Skip to main content

Graduan UMP pilihan utama dalam pasaran kerja

Program kejuruteraan dan teknologi yang ditawarkan Universiti Malaysia Pahang (UMP) yang sentiasa ditambahnilai melalui proses penanda aras secara berterusan menggunakan model bertaraf dunia hasil program kerjasama dengan Karlsruhe University of Applied Science (HsKA) Jerman dilihat sebagai contoh terbaik dalam menghasilkan graduan yang kompeten, holistik, berciri keusahawanan juga seimbang yang dapat menepati keperluan industri.  

Berada dalam kelompok 101-150 universiti muda terbaik dunia dalam pengiktirafan Quacquarelli Symonds, UMP terus mendapat kepercayaan universiti luar negara serta jalinan kerjasama erat universiti dan industri ini memberikan impak positif terhadap keberhasilan graduan yang dilahirkan. Ianya dibuktikan apabila kadar kebolehpasaran graduan (GE) universiti ini mencapai peratusan tertinggi iaitu 96 peratus dan pencapaian ini melepasi sasaran iaitu 80 peratus pencapaian yang ditetapkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Menurut Naib Canselor UMP, Profesor Ir. Dr. Wan Azhar Wan Yusoff, UMP sentiasa komited mencipta inovasi dan keunikan dalam penawaran program akademik melalui jalinan strategik di peringkat antarabangsa.

“Bagi menjadi pemain global yang kompetitif, pengantarabangsaan UMP dalam membina jaringan kerjasama akademik yang kukuh dengan Republik Persekutuan Jerman mampu melahirkan graduan berdaya saing. Dengan mempunyai latar belakang pendidikan Jerman ini juga graduan berpeluang ditawarkan pekerjaan daripada syarikat-syarikat yang mempunyai hubungan perniagaan dengan Jerman,” katanya.

Selain itu, berdepan dengan revolusi industri baharu IR4.0, transformasi digitalisasi dan automasi memerlukan graduan yang dihasilkan lebih berkeupayaan dalam kemahiran insaniah (soft skills) serta berpengetahuan luas dan berkemahiran tinggi bagi memenuhi kehendak pasaran kerja. 

Dalam memainkan peranan bagi mempersiapkan modal insan yang dapat memenuhi keperluan negara, inisiatif penawaran Program Sarjana Muda Teknologi (Bachelor of Technology–B.Tech.) oleh Universiti Malaysia Pahang (UMP) bersama Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia  (MTUN), iaitu Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dilihat telah melengkapkan ekosistem Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) di Malaysia.

Penganjuran Program CEO@Faculty oleh KPM juga memperhebatkan penyertaan daripada sektor industri sebagai sebahagian daripada sistem pendidikan tinggi negara melalui perkongsian pengalaman dan kepakaran tokoh-tokoh industri tersebut. Terbaharu  Pengerusi Nova Wellness Sdn Bhd, Dr Abd Manaf Mohamad, Ketua Pegawai Eksekutif DreamEdge Sdn Bhd, Khairil Adri Adnan dan  Pengarah Scomi Transit Project Sdn. Bhd, Rohaida Ali dilantik pihak KPM dalam menjayakan program siri kuliah jemputan, perbincangan panel dan juga pengajaran bersama (co-teaching) yang dapat dimanfaatkan warga universiti ini.

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Siti Nurfarmy binti Ibrahim