Skip to main content

Confucius Institute UMP dilancar

Pekan, 14 Oktober- Pelancaran Confucius Institute Universiti Malaysia Pahang (UMP) bukan sahaja berperanan sebagai sebuah institut bahasa Mandarin malahan ianya juga akan menyediakan silibus pengajaran dan pembelajaran bahasa Mandarin dalam pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET). Ianya membantu bakal graduan universiti ini dengan pelbagai kemahiran komunikasi bahasa yang memberi peluang tambah nilai dan penempatan pekerjaan dengan lebih luas buat mereka.

Hadir merasmikan penubuhan Confucius Institute (CI) UMP ialah Setiausaha Bahagian, Perancangan dan Penyelarasan Dasar Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Normah Osman. Hadir sama  Pengerusi Lembaga Pengarah UMP, Dato’ Sri Ibrahim Ahmad, Naib Canselor UMP, Prof Ir. Dr. Wan Azhar Wan Yusoff, Pengarah Kebudayaan Kedutaan Republik Rakyat China di Malaysia, Feng Jun, Naib Presiden Hebei University, Prof. Dr. Shen Shigang, Pengarah Confucius Institute China, Prof Gui Fuliang dan Pengarah Confucius Institute UMP, Yong Ying Mei.

Menurut Prof Ir. Dr. Wan Azhar, institut ini akan turut menyediakan ujian kefasihan bahasa Mandarin-Hanyu Shuiping Kaoshi (HSK) yang diiktiraf di peringkat antarabangsa kepada seluruh warga Malaysia. Selain itu menawarkan perkhidmatan latihan kepada guru bahasa Mandarin dan menjadi pusat penyelidikan bahan pengajaran bahasa Mandarin.

Ujarnya, UMP telah mempunyai Mandarin Language & Culture Centre (MLCC) yang ditubuhkan sejak 8 tahun lalu dengan penganjuran pelbagai kursus bahasa Mandarin dan aktiviti kebudayaan Cina dalam kalangan warga UMP, masyarakat setempat dan komuniti setempat termasuk daripada agensi kerajaan, badan swasta dan industri sehingga berupaya menjadi pusat rujukan utama berhubungkait dengan bahasa Mandarin dan kebudayaan Cina di Pantai Timur.

“Sokongan pihak KPM, Confucius Institute Headquarter (Hanban) dan Hebei University terhadap penubuhan CI UMP ini merupakan satu pengiktirafan yang amat bermakna kepada seluruh warga universiti untuk meningkatkan inisiatif dan memperluas kerjasama di pentas global agar CI UMP ini terus relevan dan memberi nilai tambah terutamanya buat pelajar UMP dan pihak luar,” ujarnya.

Selain itu, institut ini juga berperanan menyediakan perkhidmatan pertukaran pelajar UMP ke universiti di negara Republik Rakyat China sebagai usaha untuk memberi pendedahan kepada para pelajar terhadap budaya dan amalan kehidupan harian melalui pembelajaran di bilik kuliah, penglibatan kegiatan kebudayaan dan pergaulan masyarakat tempatan.

Sementara itu, Feng Jun berkata, terdapat 530 buah CI yang terdapat di 155 negara dan wilayah di seluruh dunia manakala di Malaysia penubuhan CI yang pertama adalah di Universiti Malaya yang kini masuk tahun ke-10. Pihaknya yakin hubungan baik China dan Malaysia ini bakal memanfaatkan bidang pendidikan dan budaya menjelang pengumuman tahun 2020 merupakan Tahun Pelancongan dan Kebudayaan di China.

Dalam pada itu, Normah berkata, pihak kementerian amat menghargai usaha UMP dan Hebei University dalam menubuhkan Confucius Institute ini yang memberi nilai tambah kepada seluruh warga universiti dan juga masyarakat setempat. Beliau mengharapkan CI ini sebagai gedung ilmu yang dapat diserlahkan dan disedari kepentingannya kepada para pelajar dan masyarakat dalam pertukaran budaya, penjanaan ekonomi dan pengukuhan ilmu pengetahuan dalam bidang Sains dan Teknologi melibatkan dua negara.

Ujarnya, terdapat tiga lagi Confucius Institute di Malaysia pada masa ini iaitu di Universiti Malaya, Segi University dan Universiti Malaysia Sabah yang menyumbang terhadap pembelajaran Bahasa Mandarin dan pertukaran kebudayaan dengan negara China.   

Beliau percaya, UMP sebagai sebuah universiti teknikal dapat menggarap pelbagai peluang hasil penubuhan Confucius Institute ini  melalui perkongsian kepakaran teknikal dan juga perpindahan teknologi, pengetahuan, pembangunan dan penyelidikan

juga pengkomersialan produk yang memberi manfaat kepada kedua-dua negara. Selain itu, usaha ini juga bakal menjayakan Malaysia sebagai hab pendidikan antarabangsa dalam mempromosikan pertukaran bahasa dan budaya selain memacu usaha ke arah menggalakkan program mobiliti pelajar serta staf universiti.

Bersempena dengan itu, UMP menganjurkan Festival Seni Budaya Malaysia-China melibatkan pelajar Hebei University yang menampilkan citra warna persembahan kebudayaan dan warisan Cina termasuk kesenian kaligrafi Cina, lukisan, persembahan seni tari Tarian Singa serta seni mempertahankan diri seperti Taichi dan Wushu serta penganjuran forum yang dilihat sebagai medium perkongsian budaya.

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri