Skip to main content
ERAS Kongsi Kepakaran dalam bidang Kejuruteraan Geoteknikal

ERAS Kongsi Kepakaran dalam bidang Kejuruteraan Geoteknikal

Kuantan, 5 Julai – Menyedari kepentingan peranan jurutera pada masa depan, Pusat Kelestarian Sumber Bumi (ERAS) dengan kerjasama Youth Wing of Malaysian Geotechnical Society (YMGS) baru-baru ini menganjurkan Program Kerjaya 2019 “Own Your Future” dalam memberikan pendedahan dan pengetahuan kepada mahasiswa Fakulti Kejuruteraan Awam & Sumber Alam (FKASA) terutamanya kepada mereka yang berada di tahun akhir membuat persiapan melangkah ke alam pekerjaan.

Menurut Pengarah ERAS, Prof Madya Dr Muzamir Hasan yang juga Timbalan Pengerusi YMGS berkata, YMGS merupakan badan profesional yang mengumpulkan para jurutera geoteknikal dalam menjalankan pelbagai aktiviti dalam dan luar negara.

“Usaha ini dapat membantu pengembangan teori serta amalan terbaik jurutera geoteknikal tempatan selain memberi peluang kepada pelajar mendapatkan maklumat berkaitan daripada badan profesional yang bergerak aktif.  Ianya banyak membantu bakal graduan Universiti Malaysia Pahang (UMP) mempersiapkan diri bagi mendepani dunia pekerjaan dan meningkatkan kualiti graduan sekali gus menyokong lonjakan strategik UMP dalam  meningkatkan kebolehpasaran graduan,” katanya. Beliau turut bersama-sama berkongsi pengalaman dan kajian penyelidikan berkaitan bidang geoteknikal antaranya yang melibatkan isu semasa seperti perlombongan Bauxite di Bukit Goh Kuantan  (Geotechnical Properties Of Kuantan Bauxite).

Tambah beliau dalam memastikan ilmu geoteknikal terus berkembang, ERAS telah menjalinkan kerjasama dengan pihak dalam dan luar negara antaranya usahasama dengan Universiti Yamaguchi Jepun (YU) yang menganugerahkan sumbangan penyelidikan berjumlah RM65307 bagi menjalankan kajian-kajian berkaitan bidang geoteknikal. Kini ERAS telah berada pada fasa ke-2 kerjasama dalam bidang kejuruteraan geoteknik dari segi inovasi teknologi dan aplikasi teknik Super Well Point  dalam projek-projek pembinaan di Jepun dan Malaysia bersama Asahi Techo. Co., LTD Jepun. Turut  berkongsi pengalaman dalam program kerjaya ini ialah Pengarah Dr Toh Associate Sdn Bhd, Ir Ong Yin Heo yang juga Pengerusi YMGS mengenai syarikat berkaitan bidang geoteknikal ini.

Disediakan oleh Safuan Shariff dan Mohd Hashim Mohd Saad daripada Pusat Kelestarian Sumber Bumi UMP 

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri