Skip to main content
Timothy cemerlang bijak urus masa

Timothy cemerlang bijak urus masa

Kuantan, 15 November- Bijak menguruskan masa dan bersikap optimis merupakan kunci kejayaan penerima Anugerah Prihatin Komuniti Puspanita, Douglas Timothy Tan Choon Chen, 24, pada Majlis Konvokesyen kali ke-13 Universiti Malaysia Pahang (UMP), di sini, baru-baru ini.

Penerima Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik (Elektronik) itu berkata, beliau sering memanfaatkan masa yang terluang dengan mengulangkaji pelajaran ataupun membuat perbincangan bersama rakan sekuliah. Cemerlang dalam akademik membolehkan beliau menerima Anugerah Dekan bagi tujuh semester berturut-turut.

“Kita harus bersikap merendah diri supaya mudah menerima ilmu yang disampaikan dan jangan bersikap ego serta merendahkan orang lain hanya semata-mata berasa diri sudah pandai.

“Sebab itulah saya lebih suka untuk berbincang dengan rakan-rakan kerana mahu mendengar buah fikiran mereka dan latihan seperti ini dapat menjadikan saya lebih mudah mengingati fakta,” katanya yang kini bekerja sebagai Jurutera Elektrik di sebuah syarikat swasta di ibu negara.

Timothy yang juga anak kepada pasangan guru ini berkata, selain belajar, beliau juga sering bermain bola keranjang pada masa lapang sebagai aktiviti fizikal.  “Saya suka bermain bola keranjang kerana merasakan aktiviti ini dapat menyihatkan tubuh badan dan memberi keyakinan kepada saya dalam semua aspek harian,” katanya.

Disediakan oleh Shalfarina Shahriman dari Pejabat Penerbit.

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Siti Nurfarmy binti Ibrahim