Skip to main content

Jualan Buku Terbesar Karnival Big Bad Wolf kini di UMP

Kuantan, 28 Februari – Digelar sebagai karnival jualan buku terbesar Big Bad Wolf kini kembali dengan menawarkan lebih daripada 500 ribu naskhah buku untuk penggemar buku di negara ini.  Berlangsung selama 11 hari bermula hari ini di Dewan Kompleks Sukan Universiti Malaysia Pahang (UMP) merupakan lokasi pertama jualan buku Big Bad Wolf  dalam tahun 2019. 
 
Sebanyak 500 ribu buah buku pelbagai jenis genre boleh didapati antaranya buku kanak-kanak, dewasa muda, romantik, thriller, sci-fi, jenayah, buku masakan, perniagaan, reka bentuk,seni dan banyak lagi menanti kehadiran seluruh warga Pahang dan pengunjung dari negeri – negeri yang berhampiran.
 
Selain itu, jualan buku kali ini menjanjikan potongan harga 75 peratus sehingga 95 peratus. Para pengunjung mempunyai peluang membeli buku – buku menarik dan terkini  dengan harga yang murah.
 
Berlangsung hari ini acara pelancaran yang dirasmikan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni), Profesor Dato Dr. Yuserrie Zainuddin. Beliau merakamkan penghargaan tahniah khsusnya buat Penerbit UMP dan pihak  penganjur Big Bad Wolf Book Sale yang telah memilih UMP sebagai lokasi pertama daripada lapan lokasi dalam tahun 2019. 
 
“Jualan buku seperti ini bukan sekadar pertemuan pencinta buku, malah ianya juga berperanan besar dalam memupuk semangat membaca, merangsang naluri cintakan buku yang membawa kepada peningkatan ilmu. Ini sejajar dengan hasrat Menteri Pendidikan Malaysia, YB Maszlee Malik ke arah melahirkan generasi minat membaca atau #MalaysiaMembaca.
 
Katanya lagi keberadaan jualan buku seperti ini merupakan prasarana penting kepada usaha atau inisiatif yang bukan sahaja menyediakan bahan bacaan peringkat tinggi untuk golongan cendekiawan, tetapi juga bahan bacaan yang memenuhi hobi remaja dan selera bacaan kanak – kanak. Ianya juga sekali gus mempromosikan UMP sebagai pusat kecemerlangan ilmu serantau.
 
Sementara itu menurut Pengurus Karnival Big Bad Wolf kali ini, Tim Thy Teh, beliau menjangkakan seramai 3000 pengunjung sehari bakal membanjri Dewan Kompleks Sukan UMP dan bilangan pengunjung akan meningkat sehingga 7000 pada hari cuti umum Sabtu dan Ahad. Turut hadir dalam majlis ini, Pengarah Pusat Sukan & Kebudayaan, Abd Rahman Hj Safie dan  Pengarah Penerbit, Dr.Muhamad Mat Noor. 
 
Berita dan Foto disediakan oleh Mohamad Hakimi Kamarudin dari Bahagian Komunikasi Korporat 

 

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri