Skip to main content

UMP Perkasa Budaya Keusahawaan

Kemaman, 1 April – Merealisasikan agenda Pelan Tindakan Keusahawanan Institusi Pendidikan Tinggi 2016-2020 dalam melahirkan modal insan melalui aktiviti keusahawanan, Pusat Keusahawanan (MyPACE) dengan kerjasama Fakulti Pengurusan Industri (FIM) menganjurkan Bengkel Pembangunan Program Inkubator dan Ekosistem Keusahawan UMP baru-baru ini.

Bengkel membabitkan peserta dalam kalangan staf universiti ini bertujuan memberi pendedahan serta perancangan yang tersusun dan pelaksanaan yang komited dalam mewujudkan ekosistem keusahawanan yang kondusif dan lestari.

Menurut Ketua Pegawai Operasi yang juga Dekan Fakulti Pengurusan Industri, Prof. Madya Dr. Mohd Ridzuan Darun berkata, mengunakan teknik inkubator, tenaga pengajar akan dibimbing serta didedahkan dengan aplikasi perniagaan yang digunapakai di negara luar serta dapat mempraktikkan teknik inkubator dalam silibus pembelajaran.

“Penganjuran bengkel ini dilihat dapat membuka ruang dan peluang buat tenaga pengajar dan pelajar dalam meningkatkan kefahaman dan kemahiran perniagaan serta memanfaatkan ilmu dengan lebih efisien dalam menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara,” katanya.

Dalam pada itu, aspek keusahawanan ini juga dilihat sebahagian daripada agenda utama universiti bertepatan tema Amanat Tahunan Naib Canselor 2019, Meraikan Kejayaan Mendampingi Industri dan Menyuburi Keusahawan.   

Bengkel dikendalikan oleh penceramah jemputan yang tidak asing dalam bidang Model Innovation, SME Development, Business Incubator and Social Media and E-commerce for SME’S, iaitu Dr. Dina Dellyana, Pengarah Inkubator School of Business and Management, Insititut Teknologi Bandung Indonesia.

Dalam berkongsi pengalaman, Dr Dina menyarankan agar pembudayaan keusahawanan perlu dilaksanakan melalui penganjuran seminar, pameran, pertandinagn dan persidangan dalam menanam minat pelajar menceburi bidang ini. Begitu juga dengan sistem sokongan terutamanya di peringkat fasa awal (startup stage), ilmu pengetahuan dan inisiatif dalam menjalinkan hubungan baik dengan pelabur.  

“Malahan para peserta juga akan mempelajari bagaimana bermulanya mendapat idea sehingga berjaya  menjadi projek atau produk selain membentuk pasukan pengurusan yang mantap. Dengan adanya sistem aplikasi memudahkan pihaknya memantau perkembangan usahawan,” ujar Dr. Dina.  

Hadir sama dalam bengkel Naib Canselor, Prof. Dato’ Sri Dr. Daing Nasir Ibrahim, Ketua Pegawai Eksekutif UMP Holdings, Tuan Syed Mohamad Hamzah Al-Junid  Syed Abdul Rahman, Pengarah MyPace, Abdul Syukor Abd. Razak dan Pengarah Pusat Teknologi Maklumat & Komunikasi, Dr. Mohamed Ariff Ameeden.

Bersempena itu seramai 1000 pelajar yang mengambil kursus UGE2002 Technopreneurship juga menerima manfaat dam program keusahawanan yang berlangsung di kedua-dua kampus UMP.

Disediakan Siti Nurfarmy Ibrahim dari Bahagian Komunikasi Korporat

TAGS / KEYWORDS
Siti Nurfarmy binti Ibrahim