Skip to main content

Teroka Bidang Penyiaran Bersama Astro Awani

Seramai 30 orang mahasiswa Kelab Media Massa Universiti Malaysia Pahang (UMP) mengadakan lawatan ke Studio Astro Awani dalam  Program Awani Rangers UMP dalam mendapatkan pendedahan serta pengalaman mengenai dunia baharu dalam bidang penyiaran dan kewartawanan. 

Lawatan turut disertai Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof Dato’ Dr. Yuserrie Zainuddin dan Ketua Pegawai Eksekutif UMP Advanced, Dr. Mohamad Rozi Hassan.

Dalam program ini, sesi taklimat disampaikan oleh penyampai TV, Hilal Azmi dan Syed Farradino Omar yang memberi penerangan mengenai peranan Astro Awani sebagai satu platform penyampaian maklumat yang tepat dan pantas kepada penonton. Mereka juga berkongsi pengalaman serta panduan dalam proses mendapatkan maklumat secara berkesan.

Awani Rangers UMP ini merupakan satu kerjasama antara Astro Awani dan UMP untuk melatih pelajar dalam bidang kewartawanan serta pemberitaan dengan mengupas isu-isu semasa dan pengalaman kampus universiti. Penghasilan berita ini akan diterbitkan dalam portal Astro Awani selepas melalui proses suntingan pihak Bahagian Komunikasi Korporat UMP dan Astro.

Hilal berkata, UMP menunjukkan prestasi yang cemerlang dalam bidang penghasilan berita. Sebagai contoh, berita bertajuk ‘Jam Zaman Purba Lokasi Tumpuan Graduan’ hasil nukilan Awani Rangers Nazmi Nasir, Amirul Aiman, dan Ahmad Taqiyuddin berjaya mendapat carian tertinggi selepas sebulan disiarkan di Portal Astro.

 

“Bagi saya, ini merupakan pencapaian yang sangat membanggakan apatah lagi UMP merupakan sebuah institusi yang tidak menawarkan program pengajian komunikasi dan media,” katanya.

Bagi pengarah program, Ummi Amirah Mohamad Mansor, kami teruja dapat mempelajari pengalaman baharu yang luar dari bidang pengajian dan yang paling menarik perhatian adalah studio skrin hijau yang menggunakan teknik 3D.

Pelajar turut berpeluang menyaksikan sendiri sudut rakaman dan penyiaran dengan mengoptimumkan ruang secara optimum dan kondusif. 

Tambah menyeronokkan mereka juga dapat menyaksikan sesi rakaman siaran Agenda Awani secara langsung dalam studio yang disampaikan oleh Pengarang Eksekutif AWANI, Kamarul Baharin Haron bersama Prof Dato’ Dr. Yuserrie dan Dr. Mohamad Rozi yang membincangkan tentang Mendepani Industri 4.0: Manfaat Peluang, Kreatif dan Inovasi. Sesi lawatan berakhir dengan aktiviti penyampaian cenderamata serta bergambar kenang-kenangan di ruang legar Astro Awani. 

 

Disediakan oleh Nur Laila Afandi dan Awani Rangers UMP, Khairunnisa Zafirah Hidzir @ Azmi dan disunting oleh Bahagian Komunikasi dan Korporat.

 

Reports by:
Nur Laila binti Afandi