Skip to main content
 
UMP E-Newsletter

Akademik dan Antarabangsa

40 mahasiswa, 500 pelajar sekolah terokai dunia Kejuruteraan bersama UMP

40 mahasiswa, 500 pelajar sekolah terokai dunia Kejuruteraan bersama UMP

Oleh: SITI NURFARMY IBRAHIM, BAHAGIAN KOMUNIKASI KORPORAT

Penganjuran UMP Engineering’s Day anjuran kelab pelajar Fakulti Kejuruteraan Mekanikal (FKM), iaitu Mechanical Engineering Professional Student Club (MECHAPRO), Universiti Malaysia Pahang (UMP) pada 23 November 2018 yang lalu memberi peluang pelajar sekolah meneroka pelbagai bidang Kejuruteraan yang sesuai dengan minat dan prospek kerjaya mereka pada masa akan datang.

Program yang diadakan di UMP Kampus Pekan itu mendapat kerjasama pihak Jabatan Jaringan Industri & Masyarakat (JJIM) dan melibatkan seramai 40 mahasiswa dan seramai 500 orang pelajar sekolah menengah sekitar Kuantan dan Pekan untuk menyaksikan pameran yang berkonsepkan pendidikan Sains, Teknologi, Matematik dan Kejuruteraan (STEM) dan mengambil bahagian dalam program TRIUMP (glider), Mini Games dan Engineering for Awesome (Explorace).  

40 mahasiswa, 500 pelajar sekolah terokai dunia Kejuruteraan bersama UMP

Hadir merasmikan program ialah Timbalan Dekan (Akademik & Hal Ehwal Pelajar) FKM, Profesor Madya Ir. Dr. Haji Nik Mohd Zuki. Turut hadir Pengarah JJIM, Dr. Nurul Hazlina Noordin dan Penasihat Program, Ts. Dr. Siti Haryani Tomadi.

Menurut Profesor Madya Ir. Dr. Haji Nik Mohd Zuki, program ini dilihat mampu memberi impak yang besar kepada para pelajar di samping para pelajar dapat mengumpul pelbagai maklumat yang berkaitan bidang Kejuruteraan.

“Perkembangan dunia Sains dan Teknologi pada masa kini dilihat kian pesat dan memerlukan komitmen yang tinggi bagi menghasilkan modal insan yang bermutu selain dapat memfokuskan pembelajaran dalam dunia kejuruteraan secara interaktif dan kreatif.

40 mahasiswa, 500 pelajar sekolah terokai dunia Kejuruteraan bersama UMP

“Melalui aktiviti yang disediakan ini mahasiswa UMP dan pelajar sekolah turut dapat mengaplikasikan kembali pembelajaran mereka dengan menyertai pertandingan yang disediakan,” ujar beliau.

Beliau berharap, penganjuran program seperti ini dapat diteruskan lagi pada masa hadapan sebagai suatu bentuk pendedahan kepada para pelajar dalam meneroka bidang Kejuruteraan di peringkat universiti.

Sementara itu, menurut Pengarah Program, Wan Husna Nabilah Meor Jamaludin, program ini merupakan suatu platform sebagai pendedahan kepada pelajar menghadapi cabaran untuk menempuhi  Revolusi Industri 4.0 dan Internet of Think (IOT). 

“Selain itu ia juga dapat melahirkan golongan mahasiswa yang berkeyakinan tinggi bagi mendepani cabaran di peringkat glokal mahupun global di samping mempromosikan nama universiti dalam kalangan pelajar bagi memilih UMP sebagai destinasi  pendidikan tinggi mereka bagi menyambung pengajian,” katanya. 


Akademik dan Antarabangsa

Program Chem E Car hasil pelajar sekolah berdaya cipta

Program Chem E Car hasil pelajar sekolah berdaya cipta

Seramai 60 pelajar tahun empat, lima dan enam Sekolah Kebangsaan Bunut Rendang, Kuantan menyertai program Chem E Car anjuran Fakulti Kejuruteraan Elektrik & Elektronik (FKEE), Universiti Malaysia Pahang (UMP) pada 22 November 2018 yang lalu. 

Menurut Pengarah Program, Profesor Ts. Dr. Hamzah Ahmad, program kolabarasi bersama pihak sekolah ini berjaya memberi pendedahan awal dan menyuntik semangat pelajar sekolah dalam mata pelajaran Sains dan Matematik. 

“Selain itu juga, program ini dapat melahirkan modal insan yang berdaya saing misalnya dalam program ini pelajar diberi pendedahan dalam penghasilan kereta menggunakan bahan terbuang seperti  batang ais  krim dan penutup botol.

“Melalui aktiviti ini mereka berupaya membentuk kreativiti dan kebolehan berfikir di luar kotak. 

“Selain taklimat dalam penghasilan kereta tersebut, pasukan kami turun padang untuk bersama-sama membantu pelajar ini. Kami dapati pelajar menunjukkan minat dan fokus dalam penghasilan reka cipta ini,” katanya.

Program Chem E Car hasil pelajar sekolah berdaya cipta

Tambahnya lagi, selaras dengan moto (tagline) UMP ‘Memasyarakatkan Universiti’, pihaknya sentiasa membantu guru dan pelajar untuk berkongsi teknologi yang terdapat di UMP terutama dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).  

Manakala bagi Guru Penolong Kanan, SK Bunut Rendang, Rosnawati Khashmi, program kolaborasi julung kali yang dianjurkan ini berjaya menarik minat para pelajar terhadap mata pelajaran Sains dan Matematik dan melahirkan pelajar yang bermotivasi tinggi. 

Beliau sendiri tidak menyangka dalam tempoh dua jam sahaja para pelajar dapat mencipta kereta mengikut kreativiti kumpulan masing-masing. 

Beliau amat menghargai komitmen pasukan dari UMP dan merancang untuk meneruskan program. 

Bagi murid Abdul Muiz Abdul Syukur, 10, sangat teruja apabila beliau dan dua lagi rakannya  berjaya menyiapkan kereta dengan pantas dan tidak sabar untuk mengambil bahagian dalam program ini pada masa akan datang.


Sukan dan Rekreasi

Kejohanan SUKFAC cungkil bakat sukan mahasiswa UMP

Kejohanan SUKFAC cungkil bakat sukan mahasiswa UMP

Kejohanan Sukan Antara Fakulti (SUKFAC), Universiti Malaysia Pahang (UMP) yang masuk edisi ke–10 kali ini merupakan medium untuk melahirkan graduan UMP yang berketerampilan dan mempunyai daya saing yang tinggi baik dalam aspek akademik dan juga aktiviti kokorikulum.

Menurut Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni), Profesor Dato' Dr. Yuserrie Zainuddin, penglibatan pelajar dalam SUKFAC bukan sahaja sebagai atlet dalam pertandingan, tetapi juga penglibatan dalam penganjuran aktiviti sukan juga harus dipandang sebagai salah satu platform untuk mengasah kemahiran seperti membuat keputusan, pengurusan, komunikasi dan organisasi yang bakal dipraktikan sepenuhnya dalam kehidupan seharian.
 
“UMP sebenarnya memerlukan pelajar yang benar-benar berwibawa untuk membawa cabaran ke peringkat tertinggi khususnya dalam bidang akademik, penyelidikan dan juga sukan. 

“Banyak program yang telah dirancang dan dilaksanakan oleh pihak universiti untuk menghasilkan pelajar atlet yang berwibawa dan berketerampilan,” ujar beliau yang hadir merasmikan kejohanan tersebut di UMP Kampus Pekan pada 16 November 2018 yang lalu. 

Tambah beliau lagi, Pusat Sukan dan Kebudayaan juga  berperanan untuk melahirkan atlet sukan yang mampu memberi cabaran yang hebat dalam arena sukan dan juga kebudayaan. 

“Melalui kepakaran dan kemudahan yang ada pada universiti, kita yakin para atlet UMP mampu bangkit untuk berjaya di persada sukan di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa.  

“Selain itu, pihak universiti sentiasa menyokong usaha-usaha yang dilakukan oleh Pusat Sukan dalam membawa perubahan kepada pembangunan sukan di universiti. 

Kejohanan SUKFAC cungkil bakat sukan mahasiswa UMP

Jelas beliau lagi, UMP mempunyai pelbagai prasarana sukan dan ianya akan dipertingkatkan dan diperbanyakkan dari semasa ke semasa sejajar dengan perkembangan semasa sukan universiti.

“Saya berharap agar para pelajar akan mengambil peluang dan menggunakan segala kemudahan sukan secara optima dalam mengembangkan serta mengasah bakat dalam diri masing-masing. 

“Sukan adalah satu aktiviti yang memerlukan latihan yang konsisten. Kemudahan yang telah disediakan perlulah dijaga supaya lebih ramai dapat menggunakannya,” ujar beliau. 

Dalam pada itu, beliau turut menyeru dekan-dekan fakulti agar dapat memberi sokongan penuh kepada atlet yang mewakili fakulti masing-masing di kejohanan ini sama ada dalam bentuk sokongan moral, bantuan kewangan dan penglibatan dari pensyarah fakulti secara langsung atau tidak  langsung.

Penganjuran sukan ini berlangsung secara dua fasa iaitu pada 17 hingga 18 November 2018 di Kampus Pekan dan 24 hingga 25 November 2018 di Kampus Gambang serta sekitar Kuantan. 

Kejohanan menyaksikan sebanyak sembilan acara sukan dipertandingkan antaranya sepak takraw, ping pong, petanque, catur, boling padang, tenpin boling, bola baling, bola keranjang, dan tenis yang melibatkan penyertaan seramai 1,200 mahasiswa yang mewakili fakulti masing-masing pada kejohanan kali ini.


Jejak Alumni

Tanpa minat, tiada matlamat - Heziwan

Tanpa minat, tiada matlamat - Heziwan

Oleh: NURIZZATUL ALIN AHMAD BASTANI, JABATAN HAL EHWAL PELAJAR DAN ALUMNI

Langsung tidak menjadikan jurutera sebagai cita-citanya sewaktu kecil, beliau akhirnya memilih bidang Kejuruteraan sebagai kerjaya hidupnya kerana kecintaan yang mendalam terhadap alam sekitar. 

‘Learn whatever it may be, whenever you can and wherever you will’ merupakan pegangan hidup graduan Universiti Malaysia Pahang (UMP), Heziwan Hamsah, 32.

Beliau adalah pemegang Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Kejuruteraan Kimia (Bioteknologi) dari  Fakulti Kejuruteraan Kimia & Sumber Asli (FKKSA) dan kini bekerja sebagai Jurutera Loji Kanan di Cenergi Tanah Makmur Sdn. Bhd. yang beroperasi di Pekan, Pahang. 

Sebelum itu, beliau pernah bekerja dalam sektor pembuatan, kimia polimer dan utiliti di Indah Water Konsortium Sdn. Bhd. (IWK). 

Beliau kini bekerja dalam sektor utiliti di mana beliau sedang mengusahakan projek yang membekalkan tenaga elektrik daripada sumber yang boleh diperbaharui atau dikenali sebagai Waste-to-Energy. 

Menurut Heziwan, melalui projek ini bumi kita peroleh impak yang besar kerana dapat membantu mengurangkan pembebasan gas rumah hijau sekali gus suhu bumi akan menurun. 

“Projek yang dijalankan ini juga dapat membantu kerajaan mencapai sasaran sebanyak 20 peratus tenaga elektrik berasaskan tenaga yang diperoleh daripada bahan terbuang menjelang tahun 2030,’ katanya.

Ujarnya lagi, beliau mendapat sokongan penuh daripada isteri dalam mengusahakan projek ini untuk membantu menjaga alam sekitar memandangkan pencemaran yang semakin memberi kesan kepada kesihatan dunia dan menjejaskan masa depan manusia.

Beliau berpendapat pemilihan jurusan pembelajaran pada peringkat universiti adalah amat penting. 

“Belajar bermula dengan minat. Tetapi tanpa minta kepada sesuatu perkara atau kursus, seseorang tidak akan dapat fokus dan hilang tumpuan. 

“Bagi saya, jika seseorang tidak fokus, mereka akan belajar tanpa matlamat dan tiada perancangan masa hadapan, sekali gus membazir masa dan wang,” katanya. 

Tambah beliau lagi, aktiviti yang disediakan oleh pihak universiti amat membantu pelajar untuk menyiapkan diri menempuh alam pekerjaan. 

Apabila pelajar banyak melibatkan diri dengan aktiviti yang disediakan, tahap keyakinan dan jati diri dapat ditingkatkan bagi memudahkan mereka untuk menempuh alam pekerjaan akan datang.