Skip to main content

Amanat Menteri KPM Pendidikan untuk Semua

Serdang, 14 Januari- Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik menyampaikan Amanat Menteri Pendidikan Tahun 2019 dengan bertemakan ‘Pendidikan untuk Semua’ dalam majlis yang dihadiri lebih 3,000 orang di Dewan Besar, Pusat Kesenian dan Kebudayaan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Universiti Putra Malaysia (UPM) baru-baru ini.  

Dengan menyentuh cabaran mendepani pendidikan dalam menuju Wawasan 2020, menurut Dr. Maszlee, kunci utama untuk menuju wawasan ini ialah melalui pendidikan dan bagi membentuk masyarakat bersatu padu, pendidikan adalah titik mulanya. Kewibawaan pengajian tinggi juga akan dikembalikan, selain memberi penekanan terhadap golongan tercicir seperti orang kurang upaya (OKU) dan pelajar miskin kerana mereka juga mempunyai hak sama dalam mendapat pendidikan.

“Selari dengan visi kita iaitu untuk mengembalikan wibawa universiti awam dan pengajian tinggi melalui peningkatan kualiti dan penekanan nilai sebagai teras pendidikan, kita telah menggariskan empat hala tuju khusus bagi Universiti Awam dan Pengajian Tinggi. Empat hala tuju tersebut ialah kualiti, autonomi, kolaborasi dan pengantarabangsaan bertepatan dengan hala tuju kita iaitu ketinggian kualiti yang mana akan dilaksanakan menerusi tiga aspek iaitu kecemerlangan, relevan dan keberkesanan,” katanya.

Tambah beliau, untuk mencapai tahap ketinggian kualiti yang memuaskan ini, beberapa perubahan akan dijalankan, antaranya ialah para akademik perlu visible dengan penghasilan karya-karya yang memanfaatkan masyarakat yang mana program-program lain yang bersifat intelektual dan ke arah memberikan penyelesaian kepada masalah masyarakat dan membangunkan negara.

Selain itu, etika merupakan aspek yang sangat besar dan perlu ditekankan. Etika bekerja yang tidak baik, budaya plagiarism, pembulian akademik mesti dihentikan. Integriti tidak akan dikompromi, termasuk pembasmian plagiarisme, bonceng gratis dan kegilaan menerbitkan artikel yang tidak berkualiti semata-mata ingin mengejar markah penerbitan. Penerbitan yang dihasilkan mestilah mencerminkan penguasaan para intelek terhadap bidangnya sekaligus menjadi rujukan sejagat di dalam bidang tersebut.

Dalam pada itu, kualiti geran-geran penyelidikan akan dipertingkatkan. Geran-geran yang akan dikeluarkan mestilah berbentuk: knowledge transfer, menggalakkan penterjemahan karya-karya besar dan mesti ke arah menyelesaikan masalah masyarakat dan negara yang bersifat semasa dan substantial. 

Bagi sistem promosi para pensyarah pula, kementerian akan mula bergerak ke arah penggunaan sistem yang memudahkan seperti sistem pusat data raya (big data) dengan teknologi kepintaran buatan (artificial intelligence) yang akan memuatkan semua usaha dan sumbangan mereka sekali gus akan menentukan kelayakan kenaikan pangkat secara automatik.  

Dengan menjadikan Perpustakaan sebagai gedung ilmu yang paling luas dan tidak berpenghujung, sistem perhubungan antara perpustakaan seluruh universiti juga akan ditambahbaik dan akses-akses kepada penerbitan luar akan ditingkatkan. 

Dr. Maszlee juga mensasarkan agar Universiti Awam dan pengajian tinggi menjadi rujukan dan tumpuan global. Proses pengantarabangsaan ini termasuklah dengan usaha meramaikan bilangan pelajar asing untuk datang menuntut di Malaysia selaras dengan visi menjadikan Malaysia sebagai international education hub dan membina lebih banyak cawangan universiti tempatan di luar negara dengan kaedah satelit universiti.

Selain itu, kementerian juga akan menggalakkan penubuhan cawangan universiti asing di dalam universiti awam seperti projek MJIIT di UTM, serta memperbanyakkan lagi kolaborasi kajian di antara universiti tempatan dengan universiti terkemuka di luar dan menggalakkan para akademik untuk menjadi profesor pelawat di universiti luar negara.

Dalam usaha meningkatkan lagi autonomi di universiti, petunjuk prestasi (KPI) setiap fakulti akan dinilai semula dan memansuhkan KPI yang bersifat one-size-fits-all. Universiti akan dibahagikan kepada kluster bagi mewujudkan sinergi dan kolaborasi agar tidak lagi bergerak bersendirian.  

Pemerkasaan mahasiswa di institusi pengajian tinggi dan institusi pendidikan telah dan akan terus diberi penekanan. Antara usaha pertama adalah pemansuhan seksyen 15 (1) (c) yang mengekang penglibatan para mahasiswa untuk terlibat dalam aktiviti politik di dalam kampus secara sah sejajar dengan hasrat kerajaan untuk menurunkan had umur mengundi kepada 18 tahun. 

Dalam hala tuju yang ketiga iaitu kolaborasi, ekosistem kecendiakawanan mesti disemarakkan lagi. Ini boleh dilakukan melalui hubungan mentor-mentee antara profesor senior dan pensyarah-pensyarah baru untuk mewujudkan lebih banyak schools of thoughts dalam bidang masing-masing.  

Di samping itu, pihak universiti juga perlu berkolaborasi dengan pihak lain untuk mewujudkan endowment dari institusi wakaf, zakat dan alumni. Gunakanlah peluang insentif cukai untuk aktifkan endowment melalui alumni.  

Begitu juga dengan usaha menggerakkan dengan lebih drastik dan menyeluruh usaha pengantarabangsaan (internationalisation) universiti. Karya-karya yang bermutu tinggi mesti dihasilkan dan diterjemah, proses penterjemahan mesti giat dijalankan, penjenamaan semula dan pemasaran mesti berjalan dengan lebih efektif di peringkat global.  

Katanya, tidak terkecuali politeknik dan kolej komuniti juga tidak akan dipinggirkan daripada radar terutama dalam meningkatkan kualiti dan penyampaian program TVET untuk menambah baik kebolehpasaran graduan. Penjajaran di antara MTUN dengan politeknik juga telah diusahakan untuk memastikan peluang graduan politeknik untuk melanjutkan pelajaran lebih terjamin. Politeknik dan kolej komuniti juga telah membuka peluang bagi para pelajar lepasan tahfiz untuk melengkapkan diri mereka dengan kemahiran untuk kerjaya hidup mereka. 

Dalam majlis yang sama, Dr. Maszlee juga merasmikan Buku Pelan Transformasi ICT KPM 2019 -2023. Hadir sama dalam Amanat Menteri Pendidikan tahun 2019 adalah Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching. Majlis turut dihadiri Naib Canselor UMP, Prof. Dato’ Sri Dr. Daing Nasir Ibrahim dan barisan pengurusan universiti.

Pihak Kementerian dengan kerjasama phak Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) juga menyeru semua pihak untuk sama-sama menggerakkan sebuah kempen besar-besaran ke arah membina sebuah masyarakat yang membaca dan cintakan ilmu sekaligus menjadikan negara  Malaysia sebagai Negara Membaca menjelang tahun 2030.

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Siti Nurfarmy binti Ibrahim