Skip to main content
CREATE HEADER 2020

Info Sekitar Kampus

Kuasai kemahiran teknologi memudahkan cara bekerja

BIL. 79 MEI 2020

Para pentadbir dan pensyarah disarankan untuk meningkatkan kemahiran teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) bagi menangani masalah yang dihadapi semasa bekerja dari rumah sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam membendung penularan wabak COVID-19 di negara ini. 

Malahan pelaksanaan sesi pengajaran dan pembelajaran (P&P) secara dalam talian (online) di universiti juga merupakan kaedah penyelesaian terbaik dalam memastikan pengajian tidak terjejas akibat situasi yang tidak pasti bila ia akan berakhir pada masa ini. 

Timbalan Pengarah Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT), Profesor Madya Dr. Mukhzeer Mohamad Shahimin dalam siri Bicara Pentadbir yang bertajuk 'Normal Baharu, Bersediakah Universiti Awam?' berkata, sebagai pengajar kita tiada pilihan lain dengan menggunakan kaedah pengajaran dan pembelajaran secara maya bagi memastikan sesi pengajaran dapat disampaikan dengan sebaik mungkin. 

“Dalam era digital ini, mereka perlu meneroka ilmu baharu ini, pentadbir dan pensyarah akan lebih positif menempuh normal baharu tatkala negara menghadapi wabak ini,” ujar beliau. 

Tambah beliau lagi, terdapat pelbagai jenis platform pembelajaran digital seperti video dalam talian, Google Classroom dan sebagainya. 

“Pada awalnya, ia amat sukar untuk ditempuh memandangkan kebiasaan pensyarah mengajar secara face to face, namun seperti yang kita ketahui jangkitan penyakit ini berkait rapat dengan kontak rapat, justeru normal baharu yang perlu diamalkan sekarang ialah penjarakan sosial.

“Dalam konteks pendidikan tinggi, normal baharu ini menagih agar setiap institusi pendidikan tinggi (IPT) mengamalkan penjarakan sosial. 

“Solusi yang nyata untuk pengajaran dan pembelajaran secara dalam talian adalah dengan mengahadkan pergerakan pelajar sepanjang PKP dan proses pembelajaran dan pengajaran masih kekal di luar tempoh PKP,’ katanya. 

Bersama beliau, tiga lagi panel jemputan yang mengulas topik ini iaitu, Pendaftar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Hajah Ina Md Yasin, Presiden Majlis Persatuan Pentadbir Universiti Awam Malaysia (MASTI) merangkap Presiden Persatuan Pegawai Tadbir dan Ikhtisas (POTENSI) Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Raja Shah Erman Raja Arifin dan Mohd Raizalhilmy Mohd Rais yang merupakan Timbalan Presiden MASTI (Hubungan Korporat) merangkap Presiden Persatuan Pegawai Tadbir dan Ikhtisas (PPTI) UMP. 

Program dikendalikan Pegawai Penerbitan Kanan, Penerbit UMP, Muhammad Azli Shukri sebagai moderator.

Dr. Hajah Ina Md Yasin juga turut bersetuju dengan pentadbir yang perlu meningkatkan kemahiran ICT ini ia bukan sahaja merupakan salah satu platform untuk memudahkan bekerja dari rumah malah ia juga sebagai persediaan kita melangkah ke arah era Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0).  

“Kini, kita sendiri dapat melihat kepentingan telefon pintar, jika sebelum ini kita jarang memberi pendedahan kepada anak-anak kepada penggunaan telefon pintar, tetapi tatkala PKP ini telefon pintar merupakan sekolah mereka, semua guru menggunakan kaedah pembelajaran secara dalam talian sehingga kita dapat merasakan ia sebagai keperluan bagi sesi pembelajaran anak-anak.

“Pada masa yang sama, sebagai pentadbir dan perkhidmatan awam juga turut terkesan dengan pelaksanaan bekerja dari rumah sepanjang PKP ini. 

“Dari segi pentadbiran sendiri banyak perkara baharu yang kita akan lalui, namun bagi setengah organisasi, normal baharu ini dianggap bagai satu cabaran untuk ditempuhi,” katanya.

Tambahnya lagi, pada ketika ini peranan pentadbir perlu memberi kefahaman kepada warganya mengenai perubahan normal baharu yang akan dilalui. 

“Jika tiada kefahaman akan mewujudkan kesan negatif justeru, akan merencatkan dan akan berdepan dengan konflik.  

“Sememangnya untuk menerima satu perubahan itu amat sukar, namun selepas mereka faham dan menghayati apa yang kita ingin lakukan, kita akan peroleh kerjasama dan maklum balas yang cepat. 

“Kita dapat lihat masa awal PKP, ada yang marah dan tidak dapat menerima, namun apabila kita sama-sama lalui PKP 2 dan PKP 3, normal baharu ini telah menjadi kebiasaan kepada mereka sebab mereka sudah mulai faham,” katanya.

Dalam usaha pentadbiran katanya, universiti perlu menanganinya dengan empat perkara iaitu jangkaan, mengenal pasti, menilai dan bertindak balas. 

“Dalam waktu krisis ini keadaan berubah tidak tentu masa, jadi kita perlu mengenal pasti apa yang berlaku dan apa impaknya sehingga penilaian dapat dibuat dan melaksanakan tindakan yang sewajarnya.  

“Selain itu, sebagai pentadbir kita juga perlu mengambil tindakan dengan cepat dan tepat,” katanya. 

Manakala Raja Shah Erman Raja Arifin pula berpandangan pastinya kebanyakan kita tidak bersedia untuk menempuh normal baharu yang sedang kita lalui ini kerana mungkin terdapat segelintir pentadbir berada zon yang berbeza. 

“Bekerja dari rumah juga merupakan cabaran paling besar yang perlu dihadapi kerana individu tersebut bukan sahaja mempunyai masalah keperluan ICT namun perlu pandai mengagihkan masa dengan pengurusan kerja dan keluarga,” katanya. 

Dalam pada itu, Mohd Raizalhilmy pula berkongsi langkah-langkah yang perlu pentadbir lakukan untuk menyesuaikan diri dengan kelaziman baharu semasa dan selepas COVID-19. 

“Dengan normal baharu ini tanpa sedar kita telah menjadikan rakyat lebih kreatif dan inovatif terutama dalam melakukan tugas. 

“Banyak perkara yang pentadbir boleh lakukan sepanjang PKP ini di antaranya menambah ilmu mengenai medium dalam talian contohnya aplikasi Zoom, Google Meet dan WEBEX sebagainya yang dahulunya mungkin tidak biasa namun kini telah menjadi kebiasaan,” katanya. 

Beliau turut berkongsi tip bagi sentiasa bersemangat kerja dari rumah dengan memastikan ruang kerja yang baik dan mengingatkan tentang integriti yang tinggi supaya dapat melaksanakan amanah dan tanggungjawab yang digalas. 

“Selain itu, pihak Kaunselor turut perlu berperanan dalam menangani isu berkaitan kesihatan mental pekerja seperti kemurungan, perasaan bimbang dan tertekan yang dilihat semakin banyak berlaku tatkala berdepan situasi PKP ini. 

“Pihak MASTI kini sedang menjalankan kajian berkaitan dengan impak cara kerja dan kesan dari PKP serta COVID-19 dan hasil kajian ini akan dapat dimanfaatkan oleh semua komuniti terutama pentadbir di universiti. 

Siri Bicara Pentadbir yang merupakan anjuran  PPTI UMP dengan kerjasama Jabatan Pendaftar dan Pejabat Naib Canselor ini disiarkan menerusi aplikasi Zoom dan Facebook UMP Malaysia serta Facebook PPTI pada 28 April 2020 yang lalu dan  mendapat sambutan lebih 200 penyertaan dalam kalangan pentadbir universiti awam seluruh negara.   


Info Sekitar Kampus

Hasrat pelajar UMP balik kampung tertunai

VOL. 78 MAY 2020

Gerakan pertama pelajar Universiti Malaysia Pahang (UMP) Universiti Awam dan Swasta, Politeknik dan Kolej Komuniti telah memulakan pergerakan pulang ke kampung halaman sekitar destinasi Zon Pantai Timur pada 30 April 2020 yang lalu membabitkan seramai 1,154 orang pelajar dari negeri  Pahang (304), Kelantan (396) dan Terengganu (454).

Perjalanan yang ditunggu-tunggu ini menamatkan tempoh selama lebih 40 hari pelajar menjalani Perintah Kawalan Pergerakan ( PKP) di kampus sejak 18 Mac 2020 lalu. 

VOL. 78 MAY 2020

Bagi Muhammad Hazamuddin Wan Hassan, 25 dari Kolej Kejuruteraan, Jabatan Kejuruteraan Awam, UMP, beliau berasa sangat terharu kerana akhirnya dapat pulang ke kampung halaman di Tumpat, Kelantan. 

“Perasaan berdebar menunggu kelulusan untuk balik dan semestinya sangat gembira dan lega apabila dimaklumkan dibenarkan pulang. 

“Keluarga saya telah hubungi beberapa hari lepas dan mereka turut menanti kepulangan hari ini,” katanya.  

Beliau mengucapkan terima kasih kepada pihak universiti, kementerian dan pihak berkuasa yang bertungkus-lumus menyumbang tenaga dan masa untuk membawa pulang pelajar ke kampung halaman masing. 

VOL. 78 MAY 2020

Begitu juga dengan Nurliyana Mohamad Azmi, 27 dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Awam UMP yang turut terharu dengan cara pelajar dibawa pulang malahan disediakan bekalan makanan dan minuman.

“Keluarga pun selalu menelefon bertanyakan khabar bila boleh balik. Kerap jugak mereka kongsikan berita tentang COVID-19 di televisyen dan sentiasa mengharap boleh balik ke kampung. 

“Alhamdulillah, hari ini doa kami tertunai. Tengok kawan-kawan di utara dah sampai kampung rasa seronok,” katanya yang akan balik ke Raub, Pahang. 

Di UMP seramai 140 pelajar , 26 pegawai Perhubungan (LO) dan lebih 40 pemandu telah disaring sebelum pergerakan dibenarkan malam tadi.  

Seramai 1,120 pelajar masih tinggal di kampus bagi pergerakan fasa berperingkat sehingga 10 Mei depan. 

VOL. 78 MAY 2020

Sebanyak 26 bas bergerak membawa pelajar dari UMP Kampus Gambang dan Kampus Pekan serentak ke destinasi masing-masing. 

Selain itu, saringan gejala (suhu badan, sakit tekak, batuk, selesema dan sesak nafas) juga dijalankan oleh Pusat Kesihatan Universiti (PKU) sebelum pergerakan pelajar. 

VOL. 78 MAY 2020

Pelajar juga sentiasa diingatkan untuk sentiasa menjaga penjarakan sosial (social distancing), memakai pelitup muka (face mask) di sepanjang perjalanan dan mengamalkan kebersihan dengan memakai pensanitasi tangan (hand sanitizer).

Turut hadir Naib Canselor UMP, Profesor Ir. Dr. Wan Azhar Wan Yusoff, Ketua Polis Pahang,  Datuk Abd Jalil Hassan dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin yang menyaksikan  proses pergerakan pelajar di UMP Kampus Gambang. 


Info Sekitar Kampus

Kumpul sukarelawan siapkan kelengkapan PPE

BIL. 79 MEI 2020

Menyedari keperluan pakaian perlindungan diri (PPE) untuk kegunaan petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang diperlukan pada ketika ini dan permintaan terhadap PPE yang berterusan telah memberikan inspirasi buat  staf UMP Services Sdn. Bhd. (USSB) iaitu anak syarikat UMP Holdings Sdn. Bhd. mengumpul sukarelawan bagi membantu dalam penyediaan kelengkapan PPE ini.  

Ia bermula apabila Eksekutif Landskap dan Kebersihan USSB, Mohd. Hairudin Idris membantu isterinya, Radziah Wan Mohd Nor yang menjadi sukarelawan menjahit kelengkapan PPE. 

Namun pada ketika itu, terdapat permintaan agar kelengkapan ini dapat disiapkan segera dan memerlukan sukarelawan.

BIL. 79 MEI 2020

Hasil hebahan keperluan sukarelawan menggunakan media sosial, beliau tidak menyangka sambutan yang diterima amat menggalakkan sehingga dapat mengumpulkan sepuluh orang sukarelawan dalam masa yang singkat.

“Kumpulan ini berjaya menyiapkan pelindung kepala sebanyak 250 unit dan pelindung kaki sebanyak 400 unit. 

“Material seperti kain dan getah dibekalkan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP) dan Persatuan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (PAPISMA). 

“Sukarelawan membuat PPE tersebut mengikut spesifikasi yang telah ditetapkan,” katanya.

Menurut Radziah lagi, bahan yang diterima juga telah siap dipotong dan diagihkan kepada semua sukarelawan yang terlibat untuk disediakan di rumah masing-masing.

Beliau bersama sukarelawan lain amat gembira kerana berpeluang dapat menyumbang tenaga untuk menyiapkan PPE untuk barisan hadapan iaitu petugas perubatan kesihatan dan perubatan yang sedang menangani COVID-19.

BIL. 79 MEI 2020

Menceritakan penglibatannya, ketika menerima tawaran dari rakannya, tanpa berlengah beliau bersetuju untuk menawarkan diri menyertai serta menyatakan hasrat kepada suaminya untuk mendapatkan lebih ramai sukarelawan untuk bersama-sama menyiapkan PPE ini.

“Walaupun ada antara sukarelawan tidak mengenali antara satu sama lain, namun tidak menghalang buat kami berganding bahu menyiapkan PPE ini. 

“Semua komunikasi antara kami menggunakan aplikasi pesanan WhatsApp. Dengan kemahiran menjahit yang kami miliki memudahkan kerja menyiapkan PPE ini,” ujarnya. 

Beliau mula menjahit seawal jam lapan pagi hingga 12.00 tengah hari dan pada sebelah petang akan memberi tumpuan terhadap persiapan menyediakan juadah berbuka puasa buat keluarga. 

Sungguhpun kebanyakan mereka telah mula sibuk dalam menyiapkan tempahan baju raya yang perlu disiapkan, tetapi ia bukan penghalang buat sukarelawan menyumbangkan tenaga walaupun sedikit demi membantu negara yang berdepan pandemik COVID-19.

Manakala bagi Pustakawan Kanan UMP, Noorul Farina Arifin, setakat ini beliau diminta menyediakan sebanyak 67 pasang pelindung kaki. 

Pengalaman ini amat berharga buatnya yang berpeluang menyumbang tenaga membantu barisan hadapan tatkala negara berdepan penularan wabak COVID-19.

Memandangkan beliau bekerja dari rumah (WFH), kebanyakan kerja menjahit dibuat pada hujung minggu dan pada masa kelapangan. 

“Menjahit PPE ini tidaklah begitu sukar namun masih memerlukan penelitian khusus terutama kaedah jahitannya mengikut sampel yang diberikan,” katanya. 


Info Sekitar Kampus

Tradisi iftar dalam talam di kampus tinggal kenangan

BIL. 79 MEI 2020

Oleh: SITI NUR AZWIN ZULKAPRI, UNIT PERHUBUNGAN AWAM, PEJABAT NAIB CANSELOR

Pelajar Universiti Malaysia Pahang (UMP) melahirkan rasa gembira apabila dibenarkan pulang ke rumah masing-masing selepas lebih 40 hari berada di dalam kampus ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berkuat kuasa sejak 18 Mac 2020 yang lalu. 

Fasa pertama pergerakan pelajar ke Zon Timur membabitkan seramai 1,154 pelajar pulang ke kampung masing-masing sekitar Pahang, Kelantan dan Terengganu pada malam 30 April baru-baru ini melibatkan Universiti Awam (UA) dan Swasta, Politeknik dan Kolej Komuniti.

Bagi mahasiswa UMP, Muhammad Hazamuddin Wan Hassan, 25, yang berasal dari Kelantan berkata, detik pulang ke rumah sememangnya sangat dinantikan terutama bagi melepaskan perasaan rindu kepada keluarga.

Menceritakan pengalaman tahun sebelumnya berpuasa di kampus sangat menyeronokkan apabila dapat berbuka puasa bersama-sama rakan di masjid UMP. 

“Apatah lagi tradisi bergotong-royong menyediakan juadah berbuka puasa dan makan bersama menggunakan talam yang diisi dengan nasi dan lauk untuk dimakan dengan empat atau lima pelajar lain.      

“Ia juga tinggal kenangan dalam bulan Ramadan apabila kami tidak dapat lagi berbuka puasa beramai-ramai termasuklah berkunjung ke Padang MPK 1 di Kuantan yang menjadi lokasi tumpuan orang ramai di negeri ini untuk berbuka puasa bersama di padang setiap kali menjelang Ramadan,” ujarnya yang kini telahpun berada di kampung halamannya di Tumpat Kelantan. 

BIL. 79 MEI 2020

Beliau antara pelajar terawal yang menyertai kumpulan penghantaran pelajar balik ke kampung halaman di Zon Timur pada 30 April lalu.

Beliau amat berterima kasih kepada semua pihak yang telah terlibat terutamanya UMP yang bertungkus-lumus menjaga keselamatan dan kebajikan pelajar yang masih berada di kampus sepanjang tempoh PKP ini.

Manakala bagi pelajar Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Kejuruteraan Mekatronik, Nur Salmiah Saliman, 22, yang tinggal di rumah ibu saudaranya di Kuala Terengganu buat sementara ketika keadaan PKP turut memberikannya pengalaman baharu berbanding Ramadan sebelum ini.

Nur Salmiah merupakan pelajar yang berasal dari Kuching, Sarawak pada awalnya ingin balik ke kampung namun terkandas di Terengganu. 

Beliau telah membeli tiket pada 18 Mac 2020 dan sepatutnya terbang balik ke Sarawak pada 25 Mac 2020 dari Lapangan Terbang Kuala Terengganu.

Namun akibat PKP, dugaan buatnya apabila dua kali penerbangan dibatalkan dan kini beliau menyertai kumpulan pelajar untuk pulang ke kampung halaman di Sarawak bersama kumpulan Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

“Perasaan pertama kali berpuasa di perantauan sangat berbeza kerana sebelum ini puasa pertama di tahun 2018 dan 2019, saya menyambut Ramadan bersama-sama rakan di Kolej Kediaman 5 UMP. 

“Biasanya saya akan mencari kuih tepung pelita, kuih lopes, puding sagu dan variasi sate di bazar Ramadan, namun tiada pada kali ini,” katanya.

Akibat terlalu rindu makan bersama keluarga ketika musim pandemik ini, ibunya mengirimkan beberapa ekor ikan terubok yang hanya dijumpai di Sarawak dan dimasinkan supaya ikan tersebut kekal elok untuk dikirimkan ke rumah ibu saudaranya.  

Dengan adanya teknologi memberikannya kemudahan berhubung dengan keluarga. Ramadan kali ini juga bermakna buatnya apabila berpeluang menyambut Ramadan dengan ibu saudaranya setelah hampir 20 tahun tidak berjumpa. 

Nur Salmiah yang merupakan anak sulung daripada enam beradik turut tidak sabar bertemu dengan adik bongsunya yang berumur enam tahun dan berbuka puasa dengan keluarganya di kampung.

Dijangkakan seramai 6,500 pelajar dari negeri Pahang, Kelantan dan Terengganu pulang ke kampung halaman secara berperingkat mengikut Zon Timur, Tengah, Utara, Selatan, Perak, Sabah dan Sarawak sehingga berakhir 10 Mei depan. 

UMP juga akan melaksanakan kuliah dalam talian mulai 1 Jun depan bagi meneruskan sesi pengajian sebagai sebahagian normal baharu akibat penularan COVID-19.   


Artikel/Rencana Pilihan

Pendedahan Terhadap Dasar-dasar Kerajaan Lahirkan Generasi Berintegriti dan Berwawasan

BIL. 79 MEI 2020

Oleh: DR. HASNAH HUSSIIN
e-mel: hasnah@ump.edu.my

BIL. 79 MEI 2020

Peranan kerajaan dalam memperkenalkan dan melaksanakan dasar-dasar negara tidak dapat dinafikan lagi. Ia telah bermula sejak pengenalan Rancangan Pembangunan Lima Tahun Negara yang digubal sejak sebelum negara ini mencapai kemerdekaan. Pengenalan Dasar Pembangunan Negara lebih jelas dan lebih rancak memfokuskan isu-isu tertentu bermula pada tahun 1970 sehingga kini. Secara amnya, penggubalan dasar-dasar negara dilaksanakan selaras dengan pembangunan sosioekonomi dan politik negara semasa. Ia bersifat tidak statik dan sentiasa mengalami perubahan mengikut pucuk pimpinan dan juga nilai masyarakat dari semasa ke semasa.

Objektif penggubalan dasar-dasar kerajaan bagi pertumbuhan ekonomi negara, pengagihan pendapatan yang seimbang, kestabilan politik, integrasi kaum dan kebajikan masyarakat keseluruhannya. Semua lapisan masyarakat haruslah memahami dasar-dasar kerajaan, memahami rasional, matlamat, dan objektif penggubalan dasar serta strategi pelaksanaan dasar. Di sini akan dibincangkan antara beberapa dasar kerajaan untuk direnungkan bersama.

Antara yang terbaru, mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad telah melancarkan Dasar Komuniti Negara. Dasar ini merupakan satu pendekatan untuk membentuk komuniti yang sentiasa peka kepada isu-isu sosial yang berlaku dalam masyarakat bagi mewujudkan masyarakat yang lebih sejahtera. Dalam hal ini, bagi memastikan kestabilan politik dan pembangunan ekonomi berjalan dengan pesat, aspek sosial juga perlu diberi penekanan yang wajar. Pembangunan nilai-nilai murni perlu disematkan dalam jiwa warganegara Malaysia tidak kira latar belakang agama dan budaya bagi mencapai kesejahteraan masyarakat. Dasar Komuniti Negara merupakan satu dasar baharu yang diperkenalkan oleh kerajaan Pakatan Harapan bagi mendaya upaya komuniti agar mempunyai kesedaran dan prihatin terhadap harta benda awam yang dikongsi bersama oleh masyarakat setempat. Pengenalan dasar seumpama ini adalah bertepatan dengan usaha kerajaan untuk memupuk integrasi dan integriti atau rasa tanggungjawab masyarakat untuk menjaga aset negara dan bersama memelihara keamanan dan kesejahteraan negara.

Umum telah mengetahui bahawa Malaysia telah menjalin hubungan diplomatik dengan pelbagai negara bagi tujuan kerjasama ekonomi. Antara negara yang telah sekian lama mengadakan hubungan diplomatik dengan Malaysia adalah negara Jepun. Pengenalan Dasar Pandang Ke Timur yang diperkenalkan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamed semasa menjadi Perdana Menteri Malaysia ke-4 dan setelah kembali menjadi Perdana Menteri maka diperkenalkan pula Dasar Pandang Ke Timur 2.0 telah mengeratkan lagi hubungan antara dua negara. Sebagai mana yang telah diketahui umum negara Jepun dan Korea merupakan negara Asia yang dalam beberapa aspek lebih maju dari negara Barat. Kejayaan mereka menjadi contoh kepada Malaysia untuk mencapai negara maju dengan meningkatkan prestasi pembangunan sektor awam dan swasta melalui pengenalan Dasar Pandang Ke Timur.  Untuk itu, nilai-nilai dan etika kerja yang positif perlu diterapkan dalam kalangan pekerja seperti keutamaan kepada kumpulan berbanding diri sendiri, setia kepada negara, produktiviti, kualiti, rajin bekerja, kecekapan dan mementingkan kesan jangka panjang. Beberapa budaya hidup orang Jepun dijadikan teladan seperti berdisiplin, menepati masa, menjaga kebersihan, membaca serta menghormati orang.

Manakala Dasar Pandang Ke Timur 2.0 pula perlu dilihat dalam perspektif yang lebih luas kerana ia bukan sahaja membuka peluang pekerjaan dan pelaburan malahan berkongsi kepakaran dan pengetahuan yang akan mempercepatkan lagi pelaksanaan Malaysia dalam Revolusi Perindustrian Keempat (Industri 4.0). Antara sektor yang berpotensi di bawah Dasar Pandang Ke Timur 2.0 adalah industri halal, pendidikan dan pelancongan. Jadi, rakyat Malaysia khususnya generasi muda perlu mempersiapkan diri dengan ilmu berkaitan jika mereka ingin bekerja dalam sektor pelaburan Jepun. Begitu juga industri halal mempunyai prospek yang tinggi pada masa akan datang dan adalah menjadi tugas generasi muda hari ini yang berminat dengan industri halal menimba ilmu dalam bidang ini sebanyak mungkin.

Rasional kepada kejayaan pembangunan negara adalah bergantung kepada sikap yang positif serta moral yang tinggi oleh pelbagai lapisan masyarakat dari peringkat tinggi hingga ke peringkat yang rendah. Rentetan itulah perlu ditanamkan kesedaran di jiwa penjawat awam atau swasta supaya mereka memahami tugas dan tanggungjawab masing-masing. Bagi mencapai tujuan ini pihak kerajaan telah memperkenalkan Dasar Bersih, Cekap dan Amanah pada April 1982 dan diikuti oleh Kepimpinan Melalui Tauladan pada Mac 1983 oleh Tun Dr. Mahathir Mohamed agar menjadi amalan kepada semua lapisan masyarakat di negara ini. Asas kepada amalan ini adalah bagi membendung gejala negatif yang menjadi penyebab kepada kejatuhan produktiviti dan kualiti kerja rakyat Malaysia. Nilai-nilai positif yang ditekankan di bawah pengenalan dasar ini adalah mempunyai moral yang tinggi, berdisiplin, amanah, tidak mengamalkan rasuah, tidak memihak kepada mana-mana pihak, jauhkan sikap dengki dan khianat, tegas dan berprinsip, proaktif, mahir dalam bidang tertentu dan sebagainya.
 
Era globalisasi memperlihatkan ledakan teknologi maklumat yang begitu pantas sehingga mengatasi pertumbuhan penduduk dunia. Perkembangan teknologi maklumat ini telah banyak memberi kesan kepada kehidupan manusia khususnya dari segi masa. Selain itu, perkembangan ini juga telah banyak mengurangkan penggunaan sumber manusia dengan kewujudan teknologi yang boleh membuat kerja-kerja yang dilakukan oleh tenaga manusia. Ada yang melihat perkara ini sebagai sesuatu yang positif kerana ia akan dapat mengurangkan kos operasi dan upah. Tidak mahu ketinggalan dengan teknologi seumpama ini, Malaysia telah mengambil langkah proaktif dengan memperkenalkan Revolusi Industri 4.0. Apakah yang dimaksudkan dengan Revolusi Industri 4.0?  Mungkin ramai yang masih tidak faham, masih samar-samar atau langsung tidak tahu, semuanya berkemungkinan. Secara amnya, cuma bayangkan 30 tahun akan datang segala ilmu yang kita miliki kini hanya menyumbang satu peratus sahaja dalam dunia pekerjaan. Ini bermakna, pasaran kerja hanya akan dipenuhi oleh individu yang berkemahiran tinggi, kreatif dan kritis. Jadi dalam hal ini, dunia pekerjaan pada masa akan datang akan lebih mencabar dan generasi muda hari ini perlu mengambil langkah perlu agar mampu mendepani cabaran dan mampu memainkan peranan dalam dunia digital tanpa sempadan ini. Individu atau warganegara yang celik mengenai revolusi ini akan mempersiapkan dirinya dengan ilmu yang menjadikannya relevan dengan era tersebut.
 
Namun, hasil kajian secara rawak mendapati terdapat sebilangan warganegara dari pelbagai peringkat umur khususnya golongan dewasa tidak mengetahui akan kewujudan sesetengah dasar kerajaan yang telah diperkenalkan. Jawapan ringkas mereka adalah tidak tahu dan ada yang tidak faham. Pelaksanaan terhadap dasar-dasar dapat dilaksanakan sepenuhnya jika masyarakat dari pelbagai peringkat faham dan menghayati dasar-dasar ini dari peringkat atasan hingga bawahan. Percayalah segala dasar yang diperkenalkan oleh kerajaan ini tidak akan terlaksana jika ianya hanya difahami oleh pegawai kerajaan peringkat atasan sahaja tanpa melibatkan semua golongan masyarakat. Manakala bagi pihak kerajaan pula, perlu ada pengukuran prestasi yang perlu disemak dan diumumkan secara berkala bagi memastikan rakyat Malaysia mengetahui dan memahami sepenuhnya apakah yang dihasratkan oleh kerajaan dalam memangkin pembangunan negara.
 
Penulis adalah Pensyarah Kanan, Pusat Sains Kemanusiaan, Universiti Malaysia Pahang (UMP).  


Artikel/Rencana Pilihan

Kebiasaan Baharu: Peluang dan Ruang bagi Perniagaan dalam Talian

BIL. 79 MEI 2020

Oleh: DR. RAHMAH MOKHTAR
e-mel: drrahmah@ump.edu.my

BIL. 79 MEI 2020

Penggunaan teknologi komputer dalam urusan harian telah lama dipraktikkan oleh pelbagai organisasi.  Fungsi teknologi komputer telah dipertingkatkan dengan penambahan teknologi sesuai dengan peredaran masa. Bermula dari penggunaan komputer peribadi sehingga kini berubah ke aplikasi mudah alih.  Terkini, teknologi jalur lebar, memudahkan jaringan hubungan sama ada setempat dan seluruh dunia tanpa sempadan.  Sektor perniagaan tidak ketinggalan dan perlu selari dengan perubahan teknologi supaya boleh berdaya saing dan memudahkan pengurusan harian.  Sektor perniagaan yang menggunakan komputer atau aplikasi mudah alih dikenali sebagai perniagaan dalam talian atau lebih terkenal dengan istilah e-Niaga. Segala pengurusan perniagaan bermula dari pengiklanan, pesanan, pembayaran dan penghantaran semuanya diaturkan menggunakan aplikasi komputer sama ada statik atau mudah alih.
 
Fenomena Baharu

Fenomena e-Niaga telah berubah seratus darjah apabila wabak yang muncul pada akhir Disember telah menular keseluruhan dunia termasuk Malaysia. Keseluruhan kebiasaan baharu telah mengubah cara mengoperasi kebanyakan sektor perniagaan. Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menjadikan cara permintaan pengguna terhadap barangan juga telah berubah. Pengguna lebih selesa membuat urusan dalam talian kerana menjimatkan masa dan juga selamat.  Bagi memenuhi permintaan pengguna, sektor perniagaan perlu membuat satu lonjakan dari pengurusan fizikal secara total kepada dalam talian. Para peniaga perlu membuat perubahan dalam urusan perniagaan mereka dengan menggunakan teknologi terkini bagi kekal bersaing dan perlu memulakan penggunaan teknologi dalam urusan harian mereka. 
 
Kemunculan pelbagai aplikasi dan penggunaan media sosial sebagai medium urusan perniagaan menunjukkan para peniaga telah menggunakan peluang dan ruang yang membuka penerimaan masyarakat Malaysia terhadap e-Niaga.  Apatah lagi dalam bulan Ramadan yang mulia, rakyat Malaysia yang sudah biasa dengan kewujudan bazar di sana sini, mula menerima e-Bazar sebagai alternatif pengganti bazar Ramadan secara fizikal sebagai kebiasaan baharu. Makanan kebiasaan di bulan Ramadan masih boleh dinikmati di waktu berbuka puasa dengan hanya menghantar pesanan di atas platform pilihan, bayar dan hanya menunggu juadah berbuka sampai ke rumah. Kemudahan teknologi boleh membantu para peniaga dan pelanggan mendapatkan barangan atau juadah keperluan mereka pada waktu yang ditetapkan sewaktu PKP. e-Niaga membuka peluang kepada sesiapa sahaja untuk memulakan perniagaan demi kelangsungan hidup dengan syarat mempunyai peranti sama ada statik atau mudah alih dan capaian Internet.

Penggunaan Aplikasi Web, Mudah Alih dan Media Sosial dalam e-Niaga
 
Aplikasi web, mudah alih dan media sosial merupakan platform medium yang digunakan oleh para peniaga dan pengguna bagi urusan perniagaan dalam talian (online). Terdapat pelbagai aplikasi yang boleh digunakan sama ada platform sedia ada seperti Lazada, Shopee, Facebook, WhatsApp atau aplikasi yang diwujudkan oleh kerajaan atau organisasi tertentu yang boleh digunakan sebagai jambatan bagi mengiklankan dan menjual barangan perniagaan. Semua aplikasi ini bersedia untuk menampung dan menghubungkan keperluan peniaga dan pengguna dalam urusan perniagaan dan pembelian.  Seperti perniagaan fizikal, e-Niaga juga memerlukan strategi untuk memasarkan barangan yang dijual.  Oleh itu, pendekatan dan strategi pemasaran e-Bisnes perlu dititikberatkan oleh peniaga bagi menarik minat pengguna.

Strategi Pemasaran e-Niaga

Strategi pemasaran adalah penting untuk menarik minat pelanggan kerana e-Niaga juga mempunyai persaingan yang tinggi.  Berikut adalah beberapa strategi yang boleh digunakan supaya perniagaan anda pilihan utama pelanggan.

i.        Penggunaan gambar yang menarik minat pelanggan
 
Perniagaan dalam talian memerlukan gambaran produk yang menarik perhatian dan memberikan keyakinan kepada pelanggan untuk membeli barangan yang dijual. Contohnya, peniaga yang menjual martabak di bulan Ramadan mestilah menggunakan gambar martabak yang masih berasap dan menyelerakan bagi menarik minat pelanggan untuk membeli. Pelbagaikan sudut gambar anda untuk menjadikannya lebih menarik. Jika anda tidak mahir untuk menyunting gambar sendiri anda boleh mengupah individu yang mahir menyunting gambar anda cantik dan menarik hati pelanggan anda.
 
ii.      Penggunaan tanda pagar hashtag (#)
 
Penggunaan (#) adalah penting untuk membolehkan perniagaan anda mencapai sasaran pelanggan yang tepat.  Pengguna terus dihubungkan dengan perniagaan anda jika mereka menaip produk yang anda jual di kotak pencarian.  Contoh jika anda menjual martabak gunakan (#) berikut seperti #martabak, #martabakpekan atau pun #martabaksedap.        
                       
 
iii.    Maklumat yang jelas
 
Maklumat dan istilah yang jelas mestilah digunakan dengan sebaiknya supaya pelanggan tahu apa yang mereka akan peroleh, harga yang ditawarkan dan kelebihan produk.  Baru-baru ini timbul isu akibat penggunaan Istilah Cash on Delivery (COD). Menurut kamus e-Niaga (businessdictionary.com) COD adalah pembayaran tunai yang perlu dibayar oleh pengguna sewaktu penghantaran barangan iaitu harga barang termasuk caj servis (jika ada).  Bagi pengguna yang biasa dengan istilah COD bermaksud tiada caj tambahan. Akhir-akhir ini didapati kebanyakan peniaga menggunakan istilah COD + caj penghantaran yang boleh mengelirukan pelanggan.  Isu wujud kerana kebanyakan pelanggan enggan membayar caj tambahan kerana istilah COD tersebut. Oleh itu, disarankan peniaga menggunakan istilah Cash with Delivery Charge (CDC) dengan meletakkan harga barangan dan caj penghantaran sebagai contoh berikut, Martabak paling sedap di Kuantan dengan harga RM8 CDC mengikut kawasan misalannya Sungai Isap RM3, Indera Sempurna RM5 atau Gambang Damai RM7.
 
Bermaksud pelanggan akan membayar RM11 secara tunai sewaktu penghantaran martabak di hadapan rumah di kawasan Sungai Isap. Maklumat ini lebih telus dan pengguna maklum akan caj tambahan yang dikenakan. Jika peniaga masih ingin menggunakan COD mereka boleh membuat iklan seperti berikut iaitu ‘Martabak paling sedap di Kuantan, COD 12’. Bermaksud pelanggan akan membayar RM12 secara tunai sewaktu penghantaran martabak di depan rumah di mana kawasan Kuantan tanpa sebarang caj tambahan.

Perniagaan disertai strategi pemasaran yang baik boleh menjadikan perniagaan anda sebagai pilihan utama pengguna.

Perniagaan anda juga boleh berkembang luas dan boleh diadaptasi mengikut keadaan semasa. Jadikan kebiasaan baharu ini kepada satu peluang dan ruang yang perlu diambil oleh para peniaga untuk meneruskan kelangsungan perniagaan mereka dengan bantuan teknologi komputer.
 
Penulis adalah Pensyarah Kanan, Fakulti Komputeran, Universiti Malaysia Pahang (UMP). 


Karya Kreatif

Puisi Buat PM

BIL. 79 MEI 2020

Wabak Covid-19 merebak seluruh negeri
Semua orang merasa ngeri
Terima kasih datuk seri
Kerana wabak Covid-19 makin pergi

Perintah PKP wajib dipatuhi
Rakyat jelata seluruh negeri
Hari-hari kami menanti
Semoga bebas suatu hari nanti

Rakyat jelata pelbagai bangsa
Perintah PKP semua merasa
Kami semua sangat bangga
Kerana PM ada setiap masa

Perintah PKP patuh sentiasa
Tidak kira hari dan cuaca
Kami terasa disayangi sentiasa
Dapat PM berhati mulia

Perintah PKP semua tidak bekerja
Ada yang takut ada yang biasa
Belum pernah kami merasa
PM dan rakyat sama rasa

Terima kasih PM kita
Kerana hadirmu rakyat suka
Setiap hari ada berita semasa
Supaya kita tidak leka

Wahai PM kami tidak sangka
Di saat negara dilanda petaka
Ada Menteri yang bagus belaka
Bekerja untuk rakyat jelata

Dr. Hasnah Hussiin
Pusat Sains Kemanusiaan
Universiti Malaysia Pahang (UMP)

FOOTER CREATE 2020