Skip to main content

8 staf UMP tunai haji tahun ini

Pekan, 1 Julai – Seramai lapan orang staf Universiti Malaysia Pahang (UMP) dipilih menjadi tetamu Allah bagi menunaikan haji pada tahun ini. Mereka adalah pasangan suami isteri  iaitu Ts. Dr. Nafrizuan Mat Yahya daripada Fakulti Kejuruteraan Mekanikal & Pembuatan (FKMP) dan isterinya Ts. Dr. Azlyna Senawi dari Fakulti Sains & Teknologi Industri (FSTI).Turut sama Nadiatul Adilah Ahmad Abdul Ghani dan  Hasmanie Abdul Halim daripada Fakulti Kejuruteraan Awam & Sumber Alam (FKASA), Dr. Fadhlur Rahman Mohd Romlay daripada FKMP, Syahrulnaim Mohamad Nawi daripada Fakulti Teknologi Kejuruteraan (FTeK), Paridah Mohd Ali daripada  Jabatan Hal Ehwal Pelajar & Alumni (JHEPA) dan Dr. Khairul Salleh Abdul Basit dari Pusat Kesihatan Pelajar.

Mereka dirai dalam Majlis Doa Selamat  anjuran Jabatan Pendaftar Universiti Malaysia Pahang (UMP)  yang berlangsung di  Dewan Banquet Canseleri Tun Abdul Razak UMP Pekan. Majlis disempurnakan oleh  Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi), Profesor Ts. Dr. Kamal Zuhairi Zamli yang hadir menyampaikan sumbangan buat bakal haji.  

Menurut Profesor Ts. Dr. Kamal, saban tahun universiti meraikan staf UMP yang bakal mengerjakan haji dalam menzahirkan keprihatinan dan kepekaan pihak pengurusan terhadap pencapaian warga kerja UMP sama ada dalam konteks kecemerlangan perkhidmatan mahu pun kejayaan peribadi.

“Pemilihan dan penyenaraian seseorang sebagai bakal jemaah haji bagi sesuatu musim haji juga merupakan satu kejayaan dan pencapaian peribadi yang istimewa dan besar maknanya. Ini adalah kerana kita sedia maklum bahawa proses pemilihan dan penyenaraian tersebut oleh pihak Lembaga Tabung Haji mengambil masa yang lama dengan tempoh menunggu yang agak panjang,” katanya. Beliau menasihatkan bakal haji untuk sentiasa menjaga keselamatan dan kesihatan diri dan menyempurnakan rukun haji dengan sebaik-baiknya.

Bagi bakal haji, Dr. Azlyna Senawi, 38, beliau amat berterima kasih kepada UMP atas sumbangan dan doa yang diberikan apatah lagi bersyukur. Beliau tidak menyangka pada tahun ini terpilih untuk mengerjakan ibadah haji bersama suami kerana pada asalnya dijangkakan pada tahun 2021. Doanya agar dimudahkan segala urusan sepanjang di sana nanti dan mendapat haji yang mabrur.

Terdahulu semua bakal haji turut mengikuti Seminar Haji Intensif bersama  Dr. Muhamad Hilmi Mat Said dan Ustaz Abdul Kamil Jamaludin yang merupakan Pensyarah Pusat Bahasa Moden & Sains Kemanusiaan (PBMSK) yang banyak menerangkan panduan-panduan penting  yang dapat digunakan semasa menunaikan ibadah haji.

Disediakan Nor Salwana Mohd. Idris daripada Bahagian Komunikasi Korporat

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Siti Nurfarmy binti Ibrahim