Skip to main content

Pendedahan Literasi Digital Didik Kanak-kanak Celik Teknologi

Pekan, 12 Julai- Penggunaan teknologi kini semakin  berkembang dengan pesat dan golongan kanak-kanak juga tidak ketinggalan  dalam menjadikan teknologi sebagai salah satu komponen penting yang diperlukan dalam pendidikan masa kini. Teknologi pada masa kini banyak memberikan  kesan kepada pendidikan awal kanak-kanak.

Di samping itu, teknologi media mahupun pelbagai teknologi baharu banyak membantu meningkatkan kefahaman terhadap maklumat yang ingin disampaikan dan meningkatkan perkembangan pengetahuan dan literasi kanak-kanak.

Cakna terhadap perkembangan ini, Universiti Malaysia Pahang (UMP) dengan kerjasama Fakulti Kejuruteraan Elektrik &  Elektronik (FKEE) menjalankan Program Literasi Digital membabitkan seramai 25 pelajar pra sekolah dari Sekolah Kebangsaan Indera Shahbandar anjuran UMP STEM Lab bertempat di KP House Kuala Pahang. UMP STEM Lab dilaksanakan di bawah Unit Pengembangan Inovasi FKEE sebagai satu platform yang berperanan dalam memupuk minat pelajar sekolah dalam mata pelajaran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik.

Pengarah Jaringan Industri dan Masyarakat, Ir Dr. Nurul Hazlina Noordin merangkap penyelaras program berkata, program ini  bertujuan memberi pendedahan kepada pelajar sekolah mengenai peralatan digital seperti komputer, telefon pintar dan televisyen sebagai pendedahan awal kepada golongan kanak-kanak ini.

“Dalam program ini pelbagai aktiviti diadakan bagi mendidik mereka mengenai keselamatan semasa menggunakan peralatan digital dan internet tersebut. Pada masa yang sama mereka turut diberi pendedahan tentang ancaman dan bahaya serta mengajar mengenai etika dan cara penggunaan peralatan dengan betul,” katanya.

Kebanyakan mereka pernah menggunakan telefon pintar ibubapa yang  mempunyai  ciri tambahan yang canggih termasuk aplikasi kamera, media sosial seperti Whatsapp, Youtube, Instagram dan lain-lain lagi.  

Manakala Pensyarah Fakulti Kejuruteraan Elektrik & Elektronik (FKEE) merangkap pengarah program, Nor Farizan Zakaria berkata, komputer, telefon pintar dan televisyen merupakan aplikasi penting dalam era masa kini. Namun jika penggunaan yang berlebihan akan memberikan kesan negatif kepada kanak-kanak.

Sementara itu Guru SK Indera Shahbandar,NorSuhaila Mohd Sarip berbangga apabila sekolahnya terpilih dalam program ini yang dapat memberi pendedahan mengenai pengunaan alat digital dan internet. Beliau mengharapkan lebih banyak lagi program kerjasama dapat dilaksanakan pada masa akan datang.

Selain itu, suasana pembelajaran yang kondusif di KP House ini juga memberi peluang anak-anak ini belajar di luar kawasan persekolahan dengan lebih seronok. Peserta dibimbing sukarelawan UMP membabitkan seramai tujuh orang pensyarah dan lima orang mahasiswa universiti.  

Disediakan Nor Salwana Mohd Idris dari Bahagian Komunikasi Korporat

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri