Skip to main content

Manfaat penubuhan Malaysia 16 September 1963

Generasi baharu hari ini mungkin kurang memahami akan pentingnya tarikh 16 September dalam  catatan sejarah negara kita Malaysia. Tarikh 16 September 1963 adalah adalah detik bersejarah menyaksikan penyatuan Persekutuan Tanah Melayu bersama Sabah, Sarawak dan Singapura membentuk negara baharu bernama Malaysia. Walau bagaimanapun, Singapura telah keluar dari Malaysia pada tahun 1965. Penubuhan Malaysia menurut Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu, Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj, perlunya diwujudkan satu  persekutuan yang besar yang merangkumi Persekutuan Tanah Melayu, Borneo Utara (Sabah) dan Sarawak, Singapura dan Brunei ke dalam satu bentuk entiti politik dan ekonomi yang sama. Walaupun ia telah tinggal sejarah, tetapi kesan daripada peristiwa penubuhan Malaysia ini telah memberi seribu faedah kepada pembangunan agama, bangsa dan negara pada hari ini.

Manfaat keselamatan dan keamanan negara 

Tidak dinafikan lagi, penubuhan Malaysia yang merangkumi Malaysia, Sabah dan Sarawak telah berjaya membentuk sebuah negara yang aman dan bebas dari pengaruh dan anasir luar khususnya komunis. Komunis adalah musuh utama negara sebelum kemerdekaan dan awal kemerdekaan. Bagi mengelakkan pengaruh komunis terus berleluasa, kerajaan Tanah Melayu pada waktu itu melihat penggabungan Sabah dan Sarawak serta Singapura dapat menyelesaikan masalah ini. Walaupun pengaruh Komunis berlangsung dalam tempoh 1948 hingga 1960, saki-baki komunis masih lagi ada dan ini telah memperkuatkan lagi usaha Tunku Abdul Rahman pada waktu itu untuk menubuhkan Malaysia. Setelah Malaysia ditubuhkan, masalah ini telah dapat diatasi sedikit demi sedikit dan ekoran daripada usaha kerajaan, keamanan telah dapat diwujudkan. Hasilnya sehingga ke hari ini, Malaysia telah menjadi antara negara yang bebas dari pengaruh dan anasir asing. Ini merupakan manfaat yang paling berharga yang telah dinikmati oleh generasi baharu Malaysia kerana dapat hidup dengan aman dan damai. Ini berbeza dengan kehidupan nenek moyang mereka zaman dahulu yang sentiasa hidup dalam ketakutan, kerisauan, kebuluran dan menjadi mangsa kekejaman komunis.

Pembebasan Sabah dan Sarawak daripada naungan British

Penubuhan Malaysia sesungguhnya telah memberi banyak manfaat kepada penduduk di Sabah dan Sarawak. Nikmat yang paling berharga bagi kedua-dua buah negara ini adalah bermulanya pembebasan daripada naungan British. Tanah Melayu secara tidak langsung telah membantu memerdekakan Sabah dan Sarawak. Dengan ini, penubuhan Malaysia sebenarnya melakar sejarah apabila sebuah negara yang kecil telah membantu negara yang besar untuk memperoleh kemerdekaan dan bebas daripada cengkaman British. Ekoran daripada ini juga telah wujud satu negara bangsa yang besar merangkumi Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak. Dengan pembentukan negara bangsa yang besar ini ia juga telah berjaya menyeimbangkan nisbah penduduk yang terdiri daripada pelbagai agama, budaya dan bangsa. 

Malaysia muncul sebagai negara yang kaya dengan warisan kebudayaan 

Percantuman antara Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak juga telah berjaya menyatupadukan seluruh bangsa dan kaum sehingga terbentuknya satu budaya yang sangat unik di bawah satu payung. Ini bermakna, Malaysia telah muncul sebagai antara negara yang sangat kaya dengan keunikan budaya, adat resam, kepercayaan dan gaya hidup. Lihatlah kesannya kepada Malaysia sekarang  yang mana ia telah berjaya menarik pelancong daripada dalam dan luar negara untuk melihat sendiri gaya hidup masyarakat yang mempunyai budaya yang unik ini. Amat sukar untuk melihat kepelbagaian budaya dan etnik dalam satu negara, tetapi di Malaysia anda dapat melihat semua ini. Ini merupakan sumbangan yang besar hasil penubuhan Malaysia kerana kini Malaysia telah dikenali di seluruh dunia.

Mengukuhkan perpaduan rakyat Malaysia

Malaysia merupakan negara yang terdiri daripada masyarakat majmuk, kaya dengan budaya dan adat resam serta kaum dan bangsa yang berbagai-bagai. Secara praktisnya, amat sukar untuk menyatupadukan kaum yang berbeza agama, budaya dan cara hidup. Tetapi dengan penubuhan Malaysia, perpaduan rakyat dapat dilaksanakan dan direncanakan hasil kepimpinan pemerintah terdahulu. Perpaduan adalah asas penting kepada pembangunan ekonomi dan sosial sesebuah negara. Justeru, penubuhan Malaysia sebenarnya bukan sahaja dapat menyatupadukan rakyat, malahan telah membentuk satu rumpun bangsa yang bersatu padu dalam satu acuan yang besar iaitu Malaysia. Tidak keterlaluan jika dikatakan Malaysia telah dijadikan contoh oleh negara maju sebagai sebuah negara yang berjaya menguruskan perpaduan kaum dan masyarakatnya.

Pemantapan ekonomi negara

Secara kasarnya, Malaysia turut muncul sebagai negara yang berjaya dalam menguruskan ekonomi. Apa tidaknya, semasa negara berada dalam situasi ekonomi yang tidak menentu ekoran kegawatan ekonomi, negara tidak perlu berhutang dengan IMF. Ini sudah dikira satu kejayaan yang besar bagi Malaysia. Inilah manfaat penubuhan Malaysia yang dapat kita lihat sehingga ke hari ini. Kalau dahulu Tanah Melayu hanya bergantung kepada beberapa jenis atau sumber ekonomi, tetapi dengan kemasukan Sabah dan Sarawak ke dalam Malaysia, eksport Malaysia telah dipelbagaikan dan tidak hanya tertumpu kepada sesuatu sektor sahaja. Dengan penggabungan ini, rakyat saling mendapat faedah dan tidak wujud lagi tanggapan negara yang kaya makin bertambah kaya dan negara miskin makin bertambah miskin. 

Malaysia negara baharu yang lebih besar

Akhir sekali dengan penubuhan Malaysia, secara amnya, telah terbentuk satu negara yang besar dan disegani oleh kawan dan lawan. Dengan penggabungan ini, lahirlah sebuah negara pelbagai bangsa dengan nama Malaysia yang gah dan masyhur dengan ekonomi yamg kukuh dan politik yang sukar ditandingi. Apabila menjadi sebuah negara yang besar, mantap dari segi sosiopolitik maka sudah tentu ia menjadi perhatian seluruh dunia. Dalam hal ini, keselamatan negara perlu sentiasa dipantau dari semasa ke semasa. Jadikan peristiwa di Lahad Batu sebagai peringatan buat rakyat Malaysia semua agar sentiasa bersatu padu dan berdiri teguh di belakang pemimpin bagi bersama-sama  menjaga keselamatan dan kedaulatan negara Malaysia yang tercinta ini. 

Manfaat penubuhan Malaysia 16 September 1963

Penulis ialah Pensyarah Kanan, Pusat Sains Kemanusiaan (PSK), Universiti Malaysia Pahang (UMP).

Oleh: Dr. Hasnah Hussiin
e-mel: hasnah@ump.edu.my

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Admin UMP News