Skip to main content
Karnival Kerjaya UMP tawar lebih 1000 peluang pekerjaan

Karnival Kerjaya UMP tawar lebih 1000 peluang pekerjaan

Kuantan, 29 Mac- Penganjuran Karnival Kerjaya University To Industry Universiti Malaysia Pahang (UMP) bermula 5 hingga 6 April depan bakal menawarkan lebih 1000 peluang pekerjaan dalam program yang berlangsung di Dewan Astaka, UMP Gambang.

Karnival yang dianjurkan Pusat Pembangunan dan Penempatan Kerjaya (CPDC) ini akan disertai lebih 30 syarikat. Antara syarikat yang terlibat termasuklah Hartalega, Silky Girl, Basf Petronas Chemicals, Mercedes Benz, Top Glove Sdn. Bhd, YTL Corporation Berhad, Vacuumschmelze (M) Sdn. Bhd, Panasonic, Prasarana Malaysia Berhad dan banyak lagi .

Menurut Pengarah CPDC, Ir. Dr. Siti Zubaidah Sulaiman berkata, karnival itu membolehkan mahasiswa dan orang ramai mencari peluang pekerjaan yang sesuai dengan kelayakan masing-masing di samping memperoleh maklumat mengenai kriteria yang diperlukan oleh industri.

Ujarnya, penganjuran karnival kerjaya kali keempat ini masih bermatlamatkan sebagai platform bagi menghubungkan mahasiswa dengan industri. Pada masa yang sama pelbagai aktiviti yang dijalankan seperti temuduga terbuka, ceramah industri, pendaftaran pekerjaan bersama Portal Jobs Malaysia dan cabutan bertuah serta dimeriahkan dengan persembahan kumpulan pelawak terkenal `Zero'.

”Program ini bermula jam 9.00 pagi sehingga 5.00 petang terbuka kepada mahasiswa UMP dan masyarakat sekitar. Mereka yang  ingin mencari kerja hanya perlu membawa resume dan mengikuti sesi temuduga di syarikat dan agensi yang terlibat dalam karnival ini,” katanya.

Beliau juga berharap program ini turut menjadi sebagai platform dan perangsang buat mahasiswa dan masyarakat untuk mengambil peluang ini dengan sebaik mungkin dalam  mendapatkan pekerjaan kerana mereka dapat berhubung secara terus dengan bakal majikan malahan bertanyakan terus mengenai skop pekerjaan yang sesuai dengan mereka.

Selain itu beliau menasihatkan mahasiswa tahun akhir dapat mengambil peluang ini untuk bertemu dengan wakil industri untuk mendapatkan maklumat dalam merancang pemilihan kerjaya yang bersesuaian dengan kelayakan akademik dan minat masing-masing.

Beliau berharap mahasiswa UMP dan masyarakat setempat tidak melepaskan peluang keemasan ini untuk mendapatkan pekerjaan mahupun penempatan latihan industri. Manakala bagi pengunjung yang berminat atau mempunyai sebarang pertanyaan bolehlah menghubungi pihak urusetia di talian 09-5492637 atau 2098.

Dalam pada itu, UMP yang sedang berkembang pesat antara universiti terbaik Asia bukan sahaja membanggakan dengan kebolehpasaran graduannya yang berjaya melepasi 95 peratus mendapat pekerjaan malahan mempunyai tenaga akademiknya yang mampu menghasilkan penyelidikan dan pembangunan (R&D) berimpak tinggi.

Berada pada landasan terbaik UMP sentiasa memastikan pembentukan kurikulum akademik yang dihasilkan lebih inovatif dengan disokong oleh staf yang kompeten dan profesional serta menjadikan infrastruktur akademik lebih efisyen berorientasikan keperluan industri dan masyarakat.

 

Disediakan Oleh Nor Salwana Hj.Mohammad Idris, Bahagian Komunikasi Korporat

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Siti Nurfarmy binti Ibrahim