Skip to main content

Dialog Pahang bincang pembangunan ECRL impak terhadap sosioekonomi penduduk

Kuantan, 23 Julai 2020 - Perancangan pembinaan jalan raya yang lebih sistematik dengan mengambil kira kepentingan dan limpahan kepada penduduk serta pihak berkaitan terutamanya daripada aspek kestabilan infra dan kos selenggaraan pada masa depan adalah antara resolusi yang dibincangkan dalam persidangan meja bulat pembangunan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL): Impak Sosioekonomi Terhadap Penduduk Negeri Pahang anjuran Kerajaan Negeri Pahang dan Universiti Malaysia Pahang (UMP).

Turut dibincangkan adalah bagi meminimumkan impak terhadap alam sekitar terutamanya melibatkan sumber asas kepada manusia dan seluruh hidupan serta cadangan mengkaji impak dan potensi kepada kawasan antara satu ke dua kilometer daripada jalan raya ke stesen setempat. 

Sebanyak empat kluster utama iaitu Pembangunan Fizikal (infrastruktur, bangunan, jalan raya, rel), Pembangunan Sumber Manusia (peluang pekerjaan, pendidikan, kesejahteraan), Pembangunan Keusahawanan (usahawan, kontraktor) dan Governan (tadbir urus, integriti) dibincangkan dalam dialog yang berlangsung di Dewan Astaka UMP Kampus Gambang baru-baru ini.

Hadir merasmikan dialog ialah Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Asas, Sistem Penyampaian Awam dan Inovasi (KASPAIN), Dato’ Sri Norol Azali Sulaiman.

Turut sama hadir  Pengerusi UMP, Dato’ Sri Ibrahim Ahmad yang mempengerusikan dialog dan Naib Canselor UMP, Profesor Ir. Dr. Wan Azhar Wan Yusoff.

Menurut Dato’ Sri Norol, semua maklumat yang dibincangkan dalam persidangan meja bulat yang akan dinamakan sebagai ‘Dialog Pahang’ ini akan diperhalusi bagi mengenal pasti tindakan yang bersesuaian. 

“Penganjuran program ini juga akan diperluas dengan memfokuskan lain-lain topik pada masa akan datang. 

“Beberapa asas ekonomi di negeri ini seperti perhutanan, pertanian, perlombongan dan pelancongan banyak lagi perlu diusahakan serta ditambah nilai bagi mengurangkan impak negatif termasuklah pembangunan projek ECRL yang dikongsikan dalam siber dan sosial media. 

“Dalam memastikan projek ini dapat memberi sumbangan yang besar, segala pandangan dan idea boleh dilontarkan agar projek ini dapat memberi sumbangan bukan sahaja dalam sektor pengangkutan bahkan limpahan pembangunan ini dinikmati penduduk di Pantai Timur,” katanya.
Beliau mengharapkan keterlibatan semua pihak dalam proses pembangunan negara dan pembuatan dasar, terutamanya daripada aspek sumbang saran kepada pihak berkaitan agar tindakan penambahbaikan dapat dimanfaatkan bersama penduduk di negeri ini.

Topik-topik lain juga turut diperbincangkan agar dapat mendengar pandangan yang bebas daripada pelbagai pihak dan bukan melibatkan persepsi politik sahaja. 

Ia turut melibatkan kepakaran, pengumpulan maklumat dan data agar tindakan dapat dibuat dengan baik dalam memastikan kesan yang menyeluruh kepada masyarakat.

Menurut Profesor Ir. Dr. Wan Azhar pula,  penganjuran persidangan ini secara umumnya adalah bertitik-tolak daripada kesedaran mendalam pihak pengurusan UMP untuk memposisikan universiti ini sebagai antara rakan strategik utama Kerajaan Negeri Pahang dalam konteks sumbangsaran idea, kepakaran, kajian, inovasi dan modal intelektual secara konstruktif bagi maksud kemajuan negeri Pahang.

“Dalam tempoh 18 tahun sejak penubuhan UMP pada 2002, hubungan kerjasama antara UMP dan Kerajaan Negeri Pahang memang telah sedia terjalin melalui pelbagai program dan inisiatif. 

“Pelan Strategik UMP 2021-2025 yang akan dilancarkan pada bulan Oktober 2020 ini turut memberi tumpuan khusus dalam konteks peranan UMP sebagai rakan pemikir utama kepada Kerajaan Negeri Pahang,” ujarnya.

Dengan penduduk seramai 1.62 juta orang, jaringan perhubungan sempurna, peningkatan nilai perdagangan dan minat pelabur luar serta limpahan kekayaan alam semulajadi dan mineral yang dimilik  negeri Pahang ini sememangnya sentiasa berpotensi besar untuk terus maju ke hadapan terutamanya dengan adanya kemudahan pengangkutan berteknologi tinggi seperti ECRL kelak.

Penganjuran persidangan ini juga memberi peluang para akademia untuk mengkaji, memikir dan mencipta dengan pelbagai disiplin ilmu dan kepakaran ilmiah, teknikal dan saintifik yang dimiliki para ahli akademik dan penyelidik di universiti ini. 

Membarisi ahli panel pada kali ini adalah Pengarah Infra Projek Malaysia Rail Link Sdn. Bhd.,  Nor Rizan Mohd Akhir, Ketua Pegawai Eksekutif DreamEDGE Sdn. Bhd., Datuk Khairil Adri Adnan, Ketua Pegawai Operasi MRT SBK Line Rapid Rail Sdn. Bhd., Kumpulan Prasarana, Azmi Mohd Zain, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMP, Profesor Ts. Dr. Mohd Rosli Hainin dan pensyarah Fakulti Alam Bina Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Profesor Madya Dr. Muhammad Zaly Shah yang berkepakaran dalam bidang logistik dan perancangan pengangkutan.

Lain-lain ahli Lembaga Pengarah UMP (wakil Masyarakat), Dato Sri’ Md. Sharif Shamsudin, Pengerusi Persekutuan Pengilang Malaysia (FMM) Cawangan Timur, Ir. Kua Jit How (wakil NGO/Industri) dan Naib Presiden II Persatuan Pelindung Khazanah Malaysia (PEKA), Sophine Tann (Alam Sekitar).

Disediakan Oleh: Mimi Rabita Abdul Wahit, Unit Perhubungan Awam, Pejabat Naib Canselor

Reports by:
Mimi Rabita binti Abd Wahit