Skip to main content

Facelift UMP baik pulih rumah semarak aktiviti kemasyarakatan

Universiti Malaysia Pahang (UMP) tidak hanya menumpukan kepada peranan utamanya sebagai sebagai sebuah universiti teknikal untuk melahirkan cendikiawan tersohor, namun turut mengerakkan kerja-kerja kemasyarakatan dalam kalangan warganya.

Naib Canselor UMP, Prof. Dato’ Ts. Dr. Daing Nasir Ibrahim berkata, sebagai sebuah menara gading yang melewati parameternya, UMP menggerakkan kerja-kerja amal melalui projek Universiti Komuniti dan inisiatif MyGift secara besar-besaran dalam memasyarakatkan universiti menerusi pengetahuan dan teknologi.

Pihaknya memilih sebuah perkampungan nelayan iaitu Kuala Pahang yang terletak berhampiran kampus untuk melakukan beberapa proses transformasi menerusi projek pembangunan fizikal dan projek infrastruktur bagi pembinaan Kompleks Medan Ikan Bakar yang diselia oleh kepakaran pensyarah dari Fakulti Kejuruteraan Awam dan Sumber Alam.

"Projek ini merupakan kesinambungan daripada kejayaan pelaksanaan program 'Empower Mahkota' dilaksanakan oleh Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) dengan kerjasama UMP Advanced Education dan Persatuan Wanita UMP atau Matahari sejak 2011.

"Ianya melatih dan melahirkan usahawan dalam kalangan peserta isi rumah berpendapatan rendah (B40) iaitu masyarakat sekitar Pekan dan Kuantan," katanya  di sini baru-baru ini dalam program Ziarah Facelift @ Kuala Pahang.  Program disertai YH Dato’ Mohd Nizar Dato’ Sri Najib, Pengarah Eksekutif Deloitte Corporate Advisory Services Sdn Bhd yang merupakan Ahli Lembaga Pemegang Amanah MyGiftUMP.

 

Hadir sama Dato’ Mohd Rizal bin Mohd Jaafar, Ketua Pegawai Eksekutif Widad Business Group,  Izwan Hasli Ibrahim, Ketua Pegawai Operasi Petronas ICT Sdn Bhd yang bertemu penduduk kampung dan menyampaikan sumbangan dan basikal.

Projek Facelift D’ Kuala merupakan usaha UMP dalam mengubah wajah dan identiti Kuala Pahang sebagai perkampungan nelayan.  Antaranya mengecat rumah penduduk, kerja pembersihan, pengindahan, baik pulih dan pemasangan solar bagi memberi keselesaan kepada penduduk.

Usaha ini menyokong inisiatif pendidikan pelancongan dan pembangunan Kompleks Medan Ikan Bakar yang dibangunkan UMP dengan kerjasama Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC).

Dalam pada itu, menurut Daing Nasir, UMP memperkenalkan Projek Facelift D’ Kuala (Facelift) dalam usaha mengubah wajah dan identiti Kuala Pahang sebagai perkampungan nelayan yang menyokong inisiatif pendidikan pelancongan dan Strategi Lautan Biru Kebangsan (NBOS) dengan menyasarkan lokasi tersebut sebagai salah satu destinasi tumpuan.

Facelift merupakan satu usaha khidmat komuniti yang digerakkan oleh UMP untuk mengubah wajah dan identiti Kuala Pahang sebagai Perkampungan Nelayan selain memaknakan kewujudan UMP sebagai salah satu Universiti Awam (UA) di Malaysia.

 

Kata beliau, menerusi projek ini pihaknya telah mengenalpasti lebih 50 buah rumah  di lokasi tersebut untuk dibaik pulih dan dicat termasuk melakukan kerja-kerja pembersihan serta pengindahan kawasan kediaman.

"Hasrat menjadikan Kuala Pahang pilihan pelancong dalam dan luar negara adalah untuk meningkatkan ekonomi masyarakat sekitar sekali gus mengubah landskap dan sosial penduduk," katanya.

Tumpuan turut diberikan dalam mentrasformasi minda dengan menekankan aspek pembangunan isi rumah dengan memberi motivasi, membangunkan ekonomi keluarga dengan projek kebun sayur fertigasi, program peningkatan akademik anak-anak, kemahiran hidup dan menanam sikap pentingkan kebersihan.

Malah katanya kita turut menyokong penduduk tempatan yang bekerja sebagai tukang untuk melaksanakan kerja-kerja pembaikan terbabit dan merancang mewujudkan laman web khas untuk mempromosikan perkhidmatan mereka kepada masyarakat luar.

Manfaat ini turut dirasakan penduduk Kuala Pahang yang bekerja sebagai nelayan, Mohd Taha Omar, 48 yang tinggal bersama isteri, Salina Abdul Rahman, 34 bersama 7 anak yang masih bersekolah. Selain itu, keluarga Mohd Zin Ismail,49 seorang Tukang Kayu yang tinggal bersama isteri, Fatimah Abdullah, 46 bersama warga emas, Wan Lijah Wan Ahmad, 79 dan 3 anak lain yang masih bersekolah. Manakala keluarga ibu tunggal, Rohani Abdullah, 46 yang tinggal bersama ibu, Selamah Ibrahim, 85 dan empat anak. Merealisasikan slogan Memasyarakatkan Teknologi UMP turut menyumbang kepakaran terutamanya dalam pemasangan solar di rumah penduduk, fertigasi, baja kompos dan lain-lain.

 

Reports by:
Nor Salwana bt Hj Mohammad Idris