumpul dana bagi menjayakan Misi Kemanusiaan Palu di Indonesia, Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JHEPA) mengadakan Program Palu Charity Run pada 23 Februari 2019 yang lalu.

Program yang bermula seawal jam 7 pagi itu berlangsung di perkarangan Kompleks Sukan UMP Kampus Gambang yang dirasmikan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni), Profesor Dato’ Dr. Yuserrie Zainuddin.

Penyertaan larian yang dibuka kepada orang ramai ini turut mempromosikan gaya hidup sihat dan melahirkan mahasiswa yang mempunyai fizikal dan minda yang cerdas dan cergas.

Dalam pada itu, program larian amal ini adalah salah satu inisiatif untuk mengumpul dana bagi Misi Kemanusiaan Palu anjuran Gerakan Pengguna Siswa (GPS) UMP dan Persatuan Pelajar Kejuruteraan Kimia (CHEST) yang diketuai oleh Ezwan Shah Mohd Nordin yang juga Exco Kesukarelawanan dan Khidmat Komuniti Majlis Perwakilan Pelajar.

BIL. 20 MAC 2019

Pengarah Program, Nur Amira Shafiqa Ismail berkata program ini bukan sahaja dapat dapat mengamalkan gaya hidup sihat melalui program larian yang dilakukan malah memberi peluang kepada peserta untuk menyumbang.

“Melalui program ini juga kita dapat memperkenalkan orang awam dengan persekitaran kampus UMP yang mana terdapat juga peserta luar seperti pelajar dari Kolej Matrikulasi Pahang yang turut terlibat dalam program ini,” katanya.

BIL. 20 MAC 2019

Sementara itu, Ezwan berkata, program ini berjaya mengumpulkan sebanyak RM4,000 untuk disumbangkan ke Tabung Misi Kemanusiaan Palu yang dilancarkan baru-baru ini oleh Naib Canselor UMP, Profesor Dato’ Sri Dr. Daing Nasir Ibrahim.

Sehingga kini, kutipan mencecah RM20,000 dan pihaknya menyasarkan kutipan sebanyak 100 ribu bagi membina lebih banyak rumah sementara untuk membantu mangsa di Palu agar mereka dapat menyambut hari raya dalam keadaan lebih baik dan meriah.

Misi yang berlangsung pada  11 hingga 16 Mei depan bakal berlangsung tatkala umat Islam menunaikan ibadah puasa. 

Program mendapat kerjasama pihak Yayasan Dana Kebajikan Muslim Malaysia (YDKMM) dan Rumah Zakat (badan bukan kerajaan dari Indonesia yang mempunyai pengalaman dalam membantu mangsa bencana bersiri iaitu gempa bumi, tsunami dan lifukfasi tanah.


Aktiviti Pelajar

Perniagaan Makanan Oden mahasiswa UMP jadi tumpuan

BIL. 20 MAC 2019

Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu. Begitulah perumpamaan yang sesuai dikaitkan dengan kehidupan mahasiswa Sarjana Kejuruteraan Kimia Universiti Malaysia Pahang (UMP), Mohd Nazarni Che Isa, 30, yang kini popular dengan perniagaan makanan viral oden.
 
Menurut Mohd Nazarni, beliau tidak menyangka perniagaan makanan viral itu menjadikan sumber pendapatan buatnya. 

“Makanan ala steamboat iaitu oden mula menjadi tumpuan ramai sehingga ianya menjadi tular di media sosial.  

“Ianya berlaku selepas sebuah kedai serbaneka dari Jepun mula beroperasi di negara ini dengan memperkenalkan makanan ala steamboat iaitu oden yang mula menjadi tumpuan ramai sehingga ia tular.
 
“Apabila melihat orang mula mencari makanan viral ini membuatkan saya mencuba sendiri di beberapa restoren yang membuat oden. Dari situlah saya cuba menghasilkan sendiri kuah oden tersebut,” katanya.

Jelas beliau lagi, selepas itu, dia mula membuka peniagaan di kiosk yang disediakan oleh Unit Keusahawanan di Amphitheater UMP Kampus Gambang dengan nama Oden Bamsis UMP.

“Pada hari pertama berniaga, saya memberanikan diri untuk menjual 600 cucuk bebola dan bersyukur apabila mendapat sambutan. 

“Maklum balas pelanggan yang amat positif terus memberikan motivasi buatnya untuk meneruskan peniagaan ini.

BIL. 20 MAC 2019

“Rata-rata pelanggan mengatakan rasa kuah yang pedas, masam dan pekat boleh membuatkan penggemar oden bermandi peluh! Aromanya juga pasti membuatkan sesiapa sahaja kecur air liur,” katanya sambil ketawa.
 
Tambahnya lagi, pelanggan juga boleh bersantai dengan duduk dan makan di sini kerana kerusi dan meja juga ada disediakan. 

“Ia dijual dengan hanya RM1 secucuk dengan pelbagai jenis bebola. Malahan harganya sangat murah jika dibandingkan di tempat-tempat lain. 

“Oden Bamsis UMP kini dibuka setiap hari Isnin hingga Khamis bermula pukul 9.30 pagi hingga 5.15 petang,” katanya. 

Bagi menarik hati pelanggan beliau turut mempelbagaikan barang jualan antaranya susu segar Farm Fresh, vendor pelbagai makanan 'ready to eat' seperti buah potong, dadih, kek batik donat dan macam-macam lagi. 

Kini, sungguh tidak menyangka yang dahulunya dengan menggunakan  modal sebanyak RM300 sahaja untuk membeli bahan mentah dan peralatan, kini pendapatan beliau mencapai antara RM1,300 hingga RM1,500 sehari.
  
Beliau turut berkongsi cabaran yang dihadapi iaitu membahagikan masa antara perniagaan dan pengajian. 

Ujarnya, dalam perniagaan kita perlu ada sikap sabar dan tidak mudah berputus asa dan sentiasa mementingkan kualiti rasa. 

Kini beliau turut melantik dua pekerja sambilan yang terdiri daripada mahasiswa UMP bekerja sambil dapat membantu mereka dari segi kewangan.

Selain itu, Mohd Nazarni juga ingin merakamkan penghargaan terima kasih kepada UMP yang banyak memberi peluang dan galakan kepada mahasiswa untuk menjadi usahawan. 

Selain itu beliau turut mengharapkan mahasiswa UMP dapat mengambil peluang ini sebagai pengalaman atau kerjaya pada suatu hari nanti. 


Artikel/Rencana Pilihan

Komited laksana program pembangunan sosioekonomi

BIL. 20 MAC 2019

Oleh: ZAINAL HAJI BAHARI, PENGURUS BESAR DI JABATAN SOSIOEKONOMI & PROJEK KHAS UMP ADVANCED

UMP Advanced terus memainkan peranan sebagai ejen perubahan dalam membantu meningkatkan taraf sosioekonomi masyarakat menerusi penawaran pelbagai program jangka pendek termasuk program kompetensi dengan kerjasama pelbagai pihak sama ada agensi awam ataupun swasta.

Peranan yang dimainkan adalah selari dengan komitmen Universiti Malaysia Pahang (UMP) untuk memaksimumkan potensi dan kompetensi program jangka pendek bagi menyahut seruan kerajaan Malaysia dalam menyediakan tenaga kerja mahir dan separa mahir selaras dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 (PPPM) dan Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara (PSPTN) dengan tumpuan oleh pihak kerajaan dalam memperkasakan program latihan yang berteraskan Pembangunan Kemahiran Teknikal dan Vokasional (TVET).

Bagi tujuan tersebut, Jabatan Sosioekonomi & Projek Khas, UMP Advanced menjalinkan kerjasama dengan beberapa agensi kerajaan bagi menyokong pelaksanaan program yang dijalankan. 

Konsep Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) diguna pakai dengan menjalinkan kerjasama dengan pemegang taruh di luar bagi memastikan setiap program yang dijalankan memenuhi keperluan dan standard yang dikehendaki pasaran.

Salah satu daripada program yang memberikan impak kepada komuniti ialah pelaksanaan program empower ECER Mahkota. 

Program yang telah dilaksanakan sejak 2011 sehingga kini telah berjaya melatih membabitkan seramai 13,081 peserta luar bandar.

Program yang dijalankan meliputi program Latihan Akademik kepada pelajar-pelajar sederhana, lemah dan kurang berkemampuan (golongan B40) termasuk murid Orang Asli. 

Program yang mendapat kerjasama baik Jabatan Pendidikan Negeri, Pejabat Pendidikan Daerah, Pegawai Daerah dan semua pemimpin tempatan apabila pelajar yang kurang berkemampuan ini diberikan peluang menerusi pelbagai aktiviti yang dijalankan sama ada di sekolah, luar sekolah, lawatan ke UMP, kem-kem perkhemahan serta pelbagai program bimbingan pendidikan dan kerjaya termasuk program khas untuk guru dan ibu bapa.

Antara kejayaan yang membanggakan terdapat pelajar murid Orang Asli yang diterima masuk ke sekolah berasrama penuh (SBP) dan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) dan berjaya melanjutkan pengajian hingga ke menara gading.

Bagi golongan belia termasuk ibu tunggal juga tidak dipinggirkan. Program Latihan Kemahiran & Keusahawanan disediakan bagi mereka menimba kemahiran untuk menjadi usahawan. 

Ramai antara mereka yang mampu menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan sama ada di rumah ataupun secara atas talian. 

Modul yang dibangunkan juga tidak hanya memfokuskan kepada subjek atau latihan amali semata-mata namun mereka juga didedahkan kepada modul-modul tambahan seperti pemasaran digital, pengurusan kewangan dan motivasi keusahawanan. 

Modul-modul ini diperakukan oleh pihak Senat  dan Majlis Pembelajaran Sepanjang Hayat (MPSH) UMP Advanced. Mereka yang berjaya menamatkan pengajian dengan memenuhi syarat yang ditetapkan layak menerima Sijil Profesional UMP Advanced yang diiktiraf.

Bagi usahawan yang berpotensi untuk mengembangkan perniagaan mereka, UMP Advanced bekerjasama dengan Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) menyediakan ruang dan tempat untuk mereka memasarkan hasil produk mereka. 

Sebagai contoh, satu Kompleks Pusat Pemprosesan Hasil Laut yang diberi nama D’ Kuala mempunyai 12 lot perniagaan yang merangkumi 4 unit kilang pemprosesan hasil laut, empat unit restoran dan empat unit gerai jualan pelbagai telah dibangunkan. Setakat ini kesemua lot perniagaan ini telah beroperasi sepenuhnya.

UMP juga telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Perbadanan Hal Ehwal Veteran Angkatan Tentera bagi melaksanakan Program Pembangunan Sosioekonomi Veteran (PPSEV). 

MoU yang telah ditandatangani pada 23 Disember lalu bersempena Majlis Konvokesyen PERHEBAT KE 52 disaksikan oleh YB Menteri Pertahanan selaku wakil Rasmi YAB Perdana Menteri Malaysia. 

Di dalam teks ucapan yang dibacakan oleh Menteri Pertahanan, Yang Berhormat Mohamad Sabu, Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad menyeru agar kerjasama antara pihak swasta terus ditingkatkan bagi membantu nasib golongan veteran dan pesara angkatan tentera yang rata-ratanya pencen pada usia yang masih muda. 

Oleh itu, sudah semestinya program-program latihan yang bersesuaian dengan pengalaman dan kepakaran mereka perlu dilaksanakan bagi memastikan pengalaman dan kepakaran mereka tersebut dapat digunakan bagi tujuan menjana pendapatan dan sosioekonomi.

Tidak terhenti setakat itu, usaha yang terus dijalankan ialah kerjasama bersama Akademi Binaan Malaysia (ABM) dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB Malaysia) bagi memperakukan setiap program yang dijalankan oleh UMP Advanced. 

Selaku agensi yang memegang akta berkaitan industri pembinaan di Malaysia, adalah diharapkan setiap peserta yang menjalani latihan di UMP Advanced adalah berkualiti, berkelayakan dan memenuhi kehendak pasaran.  
 
Artikel ini telah disiarkan dalam akhbar Berita Harian pada 25 Februari 2019.