Skip to main content

FRIM serah 1000 anak pokok hutan untuk kampus hijau lestari

Pekan, 24 April- Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) menyerahkan kira-kira 1000 anak pokok daripada 24 spesis pokok antaranya Tongkat Ali, Meranti Tembaga, Cengal, Beruas,  Ketapang, Jelutong, Kulim, Merbau Karas dan lain-lain bagi menjayakan projek kerjasama dan perkongsian kepakaran dalam penanaman pokok hutan di sekitar kampus UMP Pekan baru-baru ini.

Majlis penyerahan disampaikan Ketua Program Teknologi Biomass, FRIM Dr. Wan Asma Ibrahim kepada  Penolong Naib Canselor (Hal Ehwal Korporat & Kualiti) Prof. Dato’ Dr. Mashitah Mohd Yusoff di UMP Pekan.

“Seperti yang kita maklum tekstur tanah di UMP Pekan ini terdiri daripada tanah terganggu (Dld) dan kerjasama ini dapat menyatukan kepakaran antara UMP dan FRIM untuk berganding bahu dalam pembangunan landskap UMP Pekan dan persekitarannya agar  lebih kondusif,” katanya.

Selain itu ianya juga dapat meningkatkan kesedaran tentang kepentingan pokok bagi mengekalkan tahap kehijauan, kualiti landskap dan alam sekitar yang sihat, selamat, indah dan kondusif di universiti ini. 

Seramai 20 orang sukarelawan dari UMP dan FRIM yang menyertai aktiviti penanaman pokok tersebut  yang bermula seawal jam 10.00 pagi. Hadir sama Ketua Program Inkubasi & Komersialisasi, Dr. Fadhilah ZainudinPengawai Penyelidik FRIM, Dr. Wan Rasidah Kadir, Eksekutif Kanan Jabatan  Hal Ehwal Korporat & Kualiti, Hazlina Faizal  dan  Eksekutif Unit Lanskap,  Jabatan Penyelidikan & Inovasi. Noorafizah Abd Raffar.

Disediakan Nor Salwana Mohd Idris daripada Bahagian Komunikasi Korporat

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri