Skip to main content

89 Pelajar Sekolah Berkumpul dalam Perkampungan Menara Gading

Seramai 89 pelajar Tingkatan 6 Atas dan 5 dari 19 buah sekolah menengah sekitar daerah Pekan dan Kuantan merasai pengalaman menjadi mahasiswa Universiti Malaysia Pahang (UMP) selama tiga hari dalam Projek Semaian Subur di UMP Kampus Gambang yang berakhir hari ini.

Projek yang berkonsepkan ‘Perkampungan Menara Gading’ ini dianjurkan oleh Kelab InSmartive dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Akademik & Antarabangsa serta Pejabat-pejabat Pendidikan Daerah Pekan dan Kuantan sempena Karnival Pendidikan Tinggi Negara (KPTN) Zon Pahang 2018 baru-baru ini.

Menurut Pengurus Projek yang juga mahasiswa Tahun 1 Fakulti Pengurusan Industri, Siti Nur Nabirah Amran, 20, tumpuan utama projek ini ialah pemetaan hala tuju akademik dan kerjaya para peserta secara realistik dan praktikal pasca peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang akan ditempuhi mereka tidak lama lagi.

“Menggunakan pendekatan neurolinguistic programming (NLP), para peserta telah dibimbing oleh seramai 28 fasilitator mahasiswa untuk membina keyakinan diri dalam membuat keputusan mengenai pilihan laluan akademik melalui modul D.I.C.E, S.W.O.T Analysis, Explorace dan Timeline,” katanya.

Lebih menarik, pelajar turut berpeluang berinteraksi langsung dengan tokoh  akademik UMP dalam slot ‘Hi Professor!’ yang dikendalikan sendiri oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi), Prof. Dato’ Dr. Mashitah Mohd Yusoff; Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni), Prof. Dato’ Dr. Yuserrie Zainuddin; Pendaftar/ Ketua Pegawai Operasi, Encik Abdul Hamid Majid dan Dekan Pembangunan Pelajar, Dr. Muhamad Mat Noor.

Turut mengisi aktiviti ialah amali pemetaan perancangan akademik dan kerjaya yang dikendalikan oleh Eksekutif, Institut Pengajian Siswazah, Ahmad Zarif Ahmad Fauzi yang juga merupakan alumni Fakulti Kejuruteraan Mekanikal di universiti ini.

Turut berlangsung slot Bicara Inspirasi yang menampilkan Ketua Pegawai Eksekutif UMP Holdings Sdn Bhd, Tuan Syed Mohd Hamzah al-Junid Syed Abdul Rahman yang berkongsi liku-liku perjalanan akademik sehingga berjaya muncul sebagai graduan cemerlang Fakulti Kejuruteraan Elektrik & Elektronik yang menerima Anugerah Pelajaran Diraja Pingat Jaya Cemerlang dalam Majlis Konvokesyen Kedua UMP pada tahun 2007.

Dalam program ini,  pelajar Tingkatan 6 Atas dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Mahkota Kuantan, Ahmad Qusyairie Ahmad Ramdzan, 19 diumumkan sebagai Peserta Terbaik (Lelaki) manakala Nur Atikah Aminuddin, 17, pelajar Tingkatan 5 dari SMK Seri Pekan, Pekan sebagai Peserta Terbaik (Perempuan).

Majlis perasmian penutup dihadiri Penolong Pegawai Pendidikan Daerah Pekan, Haji Rujhan Zakaria, Penolong Pegawai Pendidikan Daerah Kuantan, Zainuddin Ahmad, Ketua Penyelidik Pejabat Naib Canselor merangkap Penasihat Kelab InSmartive, Wan Nazrul Helmy Wan Mohd Zain dan Presiden InSmartive, Muhammad Aizat Azed.

 

Berita disediakan oleh Siti Nur Nabirah Amran, Pengurus Projek manakala foto oleh Muhammad Amir Hizbullah Sezali dan Amir Syarifudin Baharudin.

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Nur Laila binti Afandi