Skip to main content

CSR PAKAD bimbing pelajar SPM kuasai subjek Sains

Kuantan, 27 Ogos- Para pensyarah Universiti Malaysia Pahang daripada Persatuan Akademik UMP (PAKAD) memberi bimbingan intensif kepada pelajar tingkatan 5 Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Pahang (SMKAP), Muadzam Shah yang akan menduduki Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) pada tahun ini bagi meningkatkan kefahaman dalam subjek Sains seperti Fizik, Kimia, Biologi dan Matematik.

Program “CSR Akademik PAKAD 2019” melibatkan seramai 33 pelajar dan 12 guru SMKAP ini turut disertai  seramai 50 pensyarah UMP dan 11 pelajar pasca siswazah yang berlangsung di Kampus UMP Gambang pada 6 dan 7 Ogos lalu.

Menurut Presiden PAKAD, Mohd Hairul Ab Rahim, berkata program ini adalah selaras dengan objektif persatuan untuk menggalakkan staf akademik melibatkan diri dalam aktiviti kemasyarakatan. “Ianya juga dapat mewujudkan kerjasama antara staff akademik dan para pendidik SMKAP melalui program pemindahan ilmu dan kepakaran pengajaran dan pembelajaran subjek berteraskan sains,” katanya.

Bagi pengarah program, Prof. Madya Dr. Fatmawati Adam, pelajar juga diberi peluang untuk merasai kehidupan suasana pembelajaran kampus termasuk memperkukuhkan pemahaman  konsep kimia di dalam makmal sebenar dan pembelajaran aktif serta menimba pengalaman kampus dengan bermalam di kolej kediaman universiti.

Bagi Prof Madya Dr Mohd Zuki yang turut sama turun padang membimbing pelajar, pihaknya mengadakan pelbagai aktiviti dalam bentuk permainan, teknik dan hasil kreativiti pensyarah yang dijalankan bagi menanam minat serta meningkatkan pemahaman bagi memahami topik yang agak sukar. Ianya termasuklah permainan Matematik, cara memahami konsep elektrik dengan “Demonstrasi” Hukum Ohm juga konsep termodinamik dengan “Demonstrasi” Hukum Haba Pendam.

Pengetua SMKAP, Ustaz Abdul Rahim Mohamad mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada UMP di atas sumbangan dan kreativiti pensyarah yang telah banyak membantu pelajar untuk menanam minat, memahami kaedah serta  memperkukuh pemahaman terhadap subjek tersebut.                                        

Turut berlangsung Ceramah Motivasi bertajuk “Pembelajaran Sains (Sunnatullah) Selari  dengan Ilmu Al-Quran yang disampaikan Ustaz Ahmad  Irfan Ikmal Hisham daripada Pusat Sains Kemanusiaan UMP.

Disediakan oleh Prof. Madya Dr. Fatmawati Adam daripada Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Proses dan suntingan Bahagian Komunikasi Korporat

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri