Skip to main content

UMP terima sumbangan zakat UMPH

Kuantan, 22 Oktober 2020 – UMP Holdings Sdn. Bhd. (UMPH) menyerahkan sumbangan zakat kepada Yayasan UMP sebanyak RM5,000 hasil pembayaran semula 20 peratus daripada zakat perniagaan bagi tahun 2019.
 
Hadir menyampaikan sumbangan ialah Ketua Pegawai Eksekutif UMPH, Ir. Syed Mohamad Hamzah Al-Junid kepada Dekan Perkhidmatan Pelajar, Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UMP,  Profesor Madya Dr. Mansor  Sulaiman yang merupakan Jawatankuasa Pengurusan Yayasan UMP. 

Turut hadir Ketua Pegawai Perniagaan, Datin Nur Rubaiha Mohd. Nor dan Pengurus Sumber Manusia UMPH, Muhamad Adlan Ma'arup.
 
Menurut  Ir. Syed Mohamad Hamzah, pihak UMPH mengambil inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) bagi membantu dalam meringankan beban di samping dapat memberi manfaat dan kesejahteraan kepada komuniti sekeliling.
 
“Zakat perniagaan UMPH ini disumbangkan dengan berpaksikan kepada empat teras utama iaitu kebajikan staf, sumbangan kepada UMP, pembangunan komuniti setempat dan penjagaan alam sekitar,” ujarnya.

Manakala Skuad Triumph Troopers yang terdiri daripada sukarelawan UMP Holdings telah mengagihkan sejumlah zakat kepada beberapa pertubuhan termasuklah Sekolah, Maahad Tahfiz, UMP, Rumah Kebajikan Orang Tua dan Rumah Kebajikan Anak Yatim sekitar Kuantan sejak pertengahan Oktober yang lalu.

Dalam pada itu, Muhamad Adlan berkata, satu program lanjutan pengagihan zakat perniagaan, air minuman berjenama Imani dan Triumph Hand Sanitizer turut diagihkan melibatkan sekolah sekitar Gambang dan Kuantan. 

Antara sekolah yang terlibat ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lepar Hilir, Sekolah Kebangsaan (SK) Lepar 1, SK Lepar 2, SK Lepar 3, SK Gambang, SK Bukit Rangin, Sekolah Agama Rakyat  juga pihak Yayasan UMP.

Tambahnya lagi, selain memupuk jalinan hubungan dengan komuniti luar, program ini juga berperanan dalam membantu menyalurkan kepakaran dalaman UMPH seperti pembaikan komponen elektrik dan mekanikal, sivil dan struktur bangunan, pengurusan ladang dan fertigasi, pembangunan sahsiah dan soft skills dalam kalangan pelajar agar dapat dimanfaatkan bersama demi masa depan yang lebih cerah.

Disediakan Oleh: Siti Nurfarmy Ibrahim, Unit Perhubungan Awam dan Media, Pejabat Naib Canselor (PNC)

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Mimi Rabita binti Abd Wahit