Skip to main content

Harapan Menjelang Pembentangan Bajet 2021 Negara

Secara umumnya, pelbagai laporan ekonomi menunjukkan ekonomi global akan berada pada kadar paling rendah selepas zaman kemelesetan besar pada tahun 1930-an. Secara langsung, ia turut memberi kesan kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia dan meningkatkan kadar pengangguran. Walaupun kesan kemelesetan ini memberi kesan kepada semua pihak, tumpuan utama Bajet 2021 sewajarnya lebih kepada golongan yang mudah terjejas dan terdedah dengan kesan secara langsung seperti golongan kumpulan isi rumah B40, M40 dan peniaga Industri Kecil Sederhana (IKS) akibat daripada kemelesetan ekonomi.

Kerajaan juga perlu memberi tumpuan terhadap usahawan yang terlibat dengan perniagaan antarabangsa dalam Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan. Tumpuan ini membabitkan golongan peniaga yang terlibat dengan perniagaan antarabangsa. Ini disebabkan tidak semua perniagaan antarabangsa ini boleh dilakukan melalui dalam talian terutamanya yang melibatkan bahan pengeluaran atau sumber dari pelbagai negara lain. Kumpulan ini juga turut terkesan dengan wujudnya pelbagai sekatan pergerakan antara negara yang menjejaskan kelancaran urusan perniagaan mereka. Usaha bertepatan melalui Bajet 2021 ini akan dapat meningkatkan keyakinan pelabur luar untuk melabur dan menjalankan usaha sama dengan peniaga tempatan.
 
Aspek Pendidikan
Aspek pendidikan pastinya merupakan tumpuan yang perlu diberikan di dalam Bajet 2021. Ia bukan sahaja merujuk kepada pendidikan rendah, menegah dan pengajian tinggi, tetapi juga merangkumi pendidikan sepanjang hayat termasuklah latihan upskilling dan reskilling. Bagi menyokong perkara ini, peruntukan bajet seharusnya diberikan untuk penyediaan kemudahan teknologi bagi menyokong kaedah pembelajaran baharu seperti pembelajaran dalam talian. Selain itu, bajet berkaitan pembangunan kapasiti kemahiran guru dan tenaga pengajar juga perlu disediakan bagi menyokong kaedah pengajaran baharu.
 
Gig Ekonomi
Tumpuan juga perlu terus diberi kepada transformasi sektor perindustrian negara kepada kaedah Industri 4.0. Insentif bersesuaian seperti pengecualian cukai dan pemberian subsidi melalui Bajet 2021 akan dapat mengerakkan industri ke arah Industri 4.0. Keadaan ekonomi yang tidak menentu dan disokong dengan perkembangan teknologi serta gaya hidup generasi milenial juga telah menggerakkan gig ekonomi di Malaysia. Kerajaan seharusnya juga mengambil kira bagaimana gig ekonomi ini dapat menyumbang kepada ekonomi negara di dalam Bajet 2021. Begitu juga bagi memastikan kesejahteraan yang menyeluruh, golongan warga emas juga perlu diberi tumpuan melalui bantuan yang bersesuaian terutamanya dari segi bantuan kesihatan.
 
Perbelanjaan Bersasar
Usaha kerajaan menangani wabak Covid-19 dan meminimumkan impak kepada ekonomi telah melibatkan perbelanjaan yang besar dan sukar untuk kerajaan melaksanakan bajet yang dapat membantu semua pihak secara menyeluruh. Bajet 2021 secara bersasar dirasakan relevan terutamanya bagi golongan yang mudah terkesan. Bajet bersasar ini penting bagi memastikan kitaran ekonomi negara akan dapat berfungsi melibatkan pelbagai pihak dan pelbagai lapisan. Kita telah dapat lihat bagaimana pelbagai bantuan sokongan seperti Bantuan Prihatin Nasional (BPN) dan Bantuan Sara Hidup (BSH) dapat membantu menggerakkan ekonomi negara. Bajet 2021 bersasar yang berkaitan cukai dan subsidi ini juga akan membantu mengerakkan ekonomi serta meningkatkan pelaburan swasta dari dalam dan luar negara yang akan dapat meningkatkan peluang pekerjaan.
 
Tumpuan Sektor Terjejas Kesan Pandemik Covid-19
Tumpuan juga harus diberikan terhadap sektor perindustrian yang diharapkan Bajet 2021 kali ini akan mengukuhkan lagi transformasi digital sektor perindustrian ke arah Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) yang lebih berdaya saing. Selaras dengan perlaksanaan Industri 4.0, sektor pendidikan perlu terus diberi perhatian terutamanya dalam melahirkan modal insan yang boleh menyokong perlaksanaan Revolusi Industri 4.0 melalui Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).
Sektor pelancongan dan pengangkutan juga perlu diberi perhatian kerana ia adalah antara sektor yang terjejas teruk akibat dari wabak Covid-19. Memandangkan terdapat halangan pergerakan antara negara, tumpuan terhadap pelancongan tempatan boleh diberikan lebih tumpuan. Manakala digital ekonomi yang menyokong gig ekonomi juga merupakan antara sektor yang perlu diberi keutamaan.

Dr. Hanafiah

 
Penulis ialah Pensyarah Kanan di Fakulti Pengurusan Industri (FPI) dan juga Pengarah Pusat Hal Ehwal Korporat dan Kualiti (PHKK), Universiti Malaysia Pahang (UMP). 

Disediakan Oleh: Dr. Mohd Hanafiah Ahmad

e-mel: hanafiah@ump.edu.my
 

Reports by:
Admin UMP News