Skip to main content

Pasca PKP: Kekal dan kayakan usaha membantu anak-anak dalam pembelajaran

Pandemik Covid-19 telah memberi ruang untuk mencari perspektif yang baharu dalam dunia pendidikan. Ibu bapa yang terkesan dengan fenomena ini secara tidak langsung pastinya telah banyak mempelajari sesuatu yang mungkin pada masa lampau tidak menyangkakan bahawa mereka akan memperoleh pengalaman baharu dalam usaha membantu pembelajaran anak-anak. Impak kepada wabak ini telah memungkinkan mereka untuk menjajah perkara yang belum pernah mereka pelajari terutamanya dalam meningkatkan kemahiran digital. Ini disebabkan hampir sebahagian besar daripada pengisian atau input pembelajaran anak-anak menggunakan kemudahan internet. 

Sebagai contoh, ibu bapa telah mampu untuk menyelesaikan masalah teknikal atau troubleshoot ketika membantu anak-anak mereka yang perlu menghadiri kelas secara dalam talian. Penggunaan Google Meet, Webex mahupun Zoom kepada pelajar di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dan sekolah menengah adalah sangat popular semasa pandemik ini berlaku. Ia membuatkan ibu bapa ‘terbangun dari tidur’ dalam membantu anak-anak mereka menggunakan aplikasi ini sama ada  melalui telefon pintar atau komputer.  Ini merupakan satu cabaran kepada ibu bapa yang belum pernah menggunakan sebarang platform dalam mengendalikan perbincangan dalam talian. Bahkan, penggunaan aplikasi yang disebutkan tadi boleh memberi tekanan kepada ibu bapa yang tidak mahir di dalam skil digital. 

Dari sudut yang lain pula, menguruskan pembelajaran anak-anak bukan mudah ketika pandemik ini berlaku. Ini kerana sebilangan kakitangan awam dan swasta perlu bekerja di rumah. Terdapat ibu bapa yang telah menyediakan jadual harian yang merangkumi masa yang diperuntukan untuk belajar dan bermain. Mengatur jadual harian adalah penting untuk semua peringkat persekolahan/ pengajian, akan tetapi penyediaan jadual harian ini adalah lebih utama kepada anak-anak yang berada di sekolah rendah kerana mereka masih belum matang untuk menguruskan jadual pembelajaran mereka. Bagi ibu bapa, pengolahan jadual yang disediakan tersebut perlu memanfaatkan sekurang-kurangya 15 minit untuk anak-anak menguasai setiap mata pelajaran atau skil pada satu-satu masa. Manakala untuk mata pelajaran yang kompleks seperti Matematik dan Sains, peruntukan sekurang-kurangnya 30 minit adalah wajar untuk anak-anak mempelajari subjek yang melibatkan pengiraan, pembacaan dan pemerhatian saintifik.  

Jadual harian yang diatur seharusnya diteruskan penggunaannya bagi mengimbangi perkembangan emosi dan jasmani anak-anak. Pada ketika pandemik berlaku mungkin sesetengah ibu bapa menyediakan jadual pembelajaran harian agar anak-anak dapat menggunakan masa di rumah dengan menelaah mahupun beriadah. Justeru, setelah hampir tiga bulan sekolah diarahkan untuk ditutup disebabkan wabak ini dan dibuka semula pada 24 Jun 2020 yang lalu, jadual pembelajaran harian yang diikuti oleh anak-anak perlu dikekalkan pelaksanaannya. 

Kesinambungan penggunaan jadual harian pembelajaran tersebut ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang bermula pada 1 Mei 2020 pula perlu disesuaikan dengan keperluan akademik dan bukan akademik anak-anak.  Malahan, pada ketika ini, ibu bapa perlu kreatif dalam mengatur jadual pembelajaran harian anak-anak pada fasa PKPB memandangkan mereka sudah bersekolah seperti biasa. Anak-anak hendaklah menggunakan jadual pembelajaran harian yang praktikal dengan mengambil kira aktiviti fizikal. Justeru, ibu bapa perlu  kreatif sama ada memberi anak-anak pilihan untuk mereka bermain online games atau berolahraga dengan bermain permainan yang digemari sebelum meneruskan pembelajaran mereka dengan subjek-subjek akademik yang lain. 

Usaha untuk membantu anak-anak dalam pembelajaran adalah kewajipan yang berterusan. Fasa PKP telah memberi peluang kepada ibu bapa untuk lebih prihatin terhadap pembelajaran anak-anak kerana tugasan ini bukanlah tanggungjawab guru semata-mata. Ibu bapa perlu mengimbangkan kehidupan bekerja dengan keperluan pembelajaran anak-anak agar mereka tidak keciciran di dalam akademik. Penting untuk ibu bapa sedar bahawa pencapaian akademik (malahan bukan akademik) anak-anak adalah satu usaha kerjasama antara mereka dan guru. Sebagai ibu bapa, mereka seharusnya timbal balas antara tuntutan kerja dan keperluan keluarga dengan menggunakan pemikiran, jasmani dan emosi agar matlamat kedirian dan profesional dapat dipenuhi. 

Profesor Madya Dr. Zuraina Ali

Penulis ialah Pensyarah Kanan, Pusat Bahasa Moden (PBM), Universiti Malaysia Pahang (UMP).
Disediakan Oleh: Profesor Madya Dr. Zuraina Ali
e-mel: zuraina@ump.edu.my

Reports by:
Admin UMP News