Skip to main content

Karnival STEM Cungkil bakat pelajar sekolah dengan budaya reka cipta

Kuantan, 7 Ogos – Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan Jabatan Pendidikan Negeri Pahang  berjaya mengumpulkan hampir 2000 pelajar sekolah rendah dan menengah sekitar negeri Pahang yang mengambil bahagian dalam  Karnival STEM & Teknologi  Hijau Negeri Pahang bertempat di Dewan Astaka UMP.

Terdapat 15 program yang dijalankan sepanjang karnival ini berlangsung antaranya Pertandingan Rekacipta & Inovasi STEM, Pertandingan Roket Air, Pertandingan Projek Video Digital STEM, Pertandingan Kapal Terbang Kawalan Jauh, Pertandingan Inovasi Biojisim, Pertandingan Rekabentuk Rumah hijau dan lain-lain lagi. 

Majlis dirasmikan olh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni) UMP, Prof. Dato Dr. Yuserrie Zainuddin. Dalam ucapan perasmiannya beliau merakamkan setinggi-tinggi ucapan penghargaan kepada Jabatan Pendidikan Negeri Pahang atas keyakinan yang diberikan kepada UMP sebagai rakan strategik Karnival STEM dan Teknologi Hijau Negeri Pahang 2019 di UMP.

Ujarnya pelbagai inisiatif ini dapat memupuk minat dalam membangunkan potensi dan memperkasakan daya saing para pelajar dalam subjek berkaitan Sains, Teknologi,Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

“UMP sentiasa komited dan konsisten mendukung agenda Kementerian Pendidikan Malaysia bagi memperkasakan komponen STEM melalui pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025,” katanya.

Pihaknya sentiasa mencari peluang untuk mengadakan bengkel atau program berkaitan STEM di sekolah-sekolah terpilih atau di UMP bagi menarik minat murid-murid sekolah rendah dan menengah dalam subjek STEM.

Tambahnya lagi, Karnival STEM dan Teknologi Hijau Negeri Pahang 2019  berjaya menarik penyertaan pelbagai peringkat umur dalam kalangan pelajar sekolah seawal usia enam tahun.  

Ianya juga membuktikan bahawa program berkaitan pendidikan STEM mampu menembusi pelbagai kumpulan sasaran sekiranya program dijalankan dengan lebih kreatif dan interaktif.

Beliau mengharapkan UMP khususnya Pusat Jaringan Industri dan Masyarakat dan Jabatan Pendidikan Negeri Pahang dapat meneruskan usaha murni ini dan bekerjasama membincangkan langkah-langkah intervensi kursus yang boleh dilaksanakan secara kolektif dalam dalam berdepan cabaran masa depan.

Hadir sama Ketua Sektor Pengurusan Sekolah Jabatan Pendidikan Pahang, Tuan Haji Abdul Rahim Muhammad Yunus, Pengarah Pusat Jaringan Industri dan Masyarakat UMP, Profesor Madya Ir Dr Hazlina Noordin.

Pertandingan Rekabentuk dan Inovasi (Kategori Sekolah Menengah), tempat pertama dan kedua telah dimenangi oleh  Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Abdul Rahman Talib dan tempat ketiga telah dimenangi oleh Kolej Vokasional Sultan Haji Ahmad Shah. Manakala Pertandingan Rekacipta dan inovasi (Kategori Sekolah Rendah) pula, SJKT Mentakab berjaya membolot tempat  pertama dan kedua  dan tempat ketiga dimenangi oleh SJKT Ringlet.  

Bagi Pertandingan Kapal Terbang Kawalan Jauh pula  tempat pertama telah dimenangi oleh SMK Baging, tempat kedua dan ketiga telah dimenangi oleh SMK Pelindung dan SMK Tembangau.  Seterusnya Pertandingan Projek Digital Video STEM, tempat pertama telah dimenangi oleh SMK Agama, tempat kedua dan ketiga dimenangi oleh SMK Dato Mahmud Mat dan SMK Semambu.

 

Disediakan Nor Salwana Mohd. Idris daripada Bahagian Komunikasi Korporat 

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri