Skip to main content

Sukarelawan UMP gotong-royong bantu pasca banjir

 Sukarelawan Universiti Malaysia Pahang (UMP) bersama sukarelawan daripada Universiti Awam lain berganding bahu bersama-sama membantu dalam aktiviti gotong-royong di Sekolah Kebangsaan (SK) Acheh baru-baru ini. SK Acheh yang mempunyai seramai 67 orang pelajar sebelum ini telah dilanda banjir menyebabkan aras bawah bangunan dua tingkat itu ditenggelami air.  Misi banjir diselaras oleh pihak Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JHEPA) ini membantu meringankan beban warga sekolah terutama guru-guru bagi memulakan sesi persekolahan yang tertangguh berikutan bencana tersebut.

Menurut Penolong Pendaftar Kanan Jabatan Hal Ehwal Pelajar (JHEPA), Abd Rahman Ahmad yang juga Ketua Sukarelawan Pelajar  berkata, misi kesukarelawanan ini menyalurkan bantuan berbentuk fizikal seperti mencuci kawasan sekolah yang berlumpur, menyusun atur kelas, serta membersihkan kawasan longkang yang tersumbat. 

“Kerja khidmat komuniti ini merupakan sebahagian daripada tanggungjawab korporat UMP dalam usaha meringankan beban mangsa banjir di sekolah. Sekolah ini bukan sahaja menjadi mangsa banjir, malahan turut menjadi penempatan bagi mangsa-mangsa banjir di sekitar Pekan,” katanya. Bagi pasca banjir ini sukarelawan UMP juga telah membersihkan  penempatan mangsa banjir di Dewan Sri Damai dan SJKC Chung Ching Kuantan setelah mangsa banjir pulang ke rumah masing-masing. Pihaknya juga bertindak sebagai penyelaras sukarelawan dari luar termasuklah dari Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Universiti Malaya dan Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS).

Sementara itu, Pengetua SK Acheh, Zaiton Din berkata, sekolah ini kerap ditenggelami air setiap kali banjir melanda. Ianya menyebabkan kelengkapan persekolahan seperti meja dan kerusi mengalami kerosakan kerana kekurangan ruang bagi penyimpanan barang.Selain itu, dinding akan dipenuhi dengan lumpur dan mencacatkan pemandangan di sekolah apabila banjir sudah surut. Dengan bantuan ini pastinya dapat meringkankan beban warga sekolah dan sekolah dapat beroperasi segera memandangkan pembelajaran yang tertangguh.

Manakala bagi pelajar UPNM, Ummi Kalsom Mohamad, 21, pelajar Fakulti Sains Gunaan Pertahanan berkongsi pengalaman kali pertamanya menyertai program sukarelawan seperti ini. Beliau berpuashati kerana dapat  menyumbangkan tenaga bersama-sama rakan. Selain itu, dapat memupuk sifat empati dalam diri golongan muda terhadap golongan yang memerlukan bantuan.

Program ini merupakan sebahagian daripada usaha UMP dalam menjayakan misi operasi pasca banjir yang diselaraskan oleh Jawatankuasa Bertindak Pengurusan Bencana Banjir di samping  memberi impak positif dalam kalangan warga UMP untuk memainkan peranan  dalam memasyaratkan universiti.

Disediakan oleh Nur Laila Afandi dan disunting oleh Bahagian Komunikasi dan Korporat.

Reports by:
Nur Laila binti Afandi