Skip to main content

Juadah Iftar Menu Antarabangsa Rai Anak Yatim Nur Iman

Seramai 100 mahasiswa antarabangsa Universiti Malaysia Pahang (UMP) bergotong-royong memasak juadah berbuka puasa dalam program anjuran Pejabat Antarabangsa UMP bagi menceriakan 150 orang anak-anak di Rumah Anak Yatim dan Miskin Nur Iman yang terletak di Kuantan.
 

Menariknya, pelajar yang terdiri daripada mahasiswa antarabangsa dari negara Yaman, Iraq, Mesir, Somalia,Tanzania, Sudan, Pakistan dan Bangladesh ini menyediakan juadah tradisi negara masing-masing antaranya masakan Mutton Masala (Bangladesh), Chiken Karahi(Pakistan) Fasoulia (Iraq), Kushaf (Egypt), Magrood (Libya) dan Basbousa (Sudan) untuk dinikmati semasa berbuka puasa.
 

Pengarah Pejabat Antarabangsa, Dr. Nik Aloesnita Nik Mohd Alwi  berkata, program ini merupakan inisiatif mahasiswa antarabangsa sendiri untuk berkongsi pengalaman mengimarahkan Ramadan serta beramah mesra dengan penghuni di rumah anak yatim ini.
 

“Peluang menyediakan juadah berbuka puasa bersama menu antarabangsa ini pastinya menjadi ingatan anak-anak dan pelajar sendiri sangat teruja. Bahkan mereka dapat menimba pengalaman baharu di sini di samping mengubat kerinduan kepada keluarga di kampung halaman,” katanya.
 

Tambah beliau, pihaknya telah mengadakan pelbagai program bagi memberi peluang mahasiswa luar negara merasai sendiri pengalaman berpuasa di negara ini yang mungkin berbeza di tempat lain. Ini termasuklah menikmati juadah menu tempatan di bazar Ramadan, bertarawikh, bertadarrus dan berbuka puasa di masjid UMP.
 

Sementara itu,Yang Dipertua Rumah Anak Yatim dan Miskin Nur Iman, Ustaz Haji Badrul Huzaini menghargai kerjasama UMP dalam penganjuran program ini. Beliau dapat melihat anak-anak ini terlalu gembira apatah lagi menerima sumbangan duit raya  dan teruja kerana dapat menikmati makanan dari pelbagai negara.
 

Pihaknya amat menghargai kerjasama UMP yang sentiasa memberi sokongan dengan penganjuran pelbagai program dan memberi sumbangan untuk dimanfaatkan penghuni di sini. 
 

Bagi pelajar antarabangsa UMP, Abdelmadjid Benraghda  dari Algeria  berkata, penyediaan juadah bermula pada jam 1.00 petang dengan aktiviti menyiang, memasak dan menghidang. Ujarnya, mereka menyediakan juadah ini bagi mengembirakan kanak-kanak di sini serta memperkenalkan hidangan dari pelbagai negara.
 

Beliau juga melahirkan perasaan gembira dapat bersama–sama berbuka puasa dan menunaikan solat terawih berjemaah malahan mereka juga mengadakan Kelas Bahasa Arab kepada anak-anak di sini. Mahasiswa juga teruja untuk merakamkan detik manis berbuka puasa di lokasi menarik di Kuantan khususnya di hadapan masjid negeri Pahang yang menjadi tumpuan orang ramai berbuka puasa setiap kali menjelang Ramadan.

 

Disediakan Nor Salwana Mohd Idris dari Bahagian Komunikasi Korporat PNC

Reports by:
Nur Laila binti Afandi