Skip to main content

Baca Sebelum Lebur Manfaatkan Pembaca

Kuantan, 23 April– Dalam usaha memupuk budaya membaca dalam kalangan warga kampus, Perpustakaan Universiti Malaysia Pahang (UMP) mengadakan Program “Jom Baca Bersama Untuk 10 minit” dengan mengadakan aktiviti Sharing@BookCafe: Baca Sebelum Lebur yang menampilkan Timbalan Ketua Pustakawan, Hajah Siti Aishah Ghani yang  mengupas buku-buku kewangan dan pelaburan untuk dikongsi bersama warga universiti.

Program Jom Baca Bersama Untuk 10 minit diadakan bersempena Sambutan Hari Buku dan Hakcipta Sedunia yang disambut pada 23 April 2019 secara serentak di seluruh Malaysia. Ianya bertepatan dengan objektif Kementerian Pendidikan Malaysia bagi mendorong dan memupuk sikap suka membaca dalam kalangan masyarakat.

Menurut Hajah Siti Aishah yang juga merupakan pengurus blog peribadi UMP  berkata, beliau akan membaca sekurang-kurangnya tiga buah buku dalam topik yang sama sebelum menulis dan mengulas sesuatu perkara tersebut di dalam blog beliau. Beliau yang gemar membaca berkongsi tips untuk rajin membaca, sentiasa membawa buku ke walau berada di mana-mana supaya masa yang terluang tidak disia-siakan begitu sahaja.

“Tanda komitmen perpustakaan terhadap kepentingan membaca dalam kehidupan, Perpustakaan akan menggiatkan lagi aktiviti-aktiviti membaca dalam kalangan warga UMP dan juga komuniti setempat,” katanya yang banyak berkongsi dalam blof UMP iaitu http://blog.ump.edu.my/. 

Program bermula jam 11.00 pagi dan selama 10 minit telah diperuntukkan untuk membaca dan disusuli dengan aktiviti Sharing@BookCafe. Sebanyak lima buah buku telah diulas dengan baik dan ringkas. Buku bertajuk “Revolusi Wang” oleh Alwi Adam sesuai dibaca untuk pelajar kerana penulisan yang santai yang mampu mengetuk akal bagaimana mengurus wang sejak di peringkat belajar lagi.

Manakala buku “Ibu Bapa Bijak, Anak Mewah” oleh Azizi Ali dan Zaid Mohamad menulis berkaitan tips dan strategi lengkap bagi ibu bapa dalam mendidik anak-anak menjadi lebih pintar dan bertanggungjawab dalam urusan kewangan. Buku “Panduan Pelaburan Unit Amanah” oleh Razali Razman menerangkan apa itu Unit Amanah yang ada di pasaran Malaysia dan pemilihan dana yang betul. Buku ini sangat digalakkan untuk dibaca oleh pelabur sebelum membuat sebarang pelaburan unit amanah.

Begitu juga dengan buku berjudul “Panduan Lengkap: Pelaburan Saham” oleh Nor Akmar dan “How You Can Get from Rich Swing Trading” oleh Azizi Ali dan Bill Wermine  sesuai dibaca bagi yang ingin menceburkan diri dalam pelaburan saham dan juga boleh dijadikan bacaan santai untuk menambah ilmu pengetahuan.

Selain itu, Hajjah Siti Aishah mengulas daripada pengalaman beliau sendiri, dalam mengelakkan membeli saham menggunakan wang yang telah ada komitmen seperti bayaran bulanan kereta, rumah, duit pengasuh anak-anak dan lain-lain komitmen sedia ada kerana pelaburan saham melibatkan risiko kewangan yang tinggi.   

Disediakan oleh Noorul Farina Arifin daripada Perpustakaan UMP dan Suntingan Bahagian Komunikasi Korporat

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri