Skip to main content

Mahasiswa Kejuruteraan Serlah Bakat Kepimpinan dan Pentas Seni

Pekan, 13 Julai- Bakat kepemimpinan yang digilap sejak dibangku sekolah mendorong Perezkov Jaimbol, mahasiswa Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Pembuatan dari Universiti Malaysia Pahang (UMP) aktif menyertai pelbagai persatuan dan program di kampus apabila melangkah ke alam menara gading.

Nilai positif dimiliki seperti petah berbicara, bijak, menepati masa, peka dan berdisplin tinggi menyaksikan anak sulung dari lima beradik itu sering diberi kepercayaan sebagai pengarah pelbagai program yang dianjurkan. Malah beliau pernah menyandang jawatan sebagai Timbalan Ketua Setiausaha 1, Majlis Pewakilan Pelajar Sesi 2016/2017.

“Sejak di sekolah rendah lagi saya aktif dalam aktiviti kokurikulum, kebudayaan dan kesukanan. Semangat kepimpinan juga telah berterusan sehingga ke universiti yang mana saya dilantik untuk menjadi Pengarah Program Santai Seni Warisan 2017 “We Are One” yang telah dianjurkan di universiti,” kata  Perezkov atau dikenali sebagai Perez yang menjadikan Nicky Vujicic sebagai idolanya.

Anak kelahiran dari Kota Kinabalu Sabah ini menjadikan keinginan untuk mencuba perkara baharu sebagai satu tabiat dalam dirinya. Baginya sebagai seorang mahasiswa seharusnya berani untuk mencuba perkara baharu.

“Saya sering menyertai program yang dianjurkan oleh pihak universiti sama ada berkaitan akademik mahupun kokurikulum. Ianya banyak membantu dalam melatih diri untuk lebih berani dan yakin dalam pengucapan awam,” katanya. Beliau pernah menyertai  Kelab Menari, Karate-Do, Mahasiswa Anak Sabah Sarawak dan Kelab Kebudayaan dan Kesenian.

Penglibatan Perez dalam kelab ini bukan sahaja tertumpu di peringkat universiti, malahan juga di peringkat yang lebih tinggi seperti peringkat kebangsaan dan antarabangsa.   Beliau mewakili UMP bersama deligasi MPP 16/17 ke Istanbul Turki untuk Program Global Youth Leader Cultural Engagement dengan kerjasama Istanbul University.

Bagi teras kebudayaan, beliau pernah membuat persembahan tarian di bawah Kelab Kencana Pawana sempena Program International Student Get Together peringkat antarabangsa dan Pertandingan tarian etnik Sabah Malam Citra Bayu peringkat kebangsaan di bawah kelab Kustari Borneo. Selain itu dari segi kesukanan, beliau mewakili UMP sebagai atlet karate dalam Karnival Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM) dan pernah mendapat pingat gangsa.

Kehidupan di universiti merupakan satu platform untuk melatih diri sebelum melangkah ke alam kedewasaan. Justeru, beliau ingin menggunakan platform ini sebaik yang mungkin bagi melatih diri sendiri bagaimana untuk hidup berdikari dan mengerti erti kehidupan yang sebenar.

Dalam pada itu menjadi seorang pemimpin mahasiswa merupakan latihan sebelum melangkah ke alam pekerjaan yang sebenar yang mana mahasiswa didedahkan bagaimana untuk sesuatu organisasi dan berinteraksi dengan pelbagai lapisan masyarakat. Tambahnya bukan mudah untuk menjadi pemimpin dan mahasiswa dalam masa yang sama justeru, pembahagian masa amatlah penting dalam mengimbangi tugas dan tanggungjawab.

Biodata:

Nama penuh : Perezkov Jaimbol

Umur: 22 tahun

Asal: Kota Kinabalu, Sabah

Bil.adik beradik: Anak sulong dari lima beradik

Jurusan: Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Pembuatan, Universiti Malaysia Pahang (UMP)

Makanan kegemaran: Asian cuisine

Hobi: Bermain piano, menyanyi dan menari

Cita-cita: Jurutera Pembuatan

Pendidikan:

Sekolah Kebangsaan Pekan, Kota Belud, Sabah

Sekolah Menengah Sains, Sabah

Pusat Asasi Sains Hayat, Universiti Malaya

Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Pembuatan, Universiti Malaysia Pahang (UMP)

Pencapaian dalam akademik dan kokurikulum:

Anugerah Pemimpin Program Kebudayaan 2017 Peringkat KPM (3 Terbaik).

Pengacara Majlis Festival Bayu Kenyalang 5.0

Penari Majlis Festival Bayu Kenyalang 4.0

Pengacara Warisan Malaysia 2016

Menyertai tarian di bawah Kelab Kencana Pawana sempena Program International Student Get Together peringkat antarabangsa

Atlet karate dalam Karnival Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM)

Presiden Sekretariat Kelab Kebudayaan dan Kesenian

Disediakan Siti Nur Azwin Zulkapri dari Bahagian Komunikasi Korporat

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri