Skip to main content

Baju Raya Buat Mahasiswa UMP

Kuantan, 29 Mei- Hampir 1 kontena pakaian kanak-kanak dan dewasa serta pelbagai barangan keperluan lain berjaya dikumpulkan hasil sumbangan warga Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan orang ramai bersempena program Jualan Amal Raya Campus Pantry  di perkarangan JHEPA baru-baru ini.

Program yang masuk tahun kedua ini merupakan inisiatif Jabatan Hal Ehwal Pelajar & Alumni (JHEPA) dengan kerjasama Persatuan Wanita UMP (Matahari) dengan mendapat sokongan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) bagi berkongsi kegembiraan menjelangnya sambutan Hari Raya Aidil Fitri tidak lama lagi.

Menurut Pengurus Besar JHEPA, Haryani Abdullah berkata, program ini juga bertujuan untuk membantu mahasiswa untuk mendapatkan pakaian  secara percuma dan pengunjung juga boleh menyumbang dengan jumlah bayaran yang kecil antara RM 1 hingga RM 10 untuk disumbangkan dalam tabung UMP Campus Pantry untuk manfaat mahasiswa.

“Pakaian ini telah disumbangkan oleh warga UMP sejak seminggu yang lalu dan kebanyakan pakaian terdiri daripada baju kurung, baju Melayu, kemeja, seluar kanak-kanak dan dewasa, kain, sejadah serta telekung yang masih baharu serta selesa digunakan,” katanya.

Ujar beliau, program sehari ini terbuka kepada mana-mana mahasiswa dan masyarakat sekitar dan mereka boleh untuk mengambil pakaian ini untuk kegunaan sendiri mahupun keluarga. Berbanding penganjuran sebelum ini, selain pakaian percuma pihaknya juga memberi peluang buat mahasiswa dan pengunjung mendapatkan pakaian sambil beramal.  

Bagi pengarah program Paridah Mohd. Ali yang juga Pegawai Psikologi Kanan UMP, sungguhpun program berlangsung tatkala minggu peperiksaan pihaknya berbangga dengan komitmen sukarelawan mahasiswa yang banyak membantu. Dalam pada itu, sukarelawan daripada staf JHEPA dan ahli persatuan turut turun padang membantu dalam mengumpul dan mengasingkan pakaian dalam memastikan hanya pakaian yang sesuai diagihkan.     

Tambahnya lagi, selepas lebih lima jam program berlangsung bermula jam 10 pagi menyaksikan kira-kira 1000 orang memenuhi lokasi program itu untuk mengambil barangan diperlukan dan sebanyak RM 2000 wang sumbangan berjaya dikumpulkan.

Sementara itu, Maizatul Masliza Norman,21, yang merupakan mahasiswa Fakulti Sains dan Teknologi Industri (FIST) amat berterima kasih kepada UMP atas penganjuran program ini yang membolehkan beliau membawa pulang pakaian sendiri malah beberapa baju kurung untuk dihadiahkan kepada ibu dan adik-adik di kampung.  

Manakala Zuraini Ahmad,43, yang tinggal di Lepar Hilir berkata, program ini memang ditunggu. Beliau yang mendapat tahu mengenai program ini daripada rakan-rakan yang bekerja di UMP melahirkan perasaan amat gembira kerana memperolehi pakaian yang sesuai untuk dipakai pada hari raya nanti. Ujarnya, sumbangan ini besar maknanya buat beliau sekeluarga.

Disediakan Nor Salwana Mohamad Idris daripada Bahagian Komunikasi Korporat.

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri