Skip to main content

Sedekad bersama UMP dan Hebei University

Sedekad usia Universiti Malaysia Pahang (UMP) menjalinkan kerjasama dengan Hebei Universitiy (HBU) sejak mulanya penubuhan Pusat Bahasa Mandarin dan Kebudayaan (MLCC) pada tahun 2011. Dengan sokongan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Confucius Institute Headquarters (Hanban) dan HBU, kini MLCC telah dinaik taraf menjadi Institut Confucius pada tahun 2018.

Penubuhan Institut Confucius merupakan satu pengiktirafan yang amat bermakna kepada seluruh warga universiti dalam meningkatkan inisiatif dan memperluas kerjasama di pentas global terutamanya dalam memberi nilai tambah buat pelajar UMP dan masyarakat setempat.

Kerjasama antara dua buah universiti bukan sahaja melibatkan aktiviti bahasa dan budaya malah ujian kefasihan bahasa Mandarin-Hanyu Shuiping Kaoshi (HSK) yang diiktiraf di peringkat antarabangsa juga turut diadakan. Ia juga membabitkan penawaran biasiswa, pertukaran staf dan kerjasama akademik terutamanya pengajaran bahasa Mandarin sebagai bahasa asing di UMP.

UMP turut menerima seramai 39 orang guru bahasa Mandarin sokongan dari China sejak tahun 2011. Setiap tahun, UMP akan menerima seramai tiga atau empat orang guru bahasa Mandarin China yang berkhidmat di kedua-dua kampus UMP. Akibat penularan COVID-19 di Malaysia dan sekatan kemasukan warga asing ke Malaysia, UMP telah menjalankan pendidikan digital untuk bahasa Mandarin oleh lima orang guru sukarelawan China sejak Oktober 2019.

UMP dan HBU juga bekerjasama dalam penganjuran aktiviti bahasa dan budaya. Pada tahun 2019, HBU telah menghantar pasukan persembahan ke UMP bagi penganjuran Festival Seni Budaya Malaysia-China di lima lokasi termasuklah di UMP kampus Gambang dan kampus Pekan pada 10 hingga 14 Oktober 2019. Persembahan tersebut merangkumi pelbagai warisan budaya Malaysia dan China termasuk tarian Melayu, tarian Cina, nyanyian lagu Melayu dan Mandarin, pertunjukan taici, wushu, silat dan lain-lain.

Pada masa yang sama, satu forum kaligrafi turut diadakan yang membincangkan tentang seni kaligrafi Arab dan kaligrafi Cina oleh ahli panel kaligrafi Dr. Abd Rahman Hamzah dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Dr. Fan Yuguang daripada Hebei University. Festival Seni Budaya Malaysia-China telah menarik minat pelajar dan meningkatkan persefahaman budaya Malaysia dan China.

Di samping itu juga pameran budaya dianjurkan dengan memperkenalkan penggunaan penyepit, ikatan Cina dan permainan tradisional Malaysia dan kaligrafi Arab, Cina dan Tamil. Festival ini merupakan medium perkongsian budaya yang mencerminkan kepelbagaian adat dan kebanggaan budaya.
Guru bahasa Mandarin China sentiasa memberi tunjuk ajar kepada peserta bagi menyertai Pertandingan Chinese Bridge peringkat Malaysia pada setiap tahun sehingga mereka berjaya mencatat keputusan yang cemerlang dalam pertandingan ini.

Pusat Ujian Kefasihan Bahasa Mandarin (HSK) telah ditubuhkan di Institut Confucius UMP Pekan setelah diluluskan pada 11 Mac 2020. Penubuhan pusat ini memberi manfaat kepada para pelajar terutamanya para pelajar dari Pantai Timur.

Sejak tahun 2013, seramai 242 orang calon UMP telah menduduki ujian HSK. Guru bahasa Mandarin China sentiasa memberi bimbingan kepada calon-calon HSK sebelum menduduki ujian HSK. Pada tahun 2020 pula, Institut Confucius telah menjemput Profesor Madya Dr. Wang Gang dari College of International Exchange and Education, HBU memberi taklimat ujian HSK tahap 6 kepada calon-calon. Ini telah membantu calon-calon menguasai teknik menjawab soalan ujian dengan baik.

Seramai 105 orang pelajar mendapat biasiswa China sejak tahun 2016 dan menyertai Program Bahasa Mandarin yang dianjurkan oleh China. Seramai 91 orang pelajar juga telah terpilih mengikuti program Bahasa Mandarin di HBU.

Selain itu, UMP turut menganjurkan lawatan sambil belajar di HBU pada tahun 2013 dan 2015. Pelajar-pelajar UMP mengaplikasikan bahasa Mandarin dalam keadaan yang sebenar di China. Para pelajar mengikuti kursus bahasa Mandarin di universiti China. Mereka juga didedahkan dengan pelbagai budaya Cina seperti wushu, teh cina, kaligrafi, seni gunting kertas, lagu-lagu bahasa Mandarin, ikatan Cina, opera, lukisan Cina, taici, dan juga penglibatan dalam membuat ladu Cina. Para pelajar menikmati masa yang tidak ternilai dan menunjukkan semangat serta komitmen untuk belajar bahasa Mandarin sebagai bahasa asing.

Tahun 2014 turut menyaksikan pertukaran staf UMP ke HBU. Profesor Dato’ Sri Dr. Daing Nasir Ibrahim dari Fakulti Pengurusan Industri (FPI) yang ketika itu sebagai Naib Canselor ketiga UMP telah dijemput sebagai Profesor Pelawat di HBU dan Profesor Ir. Dr. Kamarul Hawari Ghazali dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Eletronik (FTKEE) pada tahun 2017. Staf lain yang terlibat ialah Dekan Fakulti Sains dan Teknologi Industri (FSTI), Profesor Madya Dr. Hasbi Abd. Rahim dan pensyarah Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Proses (FTKKP), Dr. Farhan Mohd Said yang menyertai program pertukaran staf ke HBU pada tahun 2018.

Kini, disebabkan pandemik COVID-19 yang masih menular, UMP dan HBU telah menganjurkan kuliah bersama (joint lecture) melibatkan kerjasama pihak Jabatan Kejuruteraan Awam, Kolej Kejuruteraan (KKEJ) dan Fakulti Teknologi Kejuruteraan Pembuatan dan Mekatronik (FTKPM) dari UMP dengan pihak College of Civil Engineering and Architecture serta College of Electronic Information Engineering dari HBU pada tahun 2020.

Sebanyak lapan sesi kuliah bersama telah dijalankan dari November hingga Disember 2020. Pensyarah dari kedua-dua buah universiti bergilir-gilir memberi syarahan kepada pelajar masing-masing. Staf UMP yang terlibat termasuklah Ir. Dr. Azhani Zukri, Dr. Asrul Adam dan Dr. Ahmad Shahir Jamaludin, manakala staf HBU pula ialah Profesor Madya Dr. Wu Xingzheng, Profesor Madya Dr. Xiao Jinzhuang dan Dr. Mei Jianhong. Para pelajar juga dapat bertukar pandangan dalam sesi pembelajaran bidang kejuruteraan dengan pensyarah dari luar negara walaupun tidak dapat menjalankan program mobiliti secara bersemuka akibat penularan COVID-19 di seluruh dunia.

Selain itu, hubungan baik antara UMP dengan HBU telah dipupuk melalui sokongan antara satu sama lain terutamanya pada tempoh pencegahan COVID-19 pada tahun 2020. UMP telah menyumbang sebanyak 10,000 sarung tangan perubatan kepada hospital Hebei University. Di samping itu, HBU turut menyumbang sebanyak 2,000 pelitup muka dan 100 set pakaian pelindungan peribadi (PPE) kepada UMP.

Selamat ulang tahun sedekad UMP dan Hebei University.

18 Januari 2011 hingga 18 Januari 2021

Yong Ying Mei

Penulis ialah  Pengarah (Malaysia) Institut Confucius Universiti Malaysia Pahang.
Disediakan Oleh: Yong Ying Mei  
e-mel: yingmei@ump.edu.my

Reports by:
Admin UMP News