Skip to main content
Global Village UMP Tingkat Penguasaan Bahasa Inggeris Terhadap Pelajar Sekolah

Global Village UMP Tingkat Penguasaan Bahasa Inggeris Terhadap Pelajar Sekolah

Kuantan, 26 Julai - Seramai 200 peserta daripada lima sekolah menengah sekitar Pekan dan Kuantan menyertai program Global Village UMP 2019 dalam meningkatkan penguasaan berkomunikasi dalam bahasa Inggeris. Sekolah yang terlibat adalah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Soi, SMK Ubai, SMK Mat Kilau, SMK Paya Besar dan SMK Seri Mahkota. 

Program  dianjurkan Kelab International Economic and Commercial Science Student Association (AIESEC) UMP, Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UMP dengan kerjasama Pejabat  Antarabangsa UMP. AIESEC merupakan organisasi internasional yang membantu belia dalam mengembangkan potensi kepimpinanan mereka diluar negara  dengan menjalankan projek sosial. 

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, YB Hajah Fuziah Salleh dalam acara yang berlangsung di Dewan UMPH, UMP Gambang.

Dalam ucapan perasmian, YB Hajah Fuziah memuji dengan penganjuran program sebegini yang dapat meningkatkan kemahiran penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar sekolah. 

“Dengan kehadiran tujuh orang sukarelawan antarabangsa daripada India, Vietnam, Indonesia, China, dan Pakistan ini diharapkan dapat memberi impak positif kepada peserta yang menyertai program ini. Saya difahamkan sukarelawan ini telah mengadakan aktiviti berkomunikasi iaitu `Speak up’ bagi membantu para pelajar sekolah menengah menguasai bahasa Iinggeris dalam komunikasi harian,” katanya. Majlis turut dihadiri Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dato Dr. Yuserrie Zainuddin.

Beliau mengharapkan persepsi pelajar yang mengatakan bahasa Inggeris itu adalah subjek yang susah dan mengelirukan dapat dihapuskan. Ujarnya, untuk menguasai kemahiran bertutur dalam bahasa Inggeris, pelajar perlu memperbanyakkan membaca buku-buku dalam bahasa inggeris. Selain itu juga para guru juga perlu banyak menggalakkan pelajar dalam meningkatkakn penguasaan dalam bahasa Inggeris.

Sementara itu, Prof. Dato Dr. Yuserrie pula berkata, pihaknya menghargai sukarelawan yang datang ke Malaysia untuk menjayakan program Speak Up yang dijalankan selama 6 minggu di sekolah sekitar Pekan dan Kuantan.

Selain itu juga, sukarelawan antarabangsa ini juga turut menonjolkan tradisi, budaya, makanan dan muzik tradisional mereka kepada semua peserta. Program ini juga dapat memberi manfaat kepada kedua-dua pihak terutamanya pelajar sekolah dalam meningkatkan kesedaran mengenai isu semasa dunia dan mewujudkan persefahaman antara budaya serta mewujudkan silaturrahim antara satu sama lain.

Lebih menariknya, pelajar antarabangsa UMP turut menyediakan pameran dan pelbagai juadah antarabangsa disediakan antaranya  dari negara  Algeria, Pakistan, Yaman, Egypt,  India dan Kyrgyzstan.

Turut sama hadir, Pengarah  Pejabat Antarabangsa UMP, Dr. Nik Aloesnita Nik Mohd Alwi, Dekan Pembangunan Pelajar  (JHEPA) UMP, Dr Ahmad Johari Mohamad, Pensyarah Pusat Bahasa Moden dan Sains Kemanusiaan UMP merangkap  Penasihat AIESEC UMP, Haslinda Robita Hashim dan Pengarah Program, Celine Hing.

Disediakan Nor Salwana Mohamad Idris daripada Bahagian Komunikasi Korporat

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri