Skip to main content
jom-masuk-ipt

Karnival Pendidikan Tinggi 'Jom Masuk IPT' buka peluang sambung pengajian

Penganjuran Karnival Pendidikan Tinggi Negara (KPTN) 2018, Zon Pahang oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dengan kerjasama Universiti Malaysia Pahang (UMP) yang bakal berlangsung pada 3 dan 4 Mac 2018 ini mensasarkan pelajar sekolah menengah, lepasan diploma dan setaraf, ibu bapa, guru, komuniti setempat merebut peluang menyambung pengajian tinggi.

KPTN adalah program bermaklumat dengan mensasarkan pengunjung  untuk mengambil peluang mendapatkan maklumat tepat dan terkini mengenai peluang pendidikan tinggi, akreditasi dan pembiayaan bagi lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan setaraf di peringkat pengajian program asasi, diploma, ijazah pertama di universiti awam dan swasta serta sijil dan Diploma Kemahiran Malaysia di Institut Latihan Kemahiran Awam (ILKA).

Menurut Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Dato’ ts Dr. Rosli Mohd Yunus merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana KPTN UMP 2018, berkata KPTN di bawah KPT ini merupakan medan dan ruangan saluran hebahan utama bagi menyebarluaskan maklumat mengenai peluang pendidikan tinggi dalam negara.

“Ianya juga sebagai hebahan kepada calon-calon pelajar mengenai kemasukan ke institusi pendidikan tinggi (IPT) seluruh negara bagi sesi kemasukan 2018/2019 serta merupakan platform yang memberi kemudahan kepada orang ramai bagi mendapatkan maklumat penawaran program akademik yang ditawarkan oleh 20 Universiti Awam (UA), Politeknik, Kolej Komuniti, Institusi Latihan Kemahiran Awam (ILKA), institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) dan Institusi lain,” katanya.

Terdapat lebih 100 booth pameran akan dibuka selama dua hari karnival berlangsung dengan penyertaan daripada semua 20 UA, IPT terpilih, pembiaya pendidikan dan lain-lain agensi berteraskan pendidikan. Memeriahkan program UMP mengadakan aktiviti Larian Jom Masuk IPT, program Street Science@ Gallery, Icon Talk, Career Talk, Edu Tour, persembahan kebudayaan, pameran, gerai keusahawanan dan banyak lagi.

Lebih menarik pelajar berpeluang berkongsi pengalaman dengan Datuk Ts. Wan Nazri Wan Aria yang merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Gruppe Consultant dan Tariq Umar Mohamed, Pengurus Kanan (Pengurusan Operasi & Penyelenggaraan) Malaysia Rail Link Sdn. Bhd. 

Turut diadakan perkongsian pengalaman bersama alumni UMP, Mohd Najib Razali yang kini merupakan Pensyarah Fakulti Kejuruteraan Kimia & Sumber Asli dan merupakan Penyelidik yang berjaya menghasilkan produk G-Treat iaitu formulasi bahan semula jadi untuk rawatan sisa air berminyak dari industri malahan terpilih sebagai finalis Skim Permulaan Usahawan Bumiputera (Superb) kelolaan pihak Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) tahun lalu.  

Orang ramai seluruh negeri Pahang dan Pantai Timur serta negeri-negeri berhampiran hendaklah mengambil peluang keemasan ini bagi meraih pelbagai maklumat dalam menentukan arah pengajian tinggi masing-masing. Beberapa aktiviti lain turut dijadualkan sebagai pengisian KPTN 2018 antaranya  pengisian UPU online, pameran sains dan inovasi, pembiayaan pendidikan menerusi ceramah serta booth Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN), Majlis Amanah Rakyat (MARA), Yayasan dan Pemeriksaan Kesihatan. 

Disediakan Bahagian Komunikasi Korporat Pejabat Naib Canselor

Reports by:
Nur Laila binti Afandi